Beranggapan bahawa perkahwinan merupakan satu kekangan dalam kehidupan sendiri adalah kesilapan yang besar dan wajar stigma ini diperbetulkan. Bahkan, ada yang melihat bahawa melangkah ke alam perkahwinan seolah-olah menempah malapetaka kerana sering menyaksikan betapa banyaknya isu-isu penderaan dan penceraian yang menggemparkan dunia. 

Ramai dalam kalangan kita membaca biografi dan sejarah kisah ulama-ulama jomblo atau mereka yang hidup membujang lalu berdalilkan untuk menolak perkahwinan secara mentah-mentah. Antara ulama membujang dan tersohor sekali ialah Imam Nawawi dan Imam Ibnu Taimiyyah.

Sebetulnya terdapat ramai lagi ulama sebelum itu yang membujang seperti Abu Ali Al-Farisi, Abu Sa’d As-Sammani Ar-Razi, Abul Fath Nasihuddin, Ali bin Yusuf As-Syaibani dan lain-lain.

Sebenarnya tidaklah begitu. Ulama membujang mempunyai asbab tersendiri dan mereka mempunyai kekuatan dalam melawan nafsu syahwat kerana jasad mereka telah dikepung oleh kelazatan ilmu. 

Syaikh Abdul Fattah Abu Fattah Ghuddah, ulama dari Syria pengarang buku Al-Ulama Al-Uzzab Alladzina Atsaru Al-Ilma Ala Az-Zawaj telah menukilkan alasan-alasan ulama ini yang memilih untuk membujang hingga ke akhir hayat. Lebih kurang 20 alasan yang diberikan ulama yang memilih hidup membujang. Antara yang telah diringkaskan,

  1.  Keutamaan ilmu bagi mereka lebih unggul berbanding kebaikan menikah.
  1. Mereka tidak mengajak seorang pun untuk mengikuti perjalanan hidup mereka ini.
  1. Mereka memilih untuk meninggalkan pernikahan hanya untuk diri mereka sendiri.
  1. Keselamatan dari godaan-godaan kejombloan dan keburukannya nampak jelas pada mereka sebab Allah menjaga mereka dengan takwa, iman dan ilmu.
  1. Para ulama memutuskan membujang kerana kerinduannya yang dalam terhadap keilmuan.
  1. Semangat mereka menyala-nyala sebab keterikatan dan kecintaannya terhadap ilmu.
  1. Mereka mengumpulkan, menyebarkan serta membukukan ilmu tersebut sehingga ilmu mereka semakin berkembang biak menempati posisi ruh dalam jasad, air dalam kayu ‘ud yang hijau dan udara dalam kehidupan manusia.
  1. Mereka tidak dapat dipisahkan daripada ilmu.
  1. Mereka tidak puas apabila ilmu yang diraih itu minima.
  1. Ilmu sudah menjadi asupan (makanan) bergizi sekali gus rawatan perubatan bagi mereka.
  1. Mereka juga menganggap pernikahan sebagai pembatas yang menghalangi untuk memperoleh ilmu lebih tinggi.
  1. Ini adalah ijtihad mereka bahwa meraup (memperolehi)  ilmu lebih mulia bagi mereka, dan lebih utama sebagai jalan untuk menggapai reda Allah SWT.

Alasan-alasan ini hanyalah sebahagian yang dikemukakan dalam karangan penulis. Jika diteliti dengan lebih lanjut, mereka tidaklah mendesak dan mengajak orang lain hidup membujang.

Kenikmatan dalam meneguk ilmu pengetahuan telah memalingkan mereka daripada mengingati perkahwinan hingga ke akhir nyawa.

Malahan, ini termasuk dalam ijtihad para ulama dan sesiapa pun tiada paksaan dalam menolak atau mengikutinya.

Jika diimbas kehidupan para Nabi, mereka juga mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat. Lihat saja kisah Nabi Zakaria A.S. yang telah uzur namun masih tidak berhenti berdoa agar Allah memberikannya keturunan.

Dalam satu hadis Nabi SAW menyebutkan bahawa perkahwinan adalah sunnah. Lantas, baginda berbangga sekiranya umatnya bertambah kerana ikatan perkahwinan. Perhatikan Sabda Rasulullah SAW,

Rasulullah SAW bersabda,

Menikah adalah sunnahku, barangsiapa yang tidak mengamalkan sunnahku, bukan bahagian daripadaku. Maka menikahlah kamu, kerana aku bangga dengan ramainya umatku (di hari kiamat). “ [Riwayat Ibnu Majah no. 1846, Shahih menurut Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Ash Shahihah no. 2383]

Selain merealisasikan sunnah Rasulullah SAW, perkahwinan juga mampu menjauhkan manusia daripada terjerumus dalam penzinaan. Sungguh, kita tidaklah sekental para ulama dalam menahan segala godaan yang kian marak beredar di persekitaran kita.

Perkataan Ibn Al-Jauzi dinyatakan dalam karya penulis,

“Saya pilihkan bagi pelajar ilmu pemula untuk menghindari pernikahan seboleh mungkin. Sesungguhnya, Ahmad bin Hanbal tidaklah menikah hingga genap 40 tahun. Ini kerana untuk menggapai harapan ilmu.”

Memetik ungkapan Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam halaman 23 sebagai penutup,

“Kesimpulannya, meninggalkan pernikahan bagi orang yang tidak memerlukan atau bagi orang yang tidak kuasa atasnya,  terutama bagi penuntut ilmu yang wang sakunya serba kekurangan, kelemahan hati, dan kesibukan fikiran, maka hal tersebut lebih utama.”

Rujukan:

  1.  Ulama Jomblo, Rela Tidak Beristeri Demi Ilmu (edisi terjemahan). Penerbit Kalam. Cetakan 1, Maret 2020. Penulis: Abu Fattah Abu Ghuddah.

Disediakan oleh: Syuhara Suriati

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.