Mengenang Khoo Kay Kim dalam ZA’BA

37828743_212472729400202_7896725693604560896_n

“Saya selalu merasakan bahawa saya sudah mencapai sangat sedikit kejayaan. Kesimpulan saya ialah apabila anda seorang anak Malaysia yang sejati, anda ialah seorang yang sangat penyendiri.” (Khoo Kay Kim, 2006)

            Pemergian Profesor Emeritus Khoo Kay Kim pada pagi ini, Selasa (28 Mei 2019) tidak lain melainkan meninggalkan kesedihan yang mendalam kepada saya kerana beberapa bait ceritanya yang saya rakam kemas-kemas semasa beliau berbual dengan Eddin Khoo di Menara Ilham lebih sebulan yang lalu.

            Hati saya sugul kerana cerita beliau, sepanjang lebih 30 tahun beliau mengajar di Universiti Malaya (UM), tidak ada seorang pun pelajar beliau yang serius dan datang untukmembantu beliau dalam menulis dan menerbitkan semula kerja-kerja beliau. Walaupun saya tidak pernah belajar di bawah seliaan beliau, saya memikirkan apakah kita telah membiarkan seorang sejarawan pergi tanpa sempat mencatat tentang sejarah daripadanya?

            Beliau berkongsi dengan hati yang berat tentang kegagalan “generasi” beliau sendiri. Profesor Khoo adalah antara orang yang mengasaskan Fakulti Sejarah di UM dengan kemasukan awal sebanyak beratus-ratus orang pelajar. Setelah lebih tiga dekad, pendaftaran bagi pelajar yang ingin mempelajari sejarah di UM boleh dikira dengan jari. Beliau memperoleh Sarjana Kedoktoran (PhD) pada tahun 1974, dengan tajuk tesis The Beginnings of Political Extremism in Malaya 1915-1935 di UM. Beliau menjadi orang pertama yang mendapat Sarjana Kedoktoran di Fakulti Sastera,UM, itu. Dan sudahkah kita membaca tesis beliau?

            Barangkali bacaan paling ringan ialah autobiografi beliau sendiri yang kata beliau, “Bagi seorang sejarawan, menulis tentang sejarah diri ialah sesuatu yang sangat sukar.” Dalam buku ini, beliau menjadi orang sumber utama, kepada diri beliau sendiri. Profesor Khoo melabuhkan dirinya menceritakan pengalaman beliau bermula daripada asal usul peranakan (Khoo Kongsi di Pulau Pinang – walaupun beliau bukanlah ahli Kongsi ini. Dan Kongsi di sini bermaksud seperti “komuniti”) termasuklah beliau bertemu dengan isterinya seorang berbangsa India, sehinggalah menjadi seorang sejarawan seperti yang kita tahu.

            Beliau bercerita tentang pengalamannya yang tidak pernah belajar bahasa Melayu secara formal di sekolah. Pengalaman inilah yang membawa beliau bertemu dengan Za’ba. Beliau merasakan bahawa Bahasa Melayu akan menjadi Bahasa Kebangsaan selepas Merdeka, dan beliau bertanggungjawab untuk mengetahuinya secara mendalam. Hasrat beliau ini turut disokong oleh bapanya. UM membenarkan beliau untuk mengambil subjek ini tetapi beliau haruslah lulus temuduga dengan Ketua Jabatan yang tidak lain, tidak bukan “seorang tokoh besar,” kata Prof. Khoo, iaitu Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba. Beliau sudah bersedia dengan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sejarah dan politik, sebaliknya yang ditanya oleh Za’ba ialah apakah perkataan Melayu untuk “shirt”, diikuti dengan “button” dan “matches”. Beliau tidak berjaya menjawab ketiga-tiga “soalan” ini tetapi merayu agar diberikan peluang, dan beliau menjadi pelajar paling cemerlang untuk subjek bahasa Melayu ini.

Beliau mengagumi Za’ba dengan latar belakang pendidikan agama Islam yang kuat. Za’ba yang menguasai bahasa Melayu, Inggeris dan Arab serta bersekolah di sekolah katolik St’ Paul. Dan Za’ba sebagai seorang guru yang memberi beliau makna keseriusan mempelajari bahasa Melayu. Semuanya ada diceritakan dalam buku itu, cuma apa yang pasti, kita belum berjaya meneladani kesungguhan beliau untuk mempelajari bahasa kita sendiri dengan mendalam. Beliau begitu bersungguh-sungguh menyambung kepercayaan Za’ba kepada beliau, dan kita pula belum bersungguh-sungguh menyambung kepercayaan beliau kepada kita.

            Tidak ada yang lain yang mampu saya fikirkan setelah mendengar pemergian beliau, melainkan iktibar semangat beliau dalam mempelajari bahasa dan budaya kita. Semangat beliau dalam menggunakan mata Malaysia untuk menilai pengkajian sejarah dan masyarakat Malaysia semula, ialah iktibar yang harus kita gunakan dalam menilai pengkajian Sains, ilmu agama dan barang kali ilmu pendidikan, menggunakan mata Malaysia semula.

Selamat berehat guru kita yang jauh,

(28 Mac 1937 – 28 Mei 2019)
(Rumah kedai dua tingkat dengan tangga kayu, Jalan Kampar – Pusat Perubatan Universiti Malaya)

“Today, I am indeed a sad man,” (ms 133, I:KKK)
Mardhiyyah Nor Azizan

Mardhiyyah Nor Azizan ialah penuntut bidang Fizik di Universiti Sains Malaysia, dan lepasan Institut Kajian Keamanan dan Pembangunan Antarabangsa, Bangkok. seorang yang bersedih pada hari ini.

#KhooKayKim

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *