Sejak saya kecil lagi, ayah merupakan pengaruh terbesar dalam membina minat membaca dalam diri saya. Beliau seorang yang sangat mengutamakan pembacaan. Sepanjang kami membesar, kami diajar bahawa membaca itu perlu, penting dan wajib untuk kami.
Masih saya ingat lagi ketika berumur lebih kurang 11 tahun, saya telah diberikan oleh ayah sebuah buku bertajuk Senja di Jakarta oleh Mochtar Lubis. Pengisian buku tersebut amat berat memandangkan kandungannya yang menyentuh masalah pelacuran dan kemiskinan di Jakarta. Sememangnya bagi jiwa seorang anak kecil, hal itu sesuatu yang menyayat hati. Dalam masa yang sama, itulah realiti bagi mereka yang terjebak dengan masalah gejala sosial.
Selain hal itu, saya juga gemar dengan karya-karya klasik Jane Austen terutamanya novel beliau yang berjudul Pride and Prejudice. Novel ini merupakan novel klasik yang diterbitkan pada tahun 1813. Beliau juga ada mengarang beberapa novel lain. Bagi saya, karya-karya Jane Austen penting untuk dibaca oleh golongan gadis muda terutamanya. Kisah-kisah yang cuba disampaikan oleh beliau dalam novelnya bukan hanya sekadar kisah romantis, tetapi membangkitkan bibit-bibit feminis. Melalui karyanya, kita dapat lihat isu wanita yang bijak berjaya dikupas dengan baik, sekaligus sentuhan romantisnya disulam indah. Diharapkan anak-anak muda yang membaca karya-karyanya terinspirasi dengan penulisan beliau untuk dijadikan bekal dalam menempuh kehidupan.
Secara jujurnya ketika saya sudahpun berusia 13 tahun, saya masih tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Bagi mengasah kemahiran berbahasa saya, saya berusaha gigih dengan menggunakan bekalan buku bahasa Inggeris yang saya ada seperti tulisan Jane Austen. Saya membacanya sambil merujuk kamus untuk memahami perbendaharaan kata, penggunaan nahu dan sebagainya. Perbuatan ini sangat membantu dalam usaha saya untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Hal itu antara sebahagian daripada pengalaman saya, selain guru kami juga memaksa kami menulis diari dalam bahasa Inggeris setiap hari.
Berbalik kepada pembacaan Mochtar Lubis tadi, ada juga karya-karya lain yang memberikan saya rasa yang sangat terkesan di hati, merakyatkan dan mendekatkan saya dengan hal-hal lapangan. Antaranya buku-buku penulisan Jose Rizal yang diterjemahkan dan juga puisi-puisi Pak Usman Awang. Sebagai anak muda, kita perlu ada simbiosis atau keharmonian antara semangat awang-awangan dalam berdaya saing dengan pengharapan untuk menjadikan impian sebagai kenyataan di lapangan kehidupan. Etika sangat penting kerana jika tiada etika, kita tidak mampu berhadapan dengan masa depan dan realiti yang mencabar.
Selain pengarang-pengarang yang saya sebutkan tadi, ada seorang lagi pengarang yang telah menawan hati saya. Masih saya ingat ketika dalam tingkatan 4, saya berada dalam jurusan Sains namun, saya nekad mengambil keputusan untuk bertukar kepada jurusan Kesusasteraan Inggeris. Ketika itu saya telah jatuh cinta dengan Mr. Wilfred Owen! Beliau merupakan penyair Inggeris ketika era Perang Dunia Pertama. Beliau banyak menulis syair bertemakan azab perang dunia dan akhirnya beliau telah terkorban di medan pada tahun 1918 ketika Perang Dunia Pertama hampir tamat. Saya cuba membaca karya Inggeris dengan lebih luas dan lebih banyak lagi namun sayangnya, pembacaan saya terhenti kerana kesibukan mentelaah 10 mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu.
Selain hal itu juga, dari segi spiritual, membaca al-Quran juga dikira sebagai membaca. Pembacaan yang memberikan kita kekuatan dan tenaga rohani. Jiwa kita memerlukan kita untuk membaca ayat suci dan terus membacanya agar dapat menghidupkan jiwa dengan harapan supaya tidaklah mati jiwa.
