Sejak ayat pertama Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT melalui perantaraan Malaikat Jibril dengan Nabi Muhammad SAW, kita telah mengenal sastera iaitu ‘Iqra (bacalah). Perkataan ini mengandungi makna yang besar yang bukan sahaja perlu difahami dari sudut keperluan membaca namun memahami, merenung, dan mengkaji setiap ayat yang terkandung di dalam Al-Quran. Atas dasar itu jugalah, ilmuan ketika zaman kegemilangan Islam juga dikatakan sebagai seorang yang pakar dalam pelbagai bidang (polymath). Al-Farabi yang hidup pada abad ke-9 merupakan seorang ahli falsafah yang bukan sahaja mahir berbicara soal fikah, namun hal-hal yang merangkumi matematik, fizik, dan politik. Hal ini terlihat jelas dalam karyanya, Ihsha Al-Ulum yang bukan sahaja membuka sudut pandang kita mengenai keluasan sastera Islam, malah memberi bukti akan kebenaran hakiki yang terletak pada naskhah Al-Quran. Sastera harus dipandang dari pelbagai sudut yang tidak perlu disempitkan sebagai bidang yang membahaskan soal kegunaan bahasa atau linguistik sahaja. Malah, sastera berfungsi untuk memberi penjelasan kepada sekalian insan untuk lebih menghargai kejadian alam serta mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.

 

Seorang lagi ilmuan yang wajar diberi perhatian adalah Fariduddin ‘Attar melalui karyanya, Mantiq Ut-Tair (terjemahan literalnya sebagai Musyawarah Burung) yang diterbitkan pada 1177. Karya ini umpamanya telah menceritakan sekumpulan burung yang cuba mencari raja yang memerintah mereka. Dalam perjalanan tersebut, mereka telah menghadapi cabaran dan dugaan dalam usaha mencari raja yang agung. Kisah ini merupakan suatu alegori atau perlambangan yang dikaitkan dengan pengalaman spiritual dan rohaniah manusia untuk mencari Tuhan sekalipun diuji dengan pelbagai godaan dunia. Kemampuan beliau untuk mengambil kisah Nabi Sulaiman a.s. yang mempunyai mukjizat untuk berkomunikasi dengan haiwan, terutamanya hubungannya dengan burung hud-hud adalah suatu yang luar biasa. Keunikan sastera Islam adalah falsafah ketuhanannya yang selalu dikaitkan dengan alam semesta serta kejadian-kejadian yang berunsur pengajaran. Hal ini jugalah yang membezakan sastera Islam dengan sastera Barat yang tidak terlalu menekankan peranan Tuhan dalam pengkisahan mereka. Karya-karya ciptaan Grimm Bersaudara seperti kisah Hansel & Gretel sekitar abad ke-19 juga dipenuhi dengan alam khayalan serta peranan ahli sihir yang dianggap berkuasa. Perbezaan budaya keilmuan juga sebenarnya telah mempengaruhi sudut pandang (wordview) pengarang terhadap sesuatu perkara. 

Ilustrasi: Baitul Hikmah

Apabila perkembangan keilmuan Islam berlaku dengan pesat terutamanya di bawah pemerintahan Harun al-Rasyid, tertubuhlah perpustakaan agung yang dinamakan Baitul Hikmah di Iraq. Pada ketika itulah, tokoh seperti Al-Khawarizmi telah menyelia susunan rak perpustakaan menjadi lebih sistematik untuk memudahkan rujukan pengkaji. Perpustakaan bukan sahaja berfungsi untuk menyimpan buku yang kaku, sebaliknya digalakkan pengkajian terbaharu yang meliputi karya Yunani serta bahagian lain di luar empayar Islam pada ketika itu. Dengan cara memperluaskan sudut pandang pengkaji, kita dapat melihat bahawa akhirnya Barat mengiktiraf sastera Islam, malah banyak karya-karya Al-Khawarizmi dalam bidang matematik juga diterjemahkan ke bahasa Latin pada waktu tersebut. Kini, kita harus memperluaskan kegiatan pengkajian sastera dari peringkat asas hinggalah kedoktoran. Perpustakaan harus sentiasa segar dengan kegiatan keilmuan melalui fungsinya yang perlu dipelbagaikan secara dinamik. Sastera Islam kini menjadi perlahan kerana kurangnya pendedahan kita mengenai keberagamaan serta keterangkuman sastera Islam itu yang meliputi pelbagai aspek. Masyarakat haruslah memandang setiap disiplin ilmu itu sebagai bahagian daripada ilmu Allah SWT yang luas, dan bukannya pecahan-pecahan yang hanya bersifat eksklusif semata-mata.

 

Selesai membicarakan sastera dunia, kini haruslah kita mengalihkan pandangan pada sastera Islam di peringkat tempatan pula. Syed Syeikh Al-Hadi misalnya telah menghasilkan Hikayat Faridah Hanom pada tahun 1925. Novel ini juga banyak menceritakan konsep islah, atau pembaharuan dalam norma masyarakat terutamanya yang mengekang peranan wanita dalam struktur sosial masyarakat. Perkembangan ini telah banyak membuka pemikiran feudal masyarakat Melayu pada ketika itu yang berunsurkan patriarki serta menafikan hak wanita, umpamanya dalam mendapatkan akses pendidikan. Fungsi sastera sebagai alat mengkritik pemerintah merupakan cara paling halus dan molek, bersesuaian dengan adat Melayu yang penuh dengan budi bahasa yang tinggi dalam menyampaikan makna dan hasrat. Sekalipun novel ini dilatari dengan kisah cinta, namun unsur-unsur dalam ajaran Islam jelas terpancar seperti tuntutan memberi keadilan sesama makhluk tanpa mengira darjat, keturunan, dan keupayaan. Apabila unsur-unsur Islam diadun menjadi sebuah karya sastera yang bersifat fiksyen, adalah mudah bagi orang kebanyakan untuk mempelajari unsur tersebut kerana boleh dibandingkan dengan kehidupan seharian yang melatari masyarakat pada waktu tersebut.

Sastera Islam mampu untuk tumbuh segar melangkaui zaman sekiranya pengarang mampu mengambil kira konteks zaman dan sosiobudaya masyarakat untuk memperkayakan minda pembaca dan pengarang secara serentak. Ramuan sastera Islam adalah sebaik-baik ramuan kerana Islam telah memberikan solusi bagi sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar permasalahan masyarakat melalui Al-Quran serta Sunnah. Semoga sastera Islam terus dihidupkan oleh pengarang moden agar dapatlah kita menghayati ajaran Islam yang sebenar melalui karya-karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah mendidik kita kepada hakikat Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam.

Irfan Shaharuddin

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.