Imam Al-Ghazali merupakan seorang ulama’ yang mahsyur. Begitu banyak pesanan beliau yang amat berguna dalam menjalani kehidupan dunia mahupun akhirat.

Pada suatu hari, Imam Al-Ghazali telah memanggil anak-anak didikannya. Setelah berkumpul kesemua pelajarnya, beliau telah bertanya kepada mereka akan beberapa soalan.

Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini? Beliau bertanya kepada semua yang berkumpul. Sebilangan daripada mereka menjawab ibu bapa, guru, dan ahli kerabat mereka.

“Benar”, balas Imam Al-Ghazali. “Namun yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini adalah kematian” sambung beliau.

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Sepotong ayat Al-Quran daripada Surah Ali Imran, ayat 185.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

Kemudian beliau menyoal lagi, “Apakah yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?” Ada yang menjawab Matahari, Bulan, negeri China dan lain-lain. Imam Al-Ghazali mengiyakan kesemua jawapan muridnya.

Kemudian beliau menyambung, “Namun yang paling benar adalah masa lampau.”

Walau dengan menaiki kenderaan selaju cahaya, kita tidak mungkin sampai ke masa lalu. Maka, janganlah kita membazir masa seperti golongan yang dilaknat Allah dalam surah Al-‘Asr.

“Apakah yang paling besar di dunia ini?” tanya beliau lagi.

“Gunung!”

“Matahari!”

“Bumi”

Imam Al-Ghazali mengangguk setiap kali jawapan disuarakan. Tanda beliau membenarkan jawapan-jawapan tersebut.

Lalu beliau berkata, “Nafsu adalah yang paling besar di dunia ini.”

Setiap orang pasti mempunyai nafsu, namun seseorang yang tunduk kepada nafsunya akan menyebabkan dia gagal menggunakan akal, mata, telinga dan hati berlandaskan syariat yang dituntut setiap anggotanya.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’araaf: 179)

Pertanyaan keempat beliau adalah, “Apakah yang paling berat di dunia ini?”

Besi dan gajah adalah jawapan kebanyakan pelajar yang berkumpul itu. “Hampir benar,” balas beliau. Lalu beliau meneruskan ayatnya, “Yang paling berat di dunia ini ialah memegang amanah.”

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak
patut dikerjakan.” ( Surah Al-Ahzaab: 72 )

Namun manusia zaman ini sombong dengan kekuasaan yang diberikan sedangkan malaikat, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan gunung-ganang tidak mampu ketika Allah meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini.

Subhanallah, Sungguh bongkak manusia, sehingga banyak dari manusia dimasukkan ke dalam neraka kerana tidak mampu memegang amanahnya.

“Apakah yang paling ringan di dunia ini?” soal Imam Al-Ghazali lagi.

Sebahagian pelajar menjawab kapas dan angin. “Sungguh, meninggalkan solat adalah yang paling ringan di dunia ini,” jawab guru mereka itu. Buktinya, kerana kerja manusia sanggup meninggalkan solat. Padahal, solat merupakan tuntutan utama agama Islam.

Surah Al-Baqarah ayat 149 ini merupakan dalil kepada tuntutan bersolat,
“Dan dari mana saja engkau keluar ( untuk mengerjakan solat ) hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram ( Kaabah ). Sesunggunya perintah berkiblat ke Kaabah itu benar dari Allah ( tuhanmu ) dan ingatlah Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan”

“Apakah yang paling tajam di dunia ini?” Imam Al-Ghazali melontarkan pertanyaan terakhir beliau.

“Mata pedang!” Semua serentak memberi jawapan. “Benar, namun lidah manusia jauh lebih tajam dari mata pedang,” lidah lebih tajam berbanding pedang kera ia bisa melukai hati dan menyakiti perasaan saudaranya sendiri.

Yang paling dekat di dunia adalah kematian,
Yang paling jauh di dunia adalah masa lalu,
Yang paling besar di dunia adalah nafsu,
Yang paling berat di dunia adalah amanah,
Yang paling ringan di dunia adalah meninggalkan solat,
Yang paling tajam di dunia adalah lidah manusia.

Demikianlah 6 pesanan Imam Al-Ghazhali. Sesungguhnya, nasihat ini adalah yang paling agung dan masyhur daripada beliau.

 

 

Oleh Alia Hazha

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.