Apabila kita memasuki sahaja ke dalam bulan Rabiulawal, tentulah kita terkenang akan seorang insan yang paling mulia yang pernah wujud di dunia ini. Seorang insan yang mendapat tempat istimewa dalam hati ramai manusia. Baginda jugalah seorang insan yang terpilih menjadi Rasul membawa wahyu Tuhan, menjadi rahmat kepada sekalian alam.
Bulan Rabiulawal menjadi saksi berlakunya dua peristiwa besar yang mengubah landskap kehidupan manusia. Dalam bulan inilah seorang insan yang dinanti-nantikan kemunculannya telah dilahirkan. Dalam bulan inilah juga insan tersebut pergi menemui Penciptanya. Baginda ialah junjungan besar kita, Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Muttalib Bin Hasyim.
Tarikh 12 Rabiulawal telah diterima umum sebagai tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW. Namun begitu, terdapat beberapa perbezaan pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi Muhammad SAW. Hal ini kerana, baginda lahir sama seperti manusia biasa yang lain lahir. Kelahiran baginda tidak diiringi dengan kejadian pelik atau ajaib yang pastinya mencuri perhatian manusia. Malah, konteks zaman ketika baginda hidup tidaklah serupa dengan konteks zaman sekarang yang mana setiap kelahiran akan direkod. Maka, tiada sesiapa yang begitu mengambil kisah perihal kelahiran baginda ketika itu. Hanya setelah baginda menyebarkan wahyu Tuhan, barulah manusia mula mengambil tahu hal berkenaan baginda.
Perihal tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW yang dikatakan jatuh pada Tahun Gajah juga punya pertikaian. Majoriti mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW lahir pada tahun berlakunya peristiwa serangan tentera bergajah. Ada yang mengatakan baginda lahir 10 tahun kemudian, dan ada juga yang mengatakan Nabi Muhammad SAW lahir 15 tahun selepas itu. Malah, terdapat juga pandangan yang agak mustahil yang mengatakan Nabi Muhammad SAW lahir 40 tahun setelah Tahun Gajah.
Sekalipun begitu, terdapat petunjuk kuat yang memberi isyarat bahawa baginda dilahirkan pada hari Isnin. Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah Al-Ansari RA, beliau berkata: Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah ditanya mengenai amalan berpuasa pada hari Isnin, maka baginda SAW bersabda, “Pada hari itu aku telah dilahirkan dan pada hari itu diturunkan ke atasku (Al-Quran)” – HR Muslim (1162).
Maka, berpadalah untuk kita melihat tarikh sebenar kelahiran Nabi Muhammad SAW itu sebagai satu perkara andaian (zanni). Tidak perlulah kita mengatakan bahawa hanya satu tarikh itu sahaja yang betul dan pandangan berkenaan tarikh yang lain ternyata salah. Tidak perlulah kita bersikap keras dengan perbezaan pendapat yang wujud. Apa yang wajar diberi penekanan ialah tujuan baginda dilahirkan, iaitu menjadi contoh ikutan kepada manusia dalam mengharungi kehidupan di dunia ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah.
Dengan mengambil kira kepelbagaian pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi Muhammad SAW, Perlis mengambil inisiatif menjadikan keseluruhan bulan Rabiulawal sebagai bulan pendidikan rasul, atau bulan Zikra Rasul. Bulan Rabiulawal didedikasikan untuk diisi dengan pelbagai majlis ilmu yang memfokuskan perihal insan yang paling mulia yang pernah wujud di dunia ini. Rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW haruslah dibina atas ilmu yang sahih mengenai baginda. Maka, amat moleklah jika usaha untuk memberi pendidikan kepada masyarakat perihal Nabi Muhammad SAW dapat sentiasa dijalankan.
