Baru-baru ini hangat dibincangkan (kalau boleh dikatakan sebuah perbincangan) mengenai pengajaran subjek Sains dan Matematik untuk diajarkan dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah dan menengah. 

Perkara ini sudah lama namun ianya masih menjadi topik yang malar segar kerana tiap-tiap dekad akan ada kelompok yang memikirkan bahawa Sains dan Matematik perlu diajarkan dalam bahasa Inggeris. Kelompok ini selalunya terdiri daripada bukan calang-calang orang. Kebanyakan antara mereka ialah mahasiswa-mahasiswi dan ahli-ahli akademik. 

Antara hujah major yang dicadangkan oleh kelompok ini ialah kerana pengajaran Sains dan Matematik di universiti akan sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris, sama ada universiti tempatan apatah lagi universiti luar Malaysia. Transisi bahasa pengantar kedua-dua subjek ini akan mengganggu fokus dan kefahaman pelajar dikeranakan disekolah sudah dibiasakan dengan bahasa Melayu. 

Saya dahulunya merupakan seorang pelajar sekolah harian. Ketika sekolah rendah, saya sempat belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris selama 4 tahun. Setelah itu bertukar ke bahasa Melayu sehinggalah saya menduduki SPM. Lalu ketika masuk universiti, saya terpaksa pula belajar subjek-subjek ini dalam bahasa Inggeris. 

 

Muhammad Haji Salleh

 

 

 

Poin yang mengatakan bahawa Sains dan Matematik atau apa sahaja bidang pengetahuan formal perlu diajarkan dalam bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, perlu dimartabatkan dan sebagainya itu sudah menjadi hujah sejak zaman PPSMI lagi. Seperti kata Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, kita mesti mencari hujah-hujah baru untuk mengatasi perkara ini. 

Saya tidak akan menggunakan aspek pemartabatan bahasa Melayu sebagai hujah utama dalam rencana ini kerana tidak semua rakyat Malaysia ke arah usaha itu sepenuhnya dan pasti ramai yang sukar untuk menerimanya. Namun, saya yakin bahawa semua rakyat Malaysia percaya akan kekuatan asas konsep dalam satu-satu disiplin pengetahuan. 

Tidak boleh untuk menafikan bahawa bahasa keseharian rakyat Malaysia ialah bahasa Melayu. Walaupun seseorang itu berjawatan tinggi sehinggalah orang yang termiskin di Malaysia, pasti akan bercakap dengan bahasa Melayu dalam satu hari, walaupun hanya sepatah kata. 

Sains dan Matematik adalah antara disiplin ilmu yang penuh dengan konsep dan penerangan. Asas kedua-dua subjek ini perlu amat kukuh untuk mempelajari konsep-konsep yang seterusnya kerana ia saling berkaitan. Tambahan pula, banyak asas-asas konsep Sains dan Matematik diajarkan ketika berada di sekolah seperti operasi asas, keperluan asas manusia dan tumbuhan sehinggalah kepada teori Phytagoras dan respirasi dalam sel. 

Pendek cerita, asas-asas konsep dalam Sains dan Matematik akan jauh lebih mudah untuk diajar dan dibelajar dalam bahasa rakyat iaitu bahasa Melayu. Mungkin tidak menjadi masalah untuk banyaksekolah di bandar-bandar besar untuk mengajarnya dalam bahasa Inggeris kerana kebanyakan antara mereka mahir dalam bahasa Inggeris, namun cuba difikirkan dengan sekolah di Merotai? Bagaimana pula dengan anak-anak di Pulau Sebatik? Bahasa keseharian mereka bahasa Melayu, adapun mungkin bahasa etnik mereka juga. Dengar bahasa Inggeris hanya dalam kelas bahasa Inggeris sahaja. 

Susahnya untuk belajar dalam bahasa yang tidak pelajar terbiasa dengannya. Mana hendak fahamkan asas, lagi hendak fahamkan bahasa pengantarnya. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Mungkin ada hujah untuk mematahkan poin ini dengan mengatakan bahawa inilah caranya untuk menguatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka. Persoalannya, adakah bahasa Inggeris sebegitu penting melebihi asas-asas dalam Sains dan Matematik sehinggakan sanggup digadaikan? Dalam fikiran saya, jauh lebih besar kemampuan Sains dan Matematik untuk memajukan masyarakat berbanding penguasaan Inggeris. 

Seperti saya katakan tadi, mungkin tidak menjadi masalah untuk pelajar di Bangi dan Shah Alam, tapi bagaimana pula dengan pelajar yang petangnya terpaksa ikut ibu-bapa berniaga di pasar? Mereka ini mengharapkan sepenuhnya pengajaran di sekolah yang