Kewujudan Sulur Bidar sebagai makhluk misteri yang menjadi penghuni lombong, sungai dan tasik, sering menjadi topik hangat yang dibualkan oleh kaki-kaki pancing. Sulur Bidar dikatakan cenderung memunculkan dirinya pada musim hujan. Sulur Bidar ini dikatakan telah wujud sejak zaman dahulu dengan kepelbagaian versi cerita mengikut kepercayaan masyarakat setempat.
Kewujudannya mengundang tanda tanya dan perasaan ingin tahu itu semakin membuak-buak. Berikutan hal itu, pelbagai spekulasi mengenainya telah timbul dan sampai ke hari ini Sulur Bidar masih menjadi sebuah misteri alam yang belum terungkai.
Berdasarkan cerita-cerita yang disampaikan oleh masyarakat yang mempercayai kewujudannya, Sulur Bidar mempunyai bentuk fizikal yang menyerupai sebidang tikar ataupun permaidani yang mempunyai kepala ular di setiap penjurunya. Berbeza pula dengan kepercayaan masyarakat Sunda yang menggelarkan Sulur Bidar ini dengan nama Leled Samak. Leled bermaksud menggulung manakala Samak bermaksud tikar.
Masyarakat ini mempercayai bahawa pada suatu masa dahulu terdapat seorang lelaki yang mengamalkan ilmu hitam semasa hayatnya. Ketika lelaki itu meninggal, tikar yang menjadi alas kepada jenazahnya itu dibuang ke sungai. Oleh itu, roh-roh jahat mulai meresapi dan mendampingi tikar itu.
Mereka turut mempercayai bahawa Sulur Bidar ini mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga mampu untuk menterbalikkan sebuah bot kecil. Makhluk ini juga dikatakan akan menarik mangsa dan menenggelamkannya hingga ke dasar. Mangsa tersebut akan ditimbulkan semula ke permukaan air selepas beberapa hari disimpan.
Rentetan daripada itu, makhluk misteri ini dikaitkan dengan kewujudan hantu air yang menghuni kawasan-kawasan lubuk pusar. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), lubuk pusar dapat ditakrifkan sebagai bahagian sungai atau laut di mana keadaan airnya yang sangat deras dan berpusar sehingga mampu menarik benda ke dalam bahagian tengahnya. Menurut penceritaan orang-orang lama, setiap lubuk itu pasti mempunyai penunggunya yang mencari korban dengan menenggelamkan mangsanya.
Tasik Kenyir dan Tasik Banding merupakan antara lokasi popular yang sering digemparkan dengan kemunculan makhluk misteri ini. Kemunculan Sulur Bidar sering ditandai dengan beberapa petunjuk yang ketara.
Antaranya ialah melalui kehadiran buih-buih kecil yang membuak-buak dan membentuk satu lingkaran yang semakin membesar secara tiba-tiba. Kemudian, disusuli dengan kehadiran daun-daun kering yang timbul di permukaan air.
Penduduk setempat menyatakan bahawa dedaunan tersebut adalah hasil daripada mendapan dasar air yang sudah lama termendap. Namun begitu, keadaan fizikal daun tersebut didapati kering dan boleh dibakar. Bagi masyarakat yang beragama Islam, mereka menasihatkan agar melaungkan azan sekiranya berdepan dengan situasi tersebut bagi mengelakkan sesuatu yang buruk terjadi.
Salah seorang kaki pancing tegar, Encik Mohamed Asri Bin Omar (49 tahun) yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak turut berkongsi mengenai tanda-tanda kemunculan makhluk ini berdasarkan pengalaman beliau sendiri ketika memancing di Tasik Banding Royal Belum, Gerik, Perak.
Menurutnya, perubahan saiz pada buih yang muncul secara tiba-tiba di tengah-tengah sungai itu mengambil masa 15 hingga ke 20 minit untuk ia menjadi semakin besar. Namun begitu, kelibat rupa dan warna makhluk misteri itu tidak dapat dikenalpasti secara lebih terperinci.
Walau bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Oil & Gas berikutan hal ini menolak seluruh spekulasi yang ditimbulkan mengenai kewujudan Sulur Bidar. Sebuah video yang dimuat naik oleh Jeremy Buckingham telah diijadikan bahan sokongan untuk menyokong kenyataan mereka.
Secara saintifiknya, tasik, lombong ataupun sungai sememangnya menyimpan daun dan kayu-kayu kering yang mereput di dalam dasarnya. Buih yang membuak-buak pada permukaan air itu sebenarnya adalah gas H2S (Hidrogen Sulfat) yang sangat merbahaya dan boleh membawa maut. Gas tersebut adalah hasil daripada benda reput yang termendap di dalam laut, tasik buatan manusia ataupun sungai.
Benda-benda tersebut akan berlaku secara bertimpa-timpa dan terjadilah satu kitaran kimia yang akan menghasilkan gas H2S tersebut. Gas H2S pula dikatakan mempunyai bau yang sangat busuk seperti bau telur ayam yang telah lama. Sekiranya kita berada berhampiran dengan kawasan tersebut, risiko untuk pengsan sekaligus membawa kepada kematian adalah sangat tinggi.
Menurut Mohd Zulfadli Ahmad Mazaki yang sudah lama berkecimpung dalam bidang Oil & Gas (Safety of Environment and Personnel), secara logiknya gas ini boleh terhasil di mana-mana tempat yang menjadi Empangan Hidro Elektrik terutamanya Tasik Kenyir.
Bukan sekadar itu, isu kewujudan Sulur Bidar ini digemparkan sekali lagi pada bulan Oktober baru-baru ini. Melalui laman Youtube Ustaz Rosdi Hasan TV, beliau telah memuat naik satu video pembongkaran mengenai kemisterian Sulur Bidar pada tanggal 6 Oktober 2020. Kandungan video tersebut mendapat sambutan sebanyak 360,507 tontonan setakat bulan November 2020 ini.
Ustaz Rosdi Hasan ingin melihat sejauh mana kebenaran kenyataan yang dikeluarkan itu. Video yang berdurasi selama 15:30 itu memaparkan keberanian Ustaz Rosdi Hasan untuk “menyeru” makhluk misteri itu dengan menyelam ke dalam air sungai untuk melihat sendiri “rupa sebenar” Sulur Bidar itu.
Menurutnya, seandainya kehadiran buih tersebut sememangnya fenomena alam seperti yang dinyatakan, maka ia tidak akan muncul apabila “diseru”. Sudah pasti ia akan berlaku pada waktu-waktu yang tertentu. Namun seandainya ia muncul apabila “diseru”, maka ia adalah sebaliknya.
Pada akhir video tersebut, beliau menjelaskan bahawa buih tersebut sama sekali tidak berbau busuk seperti yang dinyatakan. Walau bagaimanapun, Ustaz Rosdi Hasan tidak berjaya mengesan rupa makhluk tersebut mahupun warnanya yang sebenar.
Kehadirannya dirasai tetapi tidak dapat dilihat. Setiap kejadian dan tingkah laku alam sememangnya mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia. Melalui alam yang penuh dengan misteri ini, kita seharusnya bermuhasabah diri dan dapat meningkatkan lagi nilai ketaqwaan terhadap kekuasaan Allah SWT kerana pengetahuan manusia sangat terbatas berbanding Sang Pencipta Alam yang mengetahui segala yang berlaku di langit dan di bumi. Tidak ada satu pun yang terhalang dari hijab-Nya.
Disediakan oleh,
Fatheen Mohamed