Oleh sebab saya terlibat secara langsung dalam bidang politik, maka saya banyak melihat dari sudut politik itu sendiri. Menceburi politik bukanlah kerjaya yang mudah. Bidang ini memerlukan bahan bacaan dari sudut yang pelbagai dan bahan yang dipilih mestilah dilakukan dengan teliti agar dapat membina pemikiran yang bukan sekadar menghidupkan jiwa sendiri namun juga jiwa masyarakat Malaysia amnya dan anak muda khususnya.
Jadi bahan bacaan yang lahir dari dhamir (hati) dan buah fikiran penulis itulah yang memberi sedikit makna. Saya fikir, bidang falsafah seharusnya dikuasai oleh semua pemimpin kerana dengan memahami falsafah, pemahaman itu membantu kita untuk tidak menjadi terlalu retorik dalam memahami perkembangan masyarakat.
Black Skin, White Masks tulisan Frantz Fanon juga merupakan sebuah karya yang menarik. Dalam buku ini ada diceritakan mengenai mereka yang tertawan oleh penjajah. Apabila kita ditawan secara fizikal, kita harus menguasai minda, dhamir dan kekuatan fizikal untuk menghadapi penguasa. Bagi saya, nilai yang ditonjolkan dalam novel itu amat berguna untuk dijadikan bekalan kita sebagai anak muda. Bagi menghadapi cabaran kehidupan yang menekan dan hampir ke tahap penguasaan, kita sebagai subjek kehidupan tersebut, adakah kita mampu untuk menakluki minda dan mentaliti kita sendiri?
Sebagai seorang yang menceburi bidang politik, saya perlukan penguasaan luas dalam pelbagai bidang terutamanya apabila melibatkan anak muda. Dengan membaca, barulah saya dapat memberikan pandangan saya dengan lebih “eksotik” dan sofistikated.
Namun sejauh manapun pembacaan kita terhadap karya dan bahan bacaan seperti ini, tetap tidak dapat melawan kekuatan melalui pembacaan sirah iaitu sejarah para nabi dan rasul dalam membawa perjuangan Islam. Melalui pembacaan sirah, kita lebih menghargai perjuangan para anbiya dalam usaha menegakkan tauhid. Mereka berjuang menentang arus zaman.
Saya sedih apabila melihat kebanyakan anak muda yang terlibat dalam politik terutamanya jarang melakukan rujukan sirah. Kita hanya mengenali nabi sekadar nama tanpa mengetahui objektif perjuangan mereka. Ziaul Haque ada menulis dalam bukunya Prophet and Progress in Islam terbitan Utusan Publications menyatakan hakikat perjuangan nabi-nabi ialah mereka yang memperjuangkan sebuah gerakan revolusi dalam menentang penguasa yang zalim dan meruntuhkan status quo masyarakat. Seperti Rasulullah SAW dalam menentang kafir Quraisy, Baginda menunjukkan betapa konsistennya Baginda pada zamannya dengan meruntuhkan status quo yang ada dalam masyarakat.
Bagi saya, berlakunya kemelut dan krisis yang dihadapi di Malaysia ini adalah kerana kurangnya pembacaan dan kita tidak menjiwai penghayatan terhadap sirah. Kita perlu membayangkan serta meletakkan diri kita dalam situasi yang berlaku dahulu untuk kita merasai bahawa perjuangan terdahulu masih perlu diteruskan. Masih wujud keperluan untuk melakukan revolusi supaya wujud kesamarataan sosial. Masih wujud keperluan untuk melakukan revolusi menentang kemewahan para kroni sebagaimana Firaun yang langsung tidak ambil peduli tentang keperitan golongan miskin. Perjuangan para nabi itu perlu dipandang dari konteks semasa. Kisah perjuangan mereka masih relevan.
Nurul Izzah Anwar
Petikan Buku: Risalah #MalaysiaMembaca terbitan Jejak Tarbiah