Sejarah telah memperlihatkan kepada kita betapa bahayanya sikap egois dalam diri sendiri yang akhirnya membawa kepada kebinasaan. Sama seperti marah, melampau dalam egois bakal menghina diri sendiri. Dalam hal ini, Allah SWT telah menceritakan kepada kita tentang sikap egois si Iblis yang melampau sehingga menyebabkan diri dan seluruh keturunannya dihumban ke dalam neraka. Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 34 yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Kami memerintahkan kepada malaikat : ‘Sujudlah kepada Adam’. Dia (Iblis) enggan dan membesarkan dirinya. Maka sesungguhnya dia adalah daripada golongan yang musyrik”.
Perkataan “egois” adalah merujuk kepada sikap ego. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, egois membawa makna orang yang suka mengutamakan (menonjolkan) diri serta bermegah-megah, tidak suka dikritik.
Deepak Chopra, seorang ahli perubatan juga seorang penulis berkelahiran India, beliau menyatakan bahawa sikap ego bukan kita yang sebenarnya. Ego adalah imej diri kita, topeng sosial kita. Ia adalah peranan yang kita sedang bermain.
Menurut seorang penulis, pelakon dan pengarah Chile, Alejandro Jodorowsky, ketika memberikan definisi tentang sikap ego, beliau memberikan perumpamaan mudah bagi kita memahami sikap ego itu sendiri. Beliau menyatakan bahawa ego adalah seperti anjing anda. Anjing mesti mengikuti tuan anjing. Anda perlu membuat anjing mengikuti anda. Anda tidak perlu membunuhnya tetapi menjinakkannya. Perumpamaan ini menunjukkan kepada kita betapa penting untuk kita menguruskan sikap egois agar tidak memakan diri sendiri.
Dalam perbendaharaan kata Melayu, egois bermaksud kibir. Kibir yang juga berasal daripada bahasa arab merujuk kepada makna sangat angkuh (sombong), berasa dirinya lebih penting (mulia) dan lain-lain. Bahasa modennya adalah egois. Secara tidak langsung, kita boleh memahami perkataan egois ini dengan maksud sombong, suka membesarkan diri kerana hati merasakan dirinya mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan tertentu. Inilah antara punca diri manusia tidak akan masuk ke dalam syurga.
Sepertimana sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan”.
Bayangkan, seandainya sifat egois yang padanya ada sifat sombong, angkuh dan seumpamanya berada di dalam hatinya walau sebesar biji sawi pun tidak akan beroleh nikmat memasuki syurga, bagaimana pula besarnya sifat egois itu lebih dari sebiji sawi? Seharusnya kita lontarkan ke dalam diri tanpa menuding jari ke sana sini. Tanpa perlu kita melihat orang, lihatlah ke dalam diri sendiri dan berjuanglah dari di belenggu oleh sikap egois yang melampau ini.
Oleh itu, tidak ada sebarang kepentingan untuk kita bersikap egois berlebih-lebihan sehingga kita mulai berprasangka buruk, hasad, berdendam dan sebagainya. Akibat daripada sikap egois, akan menatijahkan diri kita sahaja yang betul. Diri kita sahaja lah yang berjuang untuk Islam. Diri kita sahaja lah yang mempertahankan bangsa, dan lain-lain. Maka dengan itu, tidak mustahil akan lahirlah sikap buruk yang lain (mazmumah) yang dilarang oleh Islam.
Kita seharusnya mengingat kembali sebuah hadith qudsi riwayat Abu Daud, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Sombong itu selendang Ku dan keagungan adalah sarung Ku. Barangsiapa merampas salah satu daripadanya, Aku lemparkan dia ke neraka Jahanam”.
Tanpa kita sedar, apabila sikap egois mula menguasai diri, kita akan susah untuk menerima teguran, kritikan mahupun pandangan daripada orang lain. Kerana bagi kita, apa yang kita buat adalah untuk “membina” dan apa yang orang lain buat adalah untuk “meruntuhkan” sesuatu. Kita akan mulai berperang dengan diri sendiri, mulai mencipta persepsi demi persepsi yang akhirnya mendatangkan prasangka buruk terhadap orang lain. Dalam surah al Hujurat ayat 12, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
“Wahai orang yang beriman ! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati ? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah ; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani”.
Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT telah melarang kita daripada berprasangka. Kemudian, Allah SWT melarang pula kita mencari kesalahan dan keaiban. Setelah itu, Allah juga telah melarang kita daripada mengumpat orang. Kesemua ini bermula daripada larangan berprasangka. Hal ini kerana rentetan daripada prasangka tersebut, akan mulai tumbuh rasa curiga. Perasaan ini akan membuahkan pula sifat ingin tahu dan mahu mencari keaiban demi keaiban. Setelah dapat apa yang dicari, bertebaranlah kita menjaja keaiban dan kesalahan orang sana sini yang secara tidak langsung, kita sendiri telah jatuh dalam lembah dosa dan maksiat.
Justeru itu, seharusnya kita bijak dalam mengawal diri dan emosi agar kita tidak terperangkap dalam permainan egois ini. Tidak boleh ditegur, tidak boleh dikritik, semuanya salah hanya kita sahaja yang betul. Sikap sebegini sedaya upaya mesti kita jauhinya bersama. Usah lah merasai diri kita sangat membina padahal dalam tidak sedar, kita telah meruntuhkan nilai moral dan peribadi kita sendiri. Lakukan apa sahaja pekerjaan yang mulia, sebesar dan sehebat mana pun usaha yang kita lakukan, rugi andai tidak diikuti dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Semoga Allah mengampuni keterlanjuran kita semua.
Disediakan oleh: Faidhi Azis
Hantar karya anda di emel [email protected].
Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!