Kecantikan amat sinonim bagi kaum wanita walau di mana pun mereka berada. Baik di utara, mahupun di selatan, wanita dan kecantikan adalah sesuatu yang begitu berharga dan terpenting dalam kehidupan mereka. Biasa kita melihat perasaan hati atau disebutkan sebagai “mood” kaum wanita boleh berubah hanya kerana tudung yang tidak menjadi, jerawat yang tiba-tiba menjelma dan seumpamanya. Berbeza pula dengan kaum lelaki. Sehelai baju yang tidak dicemari bau dan kotoran, mampu dipakai berhari-hari. Adakalanya jerawat tumbuh pun tidak dipedulikannya.

Demikian lah sifat kewanitaan yang tidak dapat dipisahkan dengan kecantikan dan keindahan. Bukanlah bermaksud kaum lelaki tidak mempedulikan kebersihan, kecantikan dan sebagainya namun bagi kaum wanita itu adalah perkara terpenting bagi mereka yang mampu menentukan baik buruknya pada hari tersebut. Kerana fitrahnya wanita itu suka dan begitu teliti akan kecantikan, maka syariat Islam yang berpaksikan kepada firman Allah serta kalam kekasih Nya, Nabi Muhammad SAW datang membawa suruhan menutup aurat bagi memelihara dan melindungi kecantikan seseorang wanita.

Pada kecantikan seseorang wanita itu terdapat nilai harga diri dan maruah yang perlu dijaga dan dipelihara. Aurat wanita bukanlah sesuatu alat untuk dipertonton, ditayang dan diperlihatkan oleh mereka yang tidak layak untuk menatapnya. Pada diri wanita itu punyai harga yang harus dibayar untuk menatap akan kecantikan dan keindahan mereka. Oleh yang demikian, Allah dengan sifat penyayang Nya pada kaum wanita memerintahkan agar kaum wanita menutupi aurat. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya ; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”

Walau pun sebahagian golongan liberalis mempertikaikan syariat memakai tudung ini dengan mendakwa bahawa tiada ayat di dalam al-Quran yang menyatakan bahawa kepala dan rambut wanita sebahagian dari aurat namun kita harus fahami bahawa dalam surah an-Nur ayat 31 ini, Allah SWT menggunakan perkataan ‘khimar’ atau ‘khumur’ yang membawa maksud penutup kepala. Meskipun penterjemahan kepada perkataan “khimar” itu masih boleh dipertikaikan lagi namun mentafsirkan ayat al-Quran tanpa melalui disiplin ilmu yang betul maka kita akan dapati banyak perkara yang bertembung dengan al-Quran. Ini kerana, menguasai bahasa Arab semata-mata tanpa mempunyai disiplin ilmu dalam pentafsiran akan menjadikan kita tersesat dari intipati kehendak syariat sebenar.

Adalah tidak benar sama sekali apabila ada yang mendakwa syariat menutup aurat untuk wanita berupa diskriminasi gender semata-mata. Walhal, sejarah dunia menunjukkan kepada kita bahawa kezaliman dan penindasan terhadap golongan wanita telah berlaku sejak zaman Eropah dahulu. 

Di Prague, terdapat sebuah muzium khas yang mempamerkan alat-alat penyeksaan. Pada zaman Eropah dahulu, kaum isteri kepada tentera yang pergi berperang bagi menentang tentera Islam di Palestin suatu masa dahulu dipaksa untuk memakai cawat besi. Barangkali pemakaian tersebut adalah kerana ketidak kepercayaan suami terhadap isterinya ketika ditinggalkan. Lebih tragis, cawat besi yang dipakaikan itu dikunci. Hal ini menyebabkan kesukaran untuk mereka bergerak dan amat menyeksakan.

Meskipun hal tersebut sudah menjadi bahan sejarah, namun kepada mereka yang mengagungkan dunia barat, kononnya dunia barat menjadi kiblat kepada perjuangan hak kewanitaan, haruslah celik sejarah dan tidak terperangkap dengan kata dan ungkapan propaganda mereka semata-mata. 

Tidak cukup dengan itu, ada pula yang mendakwa pemakaian menutup aurat dianggap kuno dan tidak maju. Malah, sebahagiannya menganggap memakai tudung hanya bertujuan mengongkong kemajuan para wanita. Dakwaan ini tidak seharusnya dikata dengan cakap lepas sahaja. Harus dibuktikan dengan data dan kajian yang dibuat.

Satu hal yang kita harus sedari ialah pemakaian tudung menutup aurat sama sekali tidak menjadi penyebab kemunduran kaum wanita bersaing di dunia realiti. Betapa ramai sahaja kaum wanita yang menutup aurat namun mampu bersaing dan meraih kejayaan dalam bidang masing-masing. 

Misalnya, Zahra Lari, seorang atlet peluncur ais UAE mampu tampil bersaing di pentas dunia dengan menutup aurat. Dalam konteks Malaysia pula, tidak kurang hebat para wanita yang bertudung bersaing dalam pelbagai arena. Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang juga merupakan wanita pertama Malaysia dilantik sebagai orang nombor 2 negara. Mampu berdiri dengan gah sebagai wanita yang menutup aurat. Selain itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, juga merupakan seorang wanita bertudung menutup aurat.

Zahra Lari, Atlet peluncur ais

Jelaslah bagi kita betapa dangkalnya dakwaan sebahagian mereka yang beranggapan menutup aurat dengan memakai itu adalah suatu kongkongan hidup mengekang kemajuan hidup para wanita. Syariat menutup aurat khasnya kepada kaum wanita bukanlah suatu bentuk kezaliman dan penindasan Tuhan kepada mereka. 

Jika dahulu, ketika di zaman Arab Jahiliah, para wanita sama sekali tidak bernilai pada kaca mata kaum lelaki. Pada zaman sebelum kedatangan Islam, wanita tidak lebih dijadikan sekadar tempat melampiaskan nafsu, dijadikan kuli tidak bermaruah, tidak diberikan hak untuk berharta dan pelbagai lagi kezaliman yang menimpa kaum wanita dahulu. Namun sebaik datangnya Islam dengan membawa rahmat, menyelamatkan kaum wanita daripada ditindas, maruah dan harga diri dipertahankan dengan turunnya syariat Allah ini.

Dunia seharusnya mengiktiraf kaum wanita sebagai makhluk yang bermaruah dan harus dipandang tinggi. Sepertimana Islam melalui syariatnya, melindungi maruah dan harga diri wanita daripada dijadikan barang dagangan untuk ditayangkan semata-mata. Kecantikan lahiriah yang juga merupakan anugerah Allah kepada hamba Nya harus dijaga dengan penuh terhormat. Tidak boleh dijadikan bahan tontonan tidak berbayar bahkan lebih daripada itu, Islam melarang dengan bermaruah. Oleh demikian, sesuai dengan fitrah wanita yang penuh kelembutan dan kehalusan budi, syariat Allah melengkapkan lagi makna maruah dan harga diri seorang wanita. Semoga Allah merahmati kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.