Dalam disiplin ilmu psikologi, khususnya psikoanalisis, mungkin multisemesta boleh dijelaskan dengan keinginan keinginan seseorang itu telah ditekan ke dalam minda bawah sedar.
Freud berpendapat dalam teorinya berkenaan bagaimana keinginan keinginan manusia tidak hilang, tetapi sebenarnya telah ditekan (repressed) ke dalam minda bawah sedar. Keinginan keinginan tersebut ditekan sehingga kita tidak akan ingat mengenainya kerana dikhuatiri jika kita tahu dan ingat, keinginan tersebut akan mengawal emosi dan minda sehingga akan mengganggu kehidupan realiti seseorang itu.
Jika dalam filem Dr Strange in The Multiverse of Madness menjelaskan mimpi merupakan kejadian yang sebenar terjadi kepada kita namun di multisemesta yang berbeza, ini juga sebenarnya tidak lari jauh daripada idea dan teori Freud mengenai mimpi yang merupakan pintu kepada keinginan keinginan yang telah ditekan ke dalam minda bawah sedar.
Mimpi, menurut Freud merupakan kepingan kepingan kepada keinginan kita yang telah di tapis oleh minda. Keinginan keinginan yang berada di dalam minda bawah sedar perlu untuk dikeluarkan juga sesekali agar tidak ditekan terlalu lama. Jadinya, mimpi itu dikeluarkan sebagai satu alternatif untuk terjemahkan keinginan keinginan kita. Oleh kerana itu, Freud juga menjelaskan mengapa kita sukar untuk mengingat kembali mimpi kita. Ini merupakan salah satu mekanisma pertahanan daripada minda agar keinginan itu tidak keluar mengganggu kehidupan realiti kita.
Begitu pandangan Freud yang telah membuka teori psikoanalisis dalam psikologi sebagai sebuah idea untuk memahami tingkah laku manusia. Kekuatan idea-idea Freud ini bermula sewaktu melakukan kajian bersama dengan Joseph Bauer terhadap punca-punca berlakunya histeria pada seorang pesakit wanita pada waktu tersebut. Psikoanalisis cuba untuk menjelaskan bagaimana tingkah laku manusia yang abnormal itu berlaku disebabkan oleh manusia itu sendiri yang mempunyai terlalu banyak keinginan-keinginan yang sukar untuk diterjemahkan ke dalam realiti.
Konsep id, ego dan superego yang diperkenalkan juga memberi maksud bahawa manusia ini secara sifat asalnya merupakan makhluk yang mempunyai banyak keinginan namun disekat oleh realiti. Penggunaan konsep id, ego dan superego yang merujuk kepada keinginan, penyekatan dalam realiti dan kekangan dari budaya, masyarakat serta agama menjelaskan tentang bagaimana Freud itu sendiri merasakan manusia ini tidak layak untuk hidup di dalam dunia realiti kerana penuh dengan kekangan.
Dalam filem Everything Everywhere All at Once, multisemesta dijelaskan seakan mirip dengan teori mimpi yang dikeluarkan oleh Freud. Ketika kita dihidangkan dengan babak kehidupan Evelyn dalam semesta lain, terdapat satu kehidupan dirinya yang mana dia tidak membuat keputusan untuk mengikut suaminya sekarang, sebaliknya kekal bersama ibu bapanya dan kehidupan tersebut digambarkan sebagai kehidupan paling bahagia buatnya. Ini merupakan salah satu contoh keinginan dalam minda bawah sedar Evelyn tersebut. Evelyn merasakan kehidupan realitinya tidak bahagia, tambahan lagi dengan keadaan anaknya pula yang akan semakin jauh darinya, membuatkan keinginan keinginan tersebut mula keluar dalam bentuk yang boleh mengganggu kehidupan realiti nya.
Gambaran tentang bagaimana kerosakan yang akan jadi jika Wanda dapat berpindah ke multisemesta yang terdapat kehidupannya bersama dengan anak anak akan menghadapi kehancuran, begitu juga yang akan terjadi jika kita sebagai manusia memilih untuk kekal dalam kenangan yang diulit indah bersama keinginan keinginan kita. Keadaan ini disebut oleh Freud sebagai neuroses yang boleh terjadi dalam banyak bentuk masalah mental.
Penjelasan tentang keinginan-keinginan serta kegagalan untuk berpegang pada dunia realiti kerana masih bersangkut dengan kenangan-kenangan silam mungkin mudah untuk dijelaskan dengan penggunaan ayat ‘kalau’.