Walaupun begitu, ia tidaklah bererti hanya dalam bulan Rabiulawal kita dianjurkan untuk mengingati baginda. Rasa cinta dan semangat untuk menambah ilmu berkenaan Nabi Muhammad SAW tidak wajar dijadikan aktiviti bermusim. Namun, sifat manusia yang sentiasa lupa memerlukan peringatan yang berkala. Maka, bersempena dengan bulan Zikra Rasul, Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menganjurkan Forum Zikra Rasul: Kelahiran Rasul: Sejarah & Pengajaran di Kangar baru-baru ini. Para panel telah mengupas topik tersebut dengan pelbagai huraian dalam forum yang berlangsung kira-kira dua jam itu.
Masyarakat yang menyembah berhala merupakan golongan dominan yang berada di Tanah Arab ketika itu. Hal ini dapat dilihat termasuklah di sekeliling Kaabah yang mana mereka meletakkan berhala-berhala tersebut. Mereka ialah golongan musyrikin yang mana jika ditanya kepada mereka siapakah Tuhan, pasti mereka akan menjawab Tuhan itu ialah Allah. Mereka sendiri mengakui menyembah Allah. Tetapi, mereka sebenarnya telah mensyirikkan Allah kerana menjadikan berhala sebagai perantara yang kononnya membantu mendekatkan diri mereka dengan Allah. Sesungguhnya, hubungan kita dengan Allah ialah hubungan langsung tanpa memerlukan sebarang perantara. Begitulah istimewanya hubungan kita dengan Pencipta kita.
Apabila sudah sampai kepada kemuncak kesesatan, iaitu tahap kesyirikan kepada Allah yang terlalu berleluasa dalam masyarakat, Allah akan menurunkan seorang Nabi atau Rasul. Kita harus akui terdapat juga akhlak masyarakat Arab yang baik seperti berani, suka membantu, dan memuliakan tetamu. Tetapi, akhlak baik tersebut diamalkan dalam semangat kabilah atau assabiyyah. Apabila asas utama akidah sudah tidak berada di landasan yang betul, maka nilai budaya dan kemasyarakatan juga akan menyimpang. Jika akidah tidak betul, Allah tidak mengambil kira akhlak yang baik itu. Setiap umat akan ada rasul yang mengajak untuk kembali kepada Allah. Para rasul bukanlah mengajak kepada agama baru melainkan semuanya mengajak kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Oleh sebab itulah, Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah untuk menyempurnakan akhlak manusia.
“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak” – HR Ahmad (8952).
Nabi Muhammad SAW menyempurnakan lagi akhlak masyarakat Arab yang sudah sedia baik dari sudut membetulkan niat atau tujuan kenapa akhlak-akhlak baik itu dilakukan. Contohnya, jika sebelum itu masyarakat Arab berani untuk mempertahankan kabilah tanpa menghiraukan betul atau salah, sifat berani itu disalurkan kepada berani mempertahankan ajaran Islam.
Selain musyrikin, di Tanah Arab juga wujud golongan sesat yang lain iaitu Nasrani, Yahudi, dan dahriyyun, iaitu golongan yang tidak percaya pada hari akhirat dan kebangkitan semula. Hanya terdapat segelintir kecil sahaja golongan masyarakat yang masih mengikuti ajaran Nabi Isa yang benar seperti Waraqah Bin Naufal yang beriman dengan kitab Injil. Oleh sebab itulah, Waraqah Bin Naufal mudah sahaja untuk mempercayai kisah yang dikhabarkan apabila Khadijah Binti Khuwailid datang membawa Nabi Muhammad SAW setelah didatangi Malaikat Jibril di Gua Hira’. Malah, beliau sendiri mengakui Nabi Muhammad SAW itulah nabi yang dimaksudkan dalam kitab. Khabar kemunculan seorang nabi pada akhir zaman telah ada dalam kitab-kitab golongan Yahudi dan Nasrani.
Sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW, telah pun wujud perkampungan Yahudi di Madinah. Golongan Yahudi ternanti-nanti kemunculan seorang nabi yang mana ciri-cirinya telah pun diketahui secara terperinci seperti mana yang dinyatakan dalam kitab-kitab yang mereka anuti. Malah, mereka juga telah pun mengetahui di mana asal-usul nabi dan ke mana nabi tersebut akan berhijrah. Maka, bukanlah satu perkara yang mengejutkan apabila Nabi Muhammad SAW muncul mengakui dirinya pembawa risalah Allah. Bagindalah insan yang dinanti-nantikan itu.
