“Jaga lembu sekandang lebih mudah daripada jaga anak perempuan seorang”
Biasa dengar pepatah ini? Begitulah orang-orang tua mengumpamakan kesusahan menjaga seorang anak perempuan.
Zaman ini, menjaga dan mendidik anak adalah tugas yang mencabar. Terdapat banyak pengaruh negatif dari luar terutamanya daripada kawan-kawan. Ditambah pula aplikasi dan ikutan terkini yang membuatkan anak-anak muda lebih mudah terpengaruh.
Hampir semua yang berada di sekeliling anak-anak ini boleh membahayakan. Mereka diuji sejak kanak-kanak dan lebih diuji apabila menginjak remaja. Malah, ujian itu lebih besar kepada anak perempuan yang lebih terdedah kepada ancaman bahaya.
Maryam telah dibesarkan oleh Nabi Zakaria, setelah kewafatan ayahandanya, Imran. Dalam kisah asuhan Maryam iaitu ibu kepada Nabi Isa A.S, terdapat beberapa metode khusus yang boleh dicontohi dalam menjaga anak perempuan.
1. ‘Tutup’ anak perempuan dengan kebijaksanaan penjaga.
Ketika Maryam dibesarkan, beliau mempunyai ruangan khas yang dipanggil al-Mihrab. Tiada siapa pun yang boleh masuk kecuali Zakaria, bapa saudara beliau yang menjaga makan minumnya. Zakaria sentiasa mengunci pintu dan memastikan Maryam sentiasa selamat di dalamnya. Maka, adakah anak-anak dara zaman ini perlu dikunci sebegitu?
Tidaklah sampai begitu. Maksud ‘tutup’ ialah akses orang luar kepada anak-anak perempuan ini. Juga, akses mereka kepada orang luar. Akses yang dimaksudkan ialah sebarang anasir yang negatif. Akses positif seperti kelas dalam talian, kumpulan kawan-kawan sekelas ataupun aktiviti sosial yang tidak memudaratkan, tidaklah menjadi masalah.
Zaman ini zaman canggih, peranan kita lebih besar daripada apa yang kita bayangkan. Kita mesti berusaha mengambil apa sahaja langkah untuk menjaga keselamatan dan kehormatan mereka sebagai anak perempuan.
Anak perempuan haruslah dididik dengan perlakuan yang sepatutnya. Mereka perlu diajar tentang adab sopan sebagai seorang Muslim. Menjadi tanggungjawab ibu bapa dan keluarga juga untuk menanam kesedaran tentang penjagaan diri, luaran dan dalaman. Mereka perlu mendapat penerangan tentang bahaya yang mungkin mereka hadapi di sekeliling. Setelah semua langkah-langkah ini diambil, ibu bapa perlulah memohon perlindungan kepada Allah dan bertawakal.
2. Memberi perhatian kepada isu feminin.
Maryam mempunyai hubungan yang baik dengan Zakaria, bapa saudaranya. Semua keperluan Maryam akan dipenuhi oleh Zakaria sejak kecil hingga Maryam meningkat remaja. Ar-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan, apabila Maryam telah mencapai umur balighnya, Zakaria meminta Maryam untuk tinggal dengan isterinya.
Melalui tindakan bijaksana ini, jelas menunjukkan bahawa anak perempuan memerlukan bimbingan khusus seorang perempuan dewasa terhadap isu feminin. Mereka adalah dalam kalangan orang yang terdekat dan dipercayai. Contohnya, ibu, kakak, nenek ataupun ibu saudara yang mampu menerangkan kepada mereka dengan jelas hal-hal berkaitan diri mereka.
Tindakan ini sangat penting untuk memastikan mereka sihat dari pelbagai aspek seperti fizikal, mental dan emosi. Mereka juga mendapat bimbingan yang betul dan jelas mengenai perubahan yang mereka alami. Dengan tindakan ini, mereka tidak didedahkan dengan maklumat yang salah berkenaan diri mereka, khususnya daripada orang yang berniat serong.
3. Menjaga tentang batasan mahram dan bukan mahram.
Zakaria adalah bapa saudara sabit Maryam, suami kepada ibu saudara kandung beliau. Maka, mereka berdua mempunyai pertalian bukan mahram. Oleh itu, apabila Maryam telah menginjak remaja, Zakaria menjaga batasan dengan Maryam.
Tidak dapat dinafikan, isu mahram ini bukanlah hal yang boleh diremehkan. Allah S.W.T meminta kita untuk menjaga batasan ini dengan jelas. Antaranya, hubungan antara sepupu, ipar-duai, bapa saudara sabit dan mungkin jiran tetangga yang terlalu rapat. Anak-anak perempuan perlu diberitahu tentang mereka yang mahram dan diingatkan untuk menjaga batasan dengan lelaki yang bukan mahram.
Konklusinya, menjaga anak perempuan khususnya di zaman ini sungguh mencabar, dan sangat memerlukan perhatian daripada ibu, ayah dan keluarga. Anak-anak perempuan yang dibesarkan bukan sahaja perlu menjadi bijak pandai, berpendidikan tinggi, bahkan perlu menjadi seseorang yang terpelihara dari segala aspek terutamanya maruah diri sebagai seorang Muslim.
Disediakan oleh,
Dr. Nurul Badriyah Ali,
Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Johor.