Dunia seolah-olah baru sedar dari lena yang panjang tentang keadaan negara Palestin yang masih dijajah oleh Israel. Kita dapat melihat perang Saiful Quds yang berterusan selama hampir dua minggu ini telah memercikkan api kesedaran ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruh dunia mengenai kehidupan rakyat di Gaza.
Pelbagai inisiatif diambil seperti pengumpulan dana bantuan untuk Palestin, forum atas talian, penerangan mengenai sejarah Palestin bermula dari zaman Nabi Musa a.s sehinggalah Hari Nakbah pada tahun 1947, serta deklamasi sajak oleh ahli-ahli sastera rancak berlaku di semua platform. Selain itu, beberapa protes dan perarakan tunjuk perasaan juga dilakukan di beberapa negara seluruh dunia untuk mengecam keganasan Israel kali ini.
Malaysia merupakan antara negara yang kuat bersuara dari dulu mengenai tanah suci umat Islam ini. Tuan Nadir al-Nuri (rakyat Malaysia tunggal di Palestin), serta beberapa orang figura di media sosial pantas menyampaikan berita-berita terkini dari medan perang tersebut. Tidak dilupakan juga negara jiran kita, Indonesia dan Brunei yang turut mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan Israel ini.
70 tahun lebih hidup dalam keadaan terhimpit di tanah air sendiri kerana penjajah yang tidak sedar dek diri, wujudkah solusi bagi saudara seagama kita untuk merasai hari-hari kemerdekaan?
Di dalam artikel ini, saya tampilkan beberapa buah cadangan dan fikiran yang dikemukakan dalam rancangan ‘Dialog 3 Penjuru : Episod 7’ oleh Astro Awani pada 20 Mei yang lalu. Program kali ini menampilkan tiga figura yang diakui ketokohan mereka iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad (mantan Perdana Menteri Malaysia), Prof. Dr. Afifi Al-Akiti (Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford) dan Tuan Guru Haji Hadi Awang (Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah).
Antara solusi yang diketengahkan di dalam rancangan tersebut adalah:
- Umat Islam perlu bersatu dalam isu Palestin.
Negara-negara Islam perlu mengenepikan perbalahan yang tidak berpenghujung sesama mereka dan menunjukkan kesatuan dalam isu Palestin ini. Setiap negara perlu berani menyatakan tentangan secara terbuka terhadap tindakan Israel.
- Kenali kekuatan kita.
Tidak dapat dinafikan bahawa kita tidak mempunyai kekuatan dari sudut ketenteraan, namun kekuatan kita ada pada ekonomi. Kebanyakan negara umat Islam khususnya negara di Timur Tengah merupakan pengeluar utama bekalan minyak dunia. Negara-negara ini boleh melakukan sekatan minyak ke atas rejim Zionis untuk menyulitkan pergerakan mereka melalui badan seperti OPEC (Organization of the Petroleum Exporting Countries).
- Tambah kawan, kurangkan lawan.
Kita mengecam tindakan beberapa negara Islam yang melakukan normalisasi hubungan diplomasi dengan Israel. Sebenarnya ini adalah tindakan halus Israel untuk menambahkan kekuatan dan kawan dalam pentas antarabangsa. British juga mengambil langkah sama semasa Perang Dunia Kedua dengan menjadikan Amerika sebagai koloninya dalam menentang Jerman dan Rusia.
- Undang-undang sebagai medium kuasa.
Dalam dunia moden ini, undang-undang boleh digunakan sebagai senjata untuk memerangi Israel. Dr. Afifi al-Akiti ada menyebutkan mengenai sokongan padu negara Ireland terhadap Palestin.
Pada tahun 2018, parlimen Ireland meluluskan undang-undang yang bernama ‘The Occupied Territories Bill’ yang menyentuh mengenai tiga fokus utama iaitu; boycott (boikot produk Israel), sanction (sekatan perniagaan) dan divestment (menarik semula pelaburan).
- Hadis Nabi s.a.w sebagai rujukan.
Beliau juga mengaitkan usaha ini dengan sebuah hadis Nabi s.a.w yang menyuruh kita menghalang kemungkaran dengan tangan (kuasa), lidah (kata-kata) dan hati. Selain melalui undang-undang, kita perlu menunjukkan ‘taring’ masing-masing.
Dalam hal ini, Syeikhul Azhar, Syeih Ahmad Toyyib telah mengeluarkan kenyataan yang sedikit berbeza daripada kenyataan ketua negara lain mengenai isu Palestin kali ini.
Beliau menegur polisi ‘double-standard’ dan kelesuan para pemimpin dunia dalam reaksi terhadap kemanusiaan. Kata beliau,
“Berhentilah daripada tetap diam dan polisi pilih kasih jika kalian benar ingin berbicara tentang keamanan.”
- Keberanian pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia.
Human Rights Watch dalam satu kenyataan mereka jelas mengatakan bahawa kerajaan Haram Israel telah melakukan dua jenayah besar dalam hak asasi kemanusiaan iaitu penganiayaan terhadap Palestin dan aparteid (diskriminasi kaum).
Selain itu, NGO daripada Israel sendiri iaitu B’TSELEM menegaskan bahawa rejim Israel telah melakukan jenayah aparteid dan seolah-olah mengangkat ‘Jews Supremacy’ (Ketuanan Yahudi). Antara cara rejim ini ialah:
- Membenarkan imigrasi bagi Yahudi seluruh dunia ke Israel.
- Merampas tanah untuk penempatan penduduk Yahudi dan membiarkan warga Palestin dalam kepadatan.
- Sekatan pergerakan terhadap warga Palestin.
- Menafikan hak warga Palestin untuk terlibat dalam politik.
7. Menggunakan hubungan diplomasi antara kedutaan.
Kita perlu menggunakan hubungan diplomasi dengan bijak untuk melobi kedutaan-kedutaan negara Timur Tengah di negara kita untuk menggesa negara mereka supaya mengambil langkah terhadap Israel.
Kesimpulannya, negara-negara Islam khususnya perlu menyusun strategi dengan serius serta menyediakan perancangan jangka masa pendek dan panjang jika ingin menyelesaikan permasalahan ini.
Isu Palestin bukan lah semata-mata isu keagamaan namun telah melebihi garisan kemanusiaan. Sudah tiba masanya kebiadaban terbuka yang dilakukan oleh kerajaan Israel mendapat perhatian dunia khususnya dunia Islam. Edmond Burke, seorang ahli falsafah dari Barat pernah mengatakan;
“ The only thing needed for triumph of evil is for good men to do nothing.”
Edmond Burke
Disediakan oleh,
Nik Nur Humaira’ Nik Yusri
Usuluddin, Universiti Al-Azhar