Hal ini dirakam dalam Surah Al-Baqarah, ayat 146: Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad SAW dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya) perbuatan yang demikian.
Walaupun begitu, apabila nabi akhir zaman tersebut dari masyarakat Arab dan bukan dari kalangan Bani Israel, golongan Yahudi jugalah yang beria-ia menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW. Pengajaran yang dapat kita ambil di sini ialah sudah menjadi fitrah manusia yang terdorong untuk mencari kebenaran. Apabila sudah tiba kebenaran tersebut, apa yang tinggal untuk kita lakukan ialah untuk mengikut sahaja apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.
Apabila munculnya Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, masyarakat yang asalnya bermusuh-musuhan akhirnya dapat bersaudara atas nama agama. Allah menyelamatkan masyarakat Arab yang ketika itu hidup dalam kesyirikan dengan menghantar Nabi Muhammad SAW agar mentauhidkan Allah. Dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, masyarakat Arab akhirnya memperoleh hidayah yang menyelamatkan mereka daripada terjun ke dalam neraka.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kelahiran Nabi Muhammad SAW tidaklah diiringi dengan kejadian pelik atau ajaib. Banyak kisah yang tidak sahih yang turut disertakan dalam sirah dan diterima bulat-bulat oleh masyarakat. Kononnya, ketika Nabi Muhammad SAW lahir, telah bergegar kawasan lapang dan menara. Kononnya, telah terpadam api yang disembah oleh Majusi yang mana api tersebut tidak pernah terpadam selama 1000 tahun. Kononnya, ada cahaya yang keluar ketika baginda dilahirkan. Kononnya juga telah hilang ilmu dari ahli sihir. Pelbagai kepalsuan telah terpalit menjadi sebahagian daripada sirah kelahiran baginda.
Syarat untuk sesuatu riwayat diambil masuk ke dalam ilmu sirah tidaklah seketat syarat untuk sesuatu riwayat diambil masuk ke dalam bidang hadis. Hal ini menyebabkan banyak riwayat yang tidak pasti kesahihannya pun termasuk dalam ilmu sirah. Tambahan pula, riwayat ketika Nabi Muhammad SAW berada di Mekah, terutamanya sebelum baginda dilantik menjadi rasul, sangatlah sedikit.
Kita tidak menafikan Nabi Muhammad SAW punya pelbagai mukjizat yang tidak dikurniakan oleh Allah kepada manusia lain. Atas kapasiti itu, percaya atau tidak percaya kita pada sesuatu perkara bukanlah berdasarkan sama ada ia pelik atau tidak. Jika ia melibatkan soal agama, mesti ada dalil yang menjadi bukti kebenarannya supaya kita boleh mempercayainya, walaupun perkara itu pelik pada pandangan logik akal.
Tanda kiamat yang paling besar yang sudah pasti telah terjadi ialah kelahiran Nabi Muhammad SAW dan kerasulan baginda. Kelahiran Nabi Muhammad SAW ialah satu petanda besar kerana baginda ialah penutup sekalian nabi. Dalam Surah Al-Ahzab, ayat 40: Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Pada masa sama juga, kita perlu menerima hakikat yang Nabi Muhammad SAW sudah pun menemui Penciptanya. Tiada apa lagi yang ditinggalkan oleh baginda melainkan dua bekalan terbesar kepada manusia iaitu Al-Quran dan sunnah. Apabila hakikat tersebut dapat diterima, para ulama membangun dan mengukuhkan disiplin ilmu hadis kerana itulah bekal yang ditinggalkan oleh baginda kepada manusia untuk hidup beragama sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Hanya dengan beriman dengan hakikat yang Nabi Muhammad SAW sudah pun wafat, kita dapat meneruskan kehidupan dengan berpegang teguh dengan Al-Quran dan sunnah
Moga bermanfaat catatan ini buat diri yang menulis dan kalian yang membaca.
Disediakan oleh,
Syamim Binti Hashim