MISTERI ANGKA 7 DALAM PEMIKIRAN MALAYONESIA: ALAM MELAYU

555

Angka 7 telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita sebagai sutu angka yang mempunyai mistiknya tersendiri. Bahkan angka ini juga dikaitkan dengan satu unsur ghaib mistik yang membawakan tuah kepada mereka yang mereka yang mempercayainya. Sering juga kita mendengar angka ini dalam perbahasan kosmologi Islam, seperti tujuh lapisan langit, tujuh lapisan bumi, tujuh tingkat neraka, tujuh syurga.

Bahkan dalam sejarah Melayu, kita mendengar sumpahan Mahsuri tentang Pulau Langkawi menjadi “padang jarak padang tekukur” selama tujuh keturunan, atau sumpahan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang terhadap orang berdarah laksamana Bentan atau Megat Seri Rama bermuntah darah selama tujuh keturunan sekiranya menjejakkan kakinya di Kota Tinggi.

Hal ini menimbulkan suatu misteri dalam pemikiran mistik masyarakat Melayu akan angka 7 ini. Monograf Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohammad Zain terbitan 2018 cuba menelusuri kesejarahan angka 7 dalam pemikiran Malayonesia dari pelbagai aspek besertakan penggunaanya dalam kesusasteraan ilmu Melayu klasik.

Penggunaan angka 7 terawal dapat dikesan pada abad ke-4 Masihi melalui Prasasti Đông Yen Châu, berbahasakan Melayu-Cam bertulisan Brahmi Selatan Kuno, yang ditemukan di Đông Yen Châu, di bahagian timur laut Trà Kiệu, wilayah Quảng Nam, Vietnam. Di dalam prasasti ini dimuatkan hukuman, selain ganjaran, bagi mereka yang menghina perlambangan naga suci milikan raja akan dihumbankan ke neraka, besertakan tujuh keturunannya, selama seribu tahun.

“Ya urāng paribhū di ko, kurun saribu thun davam di naraka, dengan tijuh kulo ko”

“Whoever insults him, he will remain for a thousand years in hell, with seven generations of his family.”

Perhatikan pada istilah “tijuh” yang kini digunakan dalam bahasa Melayu Moden sebagai “tujuh”. Walau bagaimanapun, signifikan “tijuh” dalam prasasti ini malang sekali tidak membukakan pemaknaan simbolik mistik yang mampu diperjelas, walaupun angka tersebut digunapakai dan diwarisi terkemudiannya. 

Jika dianjakkan lebih kurang seribu tiga ratus tahun kemudian, di dalam karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri bertajuk “Bustan as-Salatin” pada bab pertamanya berjudul “Kejadian Tujuh Petala Langit dan Bumi dan Makhluk di Dalamnya” menggunakan angka “7” atau gandaannya sebagai sukatan dalam memerihalkan perkara bersifat astronomi-kosmologi yang bersifat misteri. Hal ini dapat diperhatikan seperti berikut:


Wafaq (Azimat) daripada salinan manuscript Fath al-Malik al-Majid dikarangkan oleh Ahmad al-Dayrabi (1738/9M). Sawaqit merujuk kepada tujuh huruf yang tiada dalam Surah al-Fatihah, dan “Names” di sini merujuk kepada tujuh nama Asma’ al-Husna Allah. Dipetik daripada artikel Llyod A. Graham bertajuk “A comparison of the Seven Seals in Islamic esotericism and Jewish Kabbalah”.

“Nur Muhammad itu ada banyak negeri: Ada tujuh puluh ribu negeri atas durrat al-baydha’ dan luas setiap negeri itu tujuh puluh kiyan yang bersamaan dengan tujuh kali dunia ini; dan dalam setiap setiap negeri itu ada tujuh puluh ribu negeri lagi”

Berkaitan ‘Arasy Allah, ar-Raniri mengatakan bahawa ‘Arasy dihiasi dengan tujuh puluh warna dan lidah ‘Arasy mempunyai tujuh puluh ribu dan mengucapkan tasbih kepada Allah. Berkaitan matahari, ar-Raniri menyebutkan bahawa matahari merupakan satu suku daripada tujuh puluh ribu suku daripada cahaya ‘Arasy. Berkenaan selepas langit ketujuh selepas Bukit Qaf, ar-Raniri mengatakan bahawa terdapat tujuh puluh ribu lapis hijab berbagai jenis, kemudiannya diikuti tujuh puluh ribu hijab daripada laut, tujuh puluh ribu sungai, dan kemudiannya di penghujung akhir hijab tersebut tersingkapnya pohon yang dinamakan “Sidratul Muntaha”.

Tidak kurang daripada itu, ar-Raniri juga menggunakan angka “7” atau gandaannya pada kejadian bumi. Ar-Raniri mengatakan bahawa Bukit Qaf merupakan pasak yang menetapkan bumi dan disebalik Bukit Qaf terdapat tujuh lapis alam yang setiap satunya itu mempunyai tujuh puluh bumi. Ar-Raniri menambah bahawa bagi tiap-tiap bumi tersebut disebaliknya terdapat tujuh puluh ribu alam

Malah kejadian alam semesta juga dikaitkan dengan angka “7” oleh ar-Raniri berdasarkan teori Nur Muhammad, di mana setiap selang ciptaan kejadian Qalam, Lawh, ‘Arasy, syurga, neraka, dan malaikat kira-kira tujuh puluh ribu tahun.

Jika ditelusuri pula pada manuskrip perubatan Melayu dikarangkan oleh Abdul Rahman pada tahun 1795M/1210H, Tib Azimat, bilangan “tujuh” dijadikan sebagai sukatan dalam pengambilan ubat dan perawatan. Bilangan tujuh dalam makan, minum, lumur, atau jaram/cucur ubatnya digunakan sebanyak tujuh kali, pagi, hari, butir, atau lain-lain dijadikan sukatan pengambilan ubat dan perawatan. Sukatan ubat atau unsurnya juga diambil dalam bilangan tujuh jenis dari pelbagai flora, atau bahagiannya dijadikan dikatakan di dalam kitab tersebut. 

Selain Tib Azimat, kitab Taj al-Muluk (Tajul Muluk) dikarangkan oleh Sheikh Isma’il Aceh/al-Asyi, turut menggunakan perawatan melalui kaedah zikir dan bacaan al-Quran sepertimana dinyatakan di dalam kitab tersebut. Antaranya seperti mengambil air hujan pada malam jumaat atau harinya, kemudiannya membaca ayat Kursi sebanyak 70 kali, Surah al-Qadr 70 kali, Surah al-Ikhlas 70 kali, Surah al-Falaq 70 kali, Surah an-Nas 70 kali, bertasbih+tahmid+takbir+tahlil+ la haula wala quwwata illa billa 70 kali, berselawat 70 kali, dan minum air tersebut pada waktu pagi dan petang sesukat satu [fa ya alif lam] selama 7 hari berturut-turut. Walau bagaimanapun ikhtiar tersebut diakhiri dengan bertawakal kepada Allah akan keizinan-Nya supaya dilindungi penyakit. Hal ini menunjukkan konsep tawakal kepada Allah diterapkan dengan menggunakan “insya-Allah” pada akhir ikhtiar tersebut.

Beberapa contoh manuskrip dan prasasti di atas menunjukkan angka “7” digunakan dalam masyarakat Melayu daripada berbentuk sukatan kepadalah menyatakan perihal kosmologi Islam. Namun demikian, signifikan tujuh ini seperti dinyatakan sebelum tidak mempamerkan makna simbolik mistik yang menjadikan angka ini menjadi begitu misteri dalam pemikiran Malayonesia.

Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohammad Zain memberikan sedikit penjelasan mengenai angka “7” itu sebagai suatu metafora simbolik bagi melambangkan kesempurnaan dan muktamad dalam bilangan. Tujuh merupakan metafora bilangan yang menggambarkan kejangkauan yang melangkaui perbatasan bilangan dalam pengukuran dan sukatan, seperti contohnya jarak jauh, ketinggian, dan sebagainya. Hal ini ditambahkan oleh Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohammad Zain dengan mempamerkan beberapa peribahasa yang menggunakan angka tujuh. Antaranya seperti “Bagai rambut dibelah tujuh”, “gagak dimandi tujuh kali sehari pun tak kan putih bulunya”, “sifat tujuh laksana”, dan “tujuh petala langit dan bumi”.

Angka “7” dalam pemikiran Malayonesia mempunyai makna mistisnya tersendiri dan kelihatannya diwarisi semenjak periode Malayonesia mengamalkan ajaran Hindu dan Buddha sepertimana disaksikan pada Prasasti Đông Yen Châu. Kemudiannya ketika berlakunya proses pengIslaman masyarakat Malayonesia, angka “7” juga turut mengalami perkembangannya dan diserapkan ke dalam kosmologi, perubatan, dan sukatan. Namun demikian, perkara ini memerlukan penelitian begitu mendalam, memandangkan kekurangan bukti bertulis di Malayonesia; Alam Melayu, dan menimbulkan beberapa persoalan lainnya.

Antaranya adalah apakah makna falsafah dan mistis angka “7” dalam pemikiran Malayonesia sebelum dipengaruhi Hindu, Buddha, dan Islam, apakah yang difahami angka “7” dalam falsafah Hindu, Buddha, dan Islam yang tidak ada dalam pemikiran Malayonesia, atau apakah angka “7” pada periode Melayu Klasik juga tersebar dalam tradisi ilmu lain, selain daripada astronomi, kosmologi, perubatan, dan sukatan. Hal ini memerlukan suatu usaha penelitian yang mendalam seganding meneliti konsep penomboran dan matematik dalam Malayonesia. Salah satunya adalah angka “7” ini yang masih menjadi misteri dari sudut makna mistik dan falsafahnya, sehingga melahirkan satu soalan “kenapa mesti tujuh?”.

RUJUKAN:

1) Shaharir, M. Z. (2018) Falsafah Ilmu Daripada Karya-Karya Besar Sains & Matematik Islam Malayonesia. Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan.

Oleh: Fhadrul Irwan

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *