Saya pada saat menulis ni dah menghampiri penghujung semester, dan pada hari ini baru saya tahu yang salah satu mata pelajaran teras yang saya ambil semester ni rupanya ada tugasan berkumpulan! Salah diri sendiri sebab culas. Pada zahirnya, hal ini bukanlah satu masalah yang besar pun.
Cari sajalah kumpulan yang ada kekosongan, bukan?
Itulah jalan penyelesaian yang paling sesuai apabila kita menghadapi masalah seperti ini, terutamanya pada peringkat pengajian menara gading. Akan tetapi, hal ini memberi tekanan melampau yang tak berasas kepada saya yang penyendiri dan tak pandai bergaul dengan orang ni.
Bukanlah ‘mencari kumpulan’ itu sendiri yang menyebabkan saya keresahan dan tertekan. Sebaliknya, perbuatan mencampakkan diri ke luar sana yang membuatkan saya resah dan tertekan sendiri. Juga, kemungkinan yang saya tak akan diterima sebab kumpulan dah penuh.
Kenapa saya macam ni, kalian tanya?
Begini cara saya pandang hal ini…
Dengan mencampakkan diri ke luar sana, bertanya seorang demi seorang sama ada kumpulan mereka ada kekosongan atau tidak, saya beranggapan yang saya telah membuka kekurangan diri secara sukarela. Saya telah menampakkan sisi diri saya yang lemah dan menyedihkan kepada mereka yang saya tanya.
Rasa lemah sebab saya jadi tertekan teramat memikirkan kemungkinan yang saya tak akan jumpa kumpulan untuk melakukan tugasan. Rasa menyedihkan sebab semakin jelas hakikat yang saya memang kera sumbang dan tak ada ramai kawan macam rakan-rakan sekelas yang lain sehingga ia menyukarkan saya untuk menjumpai kumpulan untuk melakukan tugasan.
Bila saya dah dapat kumpul kekuatan untuk bertanya kepada mana-mana rakan sekelas pula, hati kecil saya ni mula menjadi gelisah tak semena-mena. Mana tidaknya? Tadi saya dah campakkan diri ke luar, kini saya perlu menunggu jawapan balasan sama ada saya diterima atau tidak! Penantian sebuah penyeksaan.
Kalau ada kekosongan dalam kumpulan yang saya tanya tu, alhamdulillah.
Kalau tak ada pula, semakin kuat keyakinan dalam hati saya betapa saya ini individu yang terlalu menyedihkan. Tak ada kawan, kera sumbang, penyendiri, dan pelbagai lagi kata nama dan kata sifat kurang elok yang saya tabur kepada diri sendiri sebab terlalu dikuasai perasaan resah dan tertekan.
Jawapan yang kedua itulah yang menimbulkan perasaan ditolak yang sangat kuat dalam diri saya yang lemah ini. Umum mengetahui, menghadapi penolakan ialah satu perkara yang sangat sukar. Lebih-lebih lagi apabila penolakan itu datang daripada hal-hal yang kita harapkan akan menjadi kenyataan.
Kalau nak bandingkan penolakan yang saya hadapi ni dengan berbagai jenis penolakan di luar sana, ia tersangatlah kecil sebenarnya. Saya akui tu. Selalu saya risaukan diri sendiri. Yalah, kalau penolakan berskala kecil macam ni pun dah boleh buat saya menangis, bagaimana pula saya nak menghadapi penolakan dalam hal-hal berskala besar nanti seperti permohonan bekerja yang tak diterima?
Dalam penulisan ni, saya nak menyakinkan kalian yang menghadapi situasi yang sama macam saya ni – rasa ditolak dan diri sangat menyedihkan apabila tak diterima masuk kumpulan untuk tugasan tertentu – perasaan kalian itu absah, walaupun kebanyakan orang mungkin akan memperkecilkan perasaan kita dalam situasi sebegini.
Tak apa.
Anggap ini satu latihan. Anggap ini sebagai peringkat yang membantu kita bersiap sedia untuk menghadapi penolakan-penolakan yang lebih besar di masa depan nanti. Arakian, penolakan ialah sebahagian daripada kehidupan.
Sepanjang enam tahun pengajian di peringkat tinggi ni, ada beberapa cara yang berkesan membantu saya belajar untuk menghadapi perasaan ‘ditolak’ oleh rakan-rakan sekelas dalam misi mencari kumpulan ni. Di bawah ni, saya senaraikan langkah-langkah yang saya buat bila saya rasa ‘ditolak’.
Pertama sekali, bertenang. Tarik nafas dalam-dalam dan jernihkan fikiran.
Kedua, atur dan tapis semula fikiran. Bila kita tak diterima masuk sesuatu kumpulan, jangan terima bulat-bulat lintasan fikiran kita yang kata “Kau ni memang menyedihkan. Tengok, tak ada seorang pun yang nak sekumpulan dengan kau!”
Betulkan balik cara fikiran tu. Pandang situasi yang berlaku ni seadanya. Kita tak menyedihkan. Kumpulan tu dah penuh, jadi nak buat macam mana lagi? Memang kita tak dapat masuk. Reda sajalah.
Ketiga, berhenti meratapi nasib diri dan cepat-cepat tanya rakan sekelas yang lain. Kalau semua kumpulan dah penuh pula, beranikan diri tanya pensyarah boleh tak nak buat tugasan ni secara bersendirian?
Keempat, tengok gambar liang lahad. Ingatlah yang bila kita dah mati nanti, isu dalaman seperti keresahan dan rasa ditolak ni tak akan lagi memberi kesan atau kepentingan sebesar sekarang dah. Jadi, terima hakikat kenyataan hidup dan teruskan melangkah.
Saya yakin langkah-langkah ni juga boleh diguna pakai dalam menghadapi penolakan-penolakan berskala besar. Sekian sahaja penulisan saya. Semoga perkongsian curhat saya ini ada manfaatnya untuk kalian yang membaca. Terima kasih.
Ditulis oleh: Hanis Afifah.