‘Kalau’ merupakan ayat yang ditegah untuk tidak menggunakannya kerana ia melambangkan kegagalan seseorang Muslim itu untuk berpegang pada takdir. Kita sebagai seorang yang beragama Islam yang percaya pada Qada dan Qadar, tidak seharusnya bergantung kepada kenangan-kenangan yang semakin menjauhi kita sehingga sukar untuk menikmati kehidupan pada dunia realiti. Namun begitu, kenangan-kenangan tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja. Setiap perjalanan kehidupan seseorang manusia itu akan membawa kita kepada kehidupan kita pada sekarang ini. Segala keperitan, kegagalan, kekecewaan yang telah kita tempuh sebelum ini merupakan antara luka-luka yang menguatkan kita menjadi seorang manusia yang semakin kuat menerima ujian dalam kehidupan.
Namun begitu, tidak dinafikan terdapat juga mereka ini yang sukar untuk melupakan kenangan-kenangan dari masa lalu. Keupayaan untuk hidup dengan menerima takdir yang tertulis, tidak sama antara kita sesama manusia. Ada yang mampu menerima takdir dengan redha, namun ada juga yang masih berusaha untuk keluar daripada kegembiraan sementara dari kenangan-kenangan yang sukar untuk dilupakan.
Teori psikoanalisis oleh Freud ini sukar untuk diterima oleh kita sebagai seorang Muslim. Freud cuba untuk melihat manusia itu dari sudut bagaimana manusia ini cuma bertingkah laku melalui keinginan-keinginan kita. Freud secara langsung menganggap bahawa manusia ini secara fitrahnya jahat dan mempunyai banyak keinginan-keinginan yang tidak diterima oleh realiti.
Psikologi Islam menyangkal idea-idea Freud ini dengan meletakkan manusia itu suci, mulia dan secara fitrahnya manusia itu baik dan juga berkehendak kepada agama/tuhan. Kebahagiaan seseorang manusia itu juga tidak dinilai dari sudut keinginan serta kehendak jasmani manusia itu sahaja, malah menurut Prof Syed Naquib Al Attas, kebahagiaan paling tinggi buat seseorang manusia ialah dengan kembalinya manusia itu dengan sepenuh jiwa dan raganya kepada Allah, tuhan yang Maha Pencipta. Syed Naquib Al Attas mengaitkan bagaimana kefahaman yang betul terhadap agama iaitu Islam serta pegangan tauhid yang kukuh akan membawa manusia itu kepada sebuah kebahagiaan yang abadi.
Manusia, tiada daya usaha yang dapat dibuat tanpa izinNya. Begitu juga dengan takdir perjalanan kehidupan yang telah tertulis sejak dari Luh Mahfuz lagi. Bagi kita sebagai seorang manusia yang percaya dengan takdir dan juga jalan kehidupan yang telah diatur oleh Allah, maka setiap dari peristiwa kehidupan, baik, suka dan gembira, malah yang buruk, duka dan sedih merupakan antara jalan kehidupan yang terbaik untuk setiap dari kita. Usaha untuk cuba memahami takdir yang telah berlaku, serta cabaran untuk hidup dengan kenangan-kenangan yang mendewasakan tidak hanya tertakluk kepada ritual semata-mata namun harus bergandingan dengan spiritual yang juga seharusnya seiring.
Al Kindi menyatakan bahawa untuk mencapai kebahagiaan, manusia perlu mengubah keinginan-keinginan terhadap perkara atau benda yang tidak kekal, dan hanya fokus mengejar perkara-perkara yang kekal iaitu mengejar ilmu. Idea Al Kindi ini juga menjadi tunjang utama dalam ideologi Al Attas dalam memahami kebahagiaan manusia. Usaha mempelajari ilmu yang baik, benar akan membawa manusia itu kepada kebahagiaan yang teratas, iaitu kebahagiaan dalam mengenal dirinya sendiri serta mengenal Tuhan.
Mimpi, berupa cebisan kenangan kenangan yang bercampur bersama keinginan daripada dasar hati kita boleh menjadi racun walaupun dasarnya merupakan antara punca kekuatan kita dalam menghadapi kehidupan masa sekarang. Kenangan lalu biar sahaja tersimpan kukuh dalam ingatan buat penguat semangat, lalu teruskan mencipta kenangan baru buat diri sendiri dan juga orang sekeliling.
Disediakan oleh: Mohd Rashidi Bin Radzali