Tanggal 31,
bulan 8, 57
hari yang mulia hari bahagia
sambut dengan jiwa yang merdeka…
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Ya, geloranya sudah semakin dirasai oleh seluruh rakyat yang menghuni segenap pelosok bumi bertuah bernama Malaysia. Lapan hari sahaja lagi sudah tidak begitu lama, laungan kemerdekaan dan pengisiannya pasti akan dimainkan melalui corong-corong radio dan sejumlah program dokumentari di televisyen. Atau boleh juga kita memilih sama ada untuk menonton aneka drama atau naskhah filem yang mengangkat tema kemerdekaan. Filem Sarjan Hasan lakonan Tan Sri P. Ramlee atau Bukit Kepong lakonan Jins Shamsudin, mungkin?
Namun apakah signifikan kita menyambut hari kebesaran ini pada saban tahun? Persoalan yang begitu menarik untuk difikirkan memandangkan tahun ini merupakan tahun kedua kita melalui fasa-fasa kesukaran dalam situasi pandemik COVID-19. Rasa syukur walau bagaimanapun, tetap perlu kita panjatkan kepada Yang Maha Esa memandangkan keamanan di negara kita masih terpelihara. Memang tidak dapat dinafikan, kebelakangan ini berlaku ketegangan dalam sistem politik negara. Namun mujur peruntukan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong telah dapat menteteramkan para pemimpin dan rakyat.
Jika ditanya tentang memori menyambut hari kemerdekaan, ya masih segar dalam ingatan saya. Pada tahun 2019, saya telah berpeluang menyambutnya bersama-sama ibu dan ayah di Dataran Putrajaya. Sayalah orangnya yang begitu beria-ia mengajak mereka ke sana memandangkan itulah kali pertama saya menyambutnya bersama-sama dengan warganegara Malaysia yang lain. Jika tahun-tahun sebelumnya, saya hanya dapat menyaksikan sambutan tersebut menerusi kaca televisyen atau ketika di bangku sekolah, saya sekadar menyambutnya bersama warga sekolah di dewan sekolah dengan pelbagai aktiviti menarik seperti tarian pelbagai kaum, pameran, pertandingan menulis esei dan nyanyian kemerdekaan.
Kami tiba seawal jam 8.00 pagi namun warga Putrajaya rupa-rupanya sudah ramai yang membanjiri dataran dengan pelbagai peringkat umur dan bangsa. Ada yang mengenakan pakaian bertemakan jalur gemilang. Mungkin dijahit sendiri atau ditempah secara khas. Sungguh patriotik! Kami bertiga pula memakai baju berwarna biru muda dengan mengenakan topi di kepala. Topi itu sekadar melindungi daripada terkena pancaran matahari secara langsung. Maklumlah di dataran terbuka seperti itu, bahang matahari pastinya akan memanggang sebatang tubuh menjelang tengah hari. Oh ya, kelihatan juga beberapa buah gerai yang menyediakan juadah seperti nasi lemak, bihun goreng dan aneka minuman.
Dari tempat parkir kereta lagi, kami sudah mendengar gempita lagu-lagu merdeka dimainkan dari pembesar suara. Maka semakin bertambahlah keterujaan kami untuk menyambut kemerdekaan pada tahun tersebut. Sehelai jalur gemilang gergasi kelihatan terpampang megah di dada bangunan yang terletak betul-betul di tengah dataran tersebut. Pesona warna biru, merah, putih dan kuning pasti dapat memukau sesiapa sahaja yang memandangnya. Saya tiba-tiba terfikir, pasti warganegara yang berpeluang menyambutnya pada tahun 1957 lebih berbangga lagi kerana mereka merupakan generasi yang menyaksikan bendera itu berkibar buat kali pertamanya di tanah air ini.
Lebih istimewa dengan bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia bersih, sambutan pada tahun tersebut telah menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta permasuri. Baginda pada ketika itu baru sahaja dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-16. Cukup bermakna sekali dengan kehadiran baginda berdua yang terkenal dengan sikap prihatin dan berjiwa rakyat. Kelihatan juga di khemah VVIP, barisan kabinet menteri yang diketuai Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kesemuanya segak dan cantik berpakaian baju batik.
Seramai 15,000 orang peserta beserta lebih 300 aset telah melibatkan diri bagi acara perbarisan dan perarakan. Kelihatan juga tempat duduk bertingkat disediakan bagi peserta yang membuat formasi pergerakan. Di tempat pengunjung pula, kami sedikit berasak kerana tiada tempat duduk bertingkat disediakan. Oleh itu, terpaksalah kami duduk beralaskan lantai simen dan memanjangkah leher masing-masing untuk melihatkan apakah yang sedang berlangsung di tengah-tengah dataran. Kadangkala, ada yang berdiri kerana tidak nampak. Hal ini menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati kepada pengunjung yang duduk di belakang. Hampir-hampir sahaja menimbulkan perbalahan!
Di samping itu, pasukan perarakan yang paling mencuri perhatian bagi golongan kanak-kanak sudah pastilah ketika kemasukan belon maskot Ejen Ali, Didi dan Yaya. Kedengaran kanak-kanak menjerit penuh teruja sambil menyebut nama-nama watak tersebut. Watak-watak kartun yang selama ini menghiasi kaca televisyen kini tersiar betul-betul di depan mata. Sudah pasti ia tidak dapat dilupakan oleh mereka. Mungkin bukan mereka sahaja sebenarnya, kami yang sudah dewasa juga turut teruja melihatnya dan cepat-cepat merakamkannya melalui lensa kamera telefon pintar.
