Rumah tangga yang aman dan damai bukan sekadar diukur mengikut kepimpinan seorang lelaki yang menjalankan tanggungjawabnya seperti menyediakan pakaian, keperluan dan tempat tinggal dengan cukup selesa. Namun lebih daripada itu, tanggungjawab suami kepada isterinya juga dihitung dari sudut menjaga bentuk emosi, hati dan perasaannya.
Menjaga dan memahami hati pasangan termasuk dalam kewajipan bagi setiap suami yang menginginkan rumah tangganya kekal hingga ke akhir hayat. Setiap suami wajar menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan dalam urusan kehidupan dan perkahwinannya. Kurangnya kefahaman kaum Adam dalam menghargai hati pasangan sendiri boleh mengakibatkan rumah tangganya berakhir dengan penceraian.
Dalam rumah tangga Rasulullah SAW, Baginda sama sekali tidak pernah mengabaikan hati isteri-isterinya. Baginda tetap santun merawat hati isterinya yang terluka dan melayani mereka dengan sebaik-baiknya. Baginda tidak lupa menasihatkan dengan tutur bicara yang penuh dengan kelembutan kepada isteri yang ada melakukan kesalahan. Dalam riwayat At-Tirmizi menyatakan bahawa Sabda Baginda,
“Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya.”
Berdasarkan hadis ini ia menunjukkan bahawa Rasulullah SAW bersikap baik kepada isteri-isterinya. Bererti, menjaga hati isteri termasuk dalam rangka berbuat kebaikan kepada pasangan. Mengambil hati isteri termasuk kewajipan dan amalan yang boleh menjernihkan masalah semula sebagaimana para ulama turut memperingatkan kepada kita. Kata ulama, Syaikh Mahmud Al-Misri,
“Orang yang paling layak diberi kata-kata manis adalah isteri. Bahkan mungkin kata-kata manis itu mampu menyembuhkan hati isteri yang sedang sakit sehingga ia balik melayani suami dengan ucapan yang indah.” [Petikan dalam Karekteristik Suami Idaman, hal. 76. Penulis: Syaikh Mahmud Al-Misri, Penerbit: Qisthi Press]
Bagi para suami yang berhadapan dengan pelbagai masalah terutama sekali dalam menguruskan hati isterinya yang sedang dirundung kesedihan, selain menginginkan Rasulullah SAW sebagai rujukan ketua keluarga sedikit panduan buat para suami bagi menambat hati isteri masing-masing,
Memujuk isteri dengan segera.
Sebenarnya tidaklah ego seorang suami itu jatuh apabila memujuk isterinya asbab daripada kesilapan yang membuatkan rumah tangganya hampir berkecai. Pujuklah isteri, akui kesalahan dan bersikap jujurlah kepada wanita yang dijadikan sebagai pasangan sehidup sematinya. Ia sama sekali tidak meruntuhkan kedudukan suami sebagai pemimpin yang tinggi dalam rumah tangganya.
Bina komunikasi yang sihat.
Jangan membiasakan amalan ‘berlepas tangan’ dengan terlalu lama tanpa menyelesaikan pertengkaran ini secara rasional seperti menjauhkan diri dengan anggapan hendak menenangkan fikiran seketika. Jadi lelaki yang gentleman dan bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri yang hampir memusnahkan perkahwinan. Buktikan bahawa kalian adalah lelaki yang tidak mudah kalah dan mengalah dalam memenangi hati isteri yang dicintai.
Dapatkan kepercayaan pasangan.
Ketahuilah bahawa kepercayaan wanita itu sukar dipupuk semula apabila ia dicemari berulang-ulang kali, percayalah kepercayaan itu barangkali teramat sukar dipulihkan kembali. Memang wanita itu sendiri adalah makhluk yang kuat dipengaruhi oleh emosi. Oleh kerana itu, sentiasalah mencari jalan bagi memperolehi kepercayaan isteri setelah menginsafi kesalahan sendiri.
Suami yang baik ialah suami yang menyayangi dan menghargai isterinya. Menghormati dan berlemah lembut kepada makhluk yang penuh perasaan dan sentiasa diuji oleh syak wasangka. Sebelum hatinya bertambah tawar, segeralah membuat keputusan. Justeru itu, peliharalah ikatan suci ini dengan berusaha mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW yang semakin dipinggirkan dan dianggap kurang penting di akhir zaman.
Disediakan oleh: Syuhara Suriati