Merdeka, pastinya hari yang berbahagia buat semua rakyat Malaysia dan kebahagiaan itu berganda buat ku kerana ia adalah hari aku dilahirkan. Tanggal 31 Ogos 1991, jam 9:00 pagi lahirnya seorang aku. Tarikh lahir yang mungkin tidak akan dilupakan oleh insan-insan terdekat dengan ku. Ingat merdeka ingat aku. Aku merasa istimewa dengan rezeki lahir sebagai anak merdeka ini. Malah setiap orang yang mengetahui tarikh lahir ku akan berkata aku sungguh bertuah.
Aku lahir dalam keluarga yang serba kekurangan tetapi di hari penuh bahagia ini, ibuku akan cuba sedaya upaya untuk membahagiakan aku dengan memasak juadah untuk majlis sambutan hari lahirku iaitu bihun goreng dan keropok. Walaupun ringkas tetapi ia sangat bermakna kerana aku dapat menjemput kawan-kawanku datang ke rumah. Makan dan main bersama-sama.
Pada malam ambang merdeka pula, ayah akan membawa kami ke dataran untuk melihat bunga api dan lampu-lampu cantik di sekitar bandar Kota Bharu. Kami tiada kereta, ayah akan membawa balik pulang lori kilangnya dengan izin dari majikan. Kami akan menaiki van tersebut beramai-ramai. Sungguh aku sangat bahagia. Bagi
anak kampung seperti ku berpeluang melihat lampu-lampu cantik begitu mengujakan dan pengalaman yang indah. Hati ku turut disinari cahaya harapan. Harapan untuk aku mengubah hidup kami dan berbakti buat ibu ayah ku.
Semasa di bangku sekolah, aku akan diraikan di pentas apabila sambutan hari kemerdekaan diadakan. Pihak sekolah akan menyediakan kek dan hadiah buat ku. Begitulah aku diraikan saban tahun. Terima kasih sekolahku, Sekolah Menengah Kebangsaan Putri Saadong. Aku merasai begitu dihargai dan diraikan.
Kini aku telah dewasa, beberapa hari lagi genaplah umurku 30 tahun. Di usia begini tidak lagi ku harapkan sambutan atau hadiah daripada sesiapa pun. Aku lebih ingin memberi bukan menerima. Ingin ku raikan insan-insan tersayang di hari bahagiaku sebagai tanda kesyukuranku. Masih lagi bernafas di bumi bertuah ini. Masih sihat dan bebas walau sekarang segalanya terbatas dek penangan wabak Covid-19. Tapi aku yakin semuanya akan berakhir jua. Ayuh Malaysia kita pasti menang!
Aku mengharapkan kebahagian buat semua orang, buat semua kenalan dan rakyat Malaysia. Aku tahu semua sedang teruji dan punya cerita masing-masing. Punya kesusahan dan perjuangan tersendiri. Perjuangan tidak akan berhenti selagi kita bernafas. Terus bangkit dan berjuang. Dengan izinNya Kita pasti MERDEKA dalam setiap perjuangan kita.
Semua pengalaman hidup ini mengajarku untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang aku ada, untuk aku sentiasa menghargai. Menghargai apa yang ada di sekelilingku dan menghargai kemerdekaan ini. Aku bahagia dan kini aku melihat bahagia itu dari sudut yang berbeza.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Bebaskan jiwa dari belengu derita,
Bebaskan jiwa dari terus berkeluh kesah,
Bersama kita satukan hati,
Berganding bahu saling membantu,
Tanpa mengira kau dan aku,
Kerna kita semua adalah SATU.
Catatan peribadi,
TINA – Anak Merdeka
Kampung Padang Salim, Kota Bharu.