Membicarakan mengenai Orang Kurang Upaya (OKU) di musim pandemik wabak Covid-19, adakah kita sebagai masyarakat prihatin akan nasib insan bergelar OKU. Sebenarnya, golongan OKU merupakan golongan yang sewajarnya dibantu di musim pandemik ini perlu dibantu dari segi pengurusan diri mahupun pengurusan emosi mereka. Sememangnya membeli barang keperluan secara dalam talian begitu mudah pada hari ini namun begitu tidak semua golongan OKU itu berkemampuan dan kebanyakan mereka hidup bagaikan kais pagi makan pagi kais petang makan petang. 

Isu golongan OKU  begitu terpinggir kerana rakyat pada hari ini dihimpit dengan masalah kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan, dibuang kerja dan pelbagai masalah yang begitu mendera emosi masyarakat.

Bagaimana nasib golongan OKU? Sekadar dijadikan dan diberikan keutamaan dalam pemberian vaksin juga sudah pasti tidak mencukupi. Sudah pasti mereka memerlukan penjagaan yang khusus seperti melengkapkan mereka dengan kemudahan-kemudahan kesihatan di rumah seperti kerusi roda, lampin pakai buang dan sebagainya. 

Ibu bapa dan waris yang menjaga golongan OKU juga perlu diberikan bantuan bukan sahaja dari sudut fizikal malah bantuan dari sudut sokongan emosi. Masihkah ada lagi semangat juang dalam kehidupan mereka? 

Merujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, OKU ialah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.

   Dasar OKU menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Dasar ini turut mengutamakan nilai hak kemanusian seperti kemuliaan, kehormatan dan kebebasan bagi membolehkan mereka hidup berdikari.malah mengelakkan golongan OKU dari dieksploitasi sebagai mangsa keganasan serta memberikan OKU kemudahan kesihatan terbaik dan kemudahan pendidikan kepada OKU agar mereka mampu untuk hidup berdikari dalam masyarakat. 

Namun begitu kita masih dapat melihat kes-kes penderaan terhadap golongan OKU yang masih lagi berleluasa akibat kurangnya kesedaran masyarakat. Hal ini terbukti apabila beberapa bulan yang lalu kita digemparkan dengan isu penderaan adik Bella sehingga wujudnya kampen #Justice For Bella yang dilancarkan oleh masyarakat. Berita ini sungguh menyedihkan dan di luar akal kewarasan kita sebagai manusia. 

Kes penderaan golongan OKU yang dilaporkan di media massa

 

Ilutrasi penderaan Bella :Sumber Capaian Internet. 

Rakyat Malaysia haruslah bersifat cakna dan tidak mementingkan diri mereka sendiri. Golongan OKU perlu diberikan peluang dan ruang untuk dibantu dari segi mental dan fizikal .Hal ini kerana mereka adalah golongan yang paling terjejas dan mereka mudah untuk rasa tersisih daripada masyarakat. 

Golongan OKU juga adalah golongan yang paling berisiko pada masa kini. Mereka mudah mengalami gejala kemurungan dan mudah untuk berasa cemas akibat pergerakan mereka yang terbatas lagi-lagi di musim pandemik. Apatah lagi mereka ini sering menjadi sasaran kemarahan golongan yang normal berikutan keadaan mereka yang sering dianggap sebagai golongan yang menyusahkan. 

Golongan OKU perlu diperkasakan agar golongan ini mampu untuk bisa mandiri dan setanding dengan golongan masyarakat normal. Pembangunan masyarakat  OKU ketika pandemik ini amat penting kerana mereka juga kebanyakannya terdiri daripada golongan B40 iaitu golongan yang bergaji rendah jika ingin dibandingkan dengan masyarakat lain. Kebanyakan golongan OKU ini bekerja sebagai penghantar makanan ,berniaga makanan dan sebagainya. Mereka juga golongan yang turut terjejas. 

Walaupun pelbagai inisiatif yang  disediakan kepada golongan OKU namun begitu seperti tidak sampai kepada sasarannya. Hal ini kerana kebanyakan pameran-pameran kerjaya sering dilakukan secara virtual dan hal ini menyukarkan golongan OKU yang tinggal di kawasan luar bandar dan terdapat juga ibu bapa atau keluarga yang tidak berkemampuan dan tidak mempunyai capaian internet. 

Masyarakat juga seharusnya cakna tentang emosi golongan OKU kerana mereka adalah golongan yang paling mudah terkesan dengan layanan masyarakat sekeliling. Sudah tiba masanya untuk masyarakat merubah paradigma mereka mengenai golongan OKU yang sering dianggap sebagai manja dan menyusahkan.  Tanggapan sebagai anak syurga dan segala gelaran yang boleh melemahkan golongan ini harus ditangkis. Masyarakat harus menyedari golongan OKU juga sudah ramai yang berpendidikan cuma mereka tidak diberi peluang. 

Menurut Mohd Yusof Azmi iaitu seorang aktivis masyarakat menyatakan bahawa satu pasukan khas perlulah diwujudkan bagi meneliti secara serius tentang kes penderaan remaja kurang upaya. Sebanyak 3,875 kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak direkodkan di negara ini sehingga September. 

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, jumlah itu menunjukkan trend menurun berbanding tahun 2019 yang berjumlah 6,061 sementara jumlah kes pada tahun 2018 sebanyak 5,578 kes yang melibatkan empat jenis kategori penderaan iaitu fizikal, seksual, emosi dan pengabaian. 

Golongan OKU merupakan golongan yang paling terancam kerana memiliki kepayahan untuk mengekses  maklumat mengenai Covid-19, terdedah kepada masalah kebersihan dan pengangkutan untuk kembali bekerja ketika wabak Covid-19 melanda dunia. Mereka memerlukan lebih penjagaan dari segi kesihatan mental dan fizikal bergantung kepada jenis kecacatan mereka.

Pada 26 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Dunia telah menggariskan bahawa majikan perlulah dipertanggungjawabkan memberi penyediaan peralatan kepada pekerja mereka yang memiliki kelainan upaya semasa pandemik Covid-19 seperti menunjukkan cara memakai penutup muka yang betul dan sebagainya dan memastikan golongan kurang upaya boleh bekerja dari rumah melalui akses teknologi yang mencukupi agar risiko mereka dijangkiti wabak Covid 19 dapat dikurangkan. Ketiga menyediakan sanitasi tangan ( Hand sanitizers) kepada para pekerja OKU di tempat yang mudah diakses oleh mereka. Menyediakan kemudahan penghantaran secara atas talian di semua kedai kepada golongan OKU ini.

Masyarakat sewajarnya berganding bahu membantu golongan OKU agar mereka ini mampu bangkit berjuang untuk kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. Masyarakat setempat seperti JKKK taman perumahan dan ,Ketua Kampung malah  pihak-pihak berwajib dan pihak-pihak golongan pemegang taruh sewajarnya mempunyai kesedaran yang tinggi bagi membantu golongan OKU.

Disediakan oleh,

Nur Izzati Hazwani

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Sejarah UKM. Dikenali nama pena sebagai Sutera Rindu. Berminat menulis dan menghasilkan 22 artikel bersama laman Jejak tarbiah dan turut menulis artikel  berkaitan keibu bapaan, perhubungan ,sejarah dan politik. Gemar akan lagu-lagu berbentuk puisi rock, RNB dan Pop dan jika ada kelapangan gemar menulis lirik. Mengasaskan FB Page Suterawriter sebagai medium untuk penulis menulis cerpen.

SUMBER RUJUKAN

Kes Dera  Kanak-kanak Sehingga September ini

Dasar Orang Kurang Upaya   

Nur Faznie Aida Kes Dera Remaja OKU: Pasukan Khas perlu diwujudkan. Laporan Sinar Harian Bertarikh 17 Julai 2021.https://www.sinarharian.com.my/article/150519/BERITA/Semasa/Kes-dera-remaja-OKU-Pasukan-khas-perlu-diwujudkan

UN SG at launch Of Policy Brief on Persons with Disabilities and Covid-19  https://youtu.be/1eEeDeohfgo 

Mohd Fudzail Mohd Nor ,Mengabaikan OKU semasa Pandermik Laporan Sinar Harian Bertarikh 30 Januari 2021. https://www.sinarharian.com.my/article/121499/KHAS/Pendapat/Mengabaikan-OKU-semasa-pandemik

Disability considerations during the COVID-19 outbreak: laman web World Health Organization Bertarikh 26 Mac 2020. https://www.who.int/publications/i/item/WHO-2019-nCoV-Disability-2020-1

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.