Bagi saya pula, acara kegemaran ialah ketika pertunjukan udara oleh pesawat-pesawat pejuang. Gemuruh bunyi enjin pesawat bergema di cakerawala yang mengundang sorakan seluruh yang hadir. Pelbagai formasi dipertontonkan dengan pesawat bergerak laju membelah udara. Asap yang dihasilkan pula seakan-akan membentuk garisan krim berwarna putih. Saya toleh ke wajah ibu dan ayah, mereka juga begitu tekun menyaksikan pertunjukan tersebut dengan mata tidak lepas-lepas menatap pesawat-pesawat yang ligat bergerak.
Usai menghadiri sambutan tersebut, saya berkongsikan mengenainya menerusi media sosial. Meski hanya memuat naik video berdurasi tidak sampai lima minit dengan kapsyen ringkas namun diharapkan bahang kemerdekaan juga dapat dirasai oleh teman-teman di laman sosial yang tidak dapat ke sana. Begitulah serba ringkas berkenaan memori sambutan kemerdekaan saya. Berbalik kepada soalan yang ada saya bangkitkan di awal tadi: Apakah signifikan kita menyambut hari kebesaran ini pada saban tahun?
Setiap individu memiliki pandangan subjektif mengenainya termasuk juga saya. Pada pandangan saya, signifikan kita menyambut hari merdeka adalah sebagai tanda kesyukuran dan mengenang jasa pahlawan yang telah, sedang dan akan melindungi keamanan nusa Malaysia dengan segenap kudrat dan nyawa mereka. Oleh kerana itu, saya pernah terfikir apakah relevannya konsert-konsert nyanyian yang tidak pun membawakan lagu-lagu patriotik, dianjurkan pada setiap malam ambang merdeka sambil menunggu detik 12 malam?
Tunggu dulu! Ini tidak bermakna saya menolak sebarang aktiviti konsert kerana saya juga orang seni dan sastera. Namun bukankah lebih baik kita seimbangkannya dengan memperbanyakkan aktiviti lain dan bersesuaian dengan norma baharu seperti majlis bacaan yasin dan doa buat para pejuang dan keselamatan negara serta memperbanyakkan aktiviti sastera seperti baca puisi dan syair. Atau boleh juga kita menjadi peserta dalam sebarang projek antologi buku yang kesemuanya mengangkat tema kemerdekaan dan semua ini boleh dilakukan secara maya. Saya fikir dengan cara sebegini, pengertian merdeka akan dapat kita maknai dengan lebih penghayatan.
Tak dilupakan, kepada para pejuang pada musim COVID-19 ini. Bayangkan bermula Mac tahun lepas sehingga hari ini, wabak ini semakin mengganas. Jika diikutkan hati, mereka ingin juga melepaskan lelah seketika atau bersantai bersama ahli keluarga. Namun kerana tugas yang digalas, terpaksa mereka mengorbankan keselesaan demi menyahut seruan menyelamatkan jutaan nyawa di Malaysia. Oleh itu, sempena kemerdekaan tahun ini saya mengajak kita semua memberikan mereka bingkisan hadiah. Hadiah apa? Hadiahnya ialah kita sebagai warganegara bersepadu menurunkan kadar kes harian dengan sentiasa mematuhi SOP.
Sudah patuh tetapi kes tetap naik? Ya, mungkin betul ditambah lagi dengan kebimbangan kemunculan beberapa varian baharu. Namun saya percaya masih ada segelintir kita yang masih berdegil. Oleh itu, tanpa mahu membangkitkan budaya salah menyalahkan antara satu sama lain, marilah kita bersama-sama “memberikan hadiah” kepada frontliner seperti yang telah saya sebutkan tadi. Bukan untuk mereka sahaja, tetapi untuk keselamatan nyawa kita sendiri. Adakah kita mahu tunggu diri atau ahli keluarga sendiri terjangkit baru kita mahu patuh? Selain itu, kita juga boleh membuat video penghargaan buat para frontliner kita. Mudah bukan?
Kita juga boleh menyambut kemerdekaan pada tahun ini dengan menghias rumah atau kenderaan dengan jalur gemilang selama sebulan. Pastikan kita menggantungnya dengan cara yang betul dan kemas. Jika sebelum ini kita tidak pernah melakukannya, maka tahun ini kita mulakan! Dengan senggang waktu yang banyak di rumah ketika ini, ibu bapa boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik dengan anak-anak seperti menerangkan dan bercerita kepada mereka tentang perjuangan merdeka, melukis dan mewarna bendera atau boleh juga menyanyikan lagu-lagu patriotik dengan anak-anak. Hal ini dapat menyemai sikap patriotik bermula daripada institusi yang paling asas iaitu keluarga.
Kesimpulannya, saya ingin mengajak kita semua memberikan pengisian bermakna buat sambutan merdeka kita bermula tahun ini, dengan jiwa yang merdeka. Kemeriahan merdeka sebenarnya terpulang kepada kita sendiri. Tidak bermakna tidak menyambutnya di dataran atau menyambutnya bersendirian, maka merdeka kita tidak lagi bermakna. Banyak kaedah untuk menyambutnya. Namun perlu diingat bahawa, jangan sampai kita memilih aktiviti tidak sihat bagi mengisi kemerdekaan seperti berpesta liar yang hanya merugikan diri sendiri dan bangsa. Bacalah juga hikayat-hikayat Melayu lama untuk meningkatkan lagi semangat patriotik kita. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan merahmati Malaysia. Akhir kata, selamat menyambut hari merdeka kali ke-64 buat seluruh warga Malaysia!
Disediakan oleh,
Noor Hidayahtul Aiza binti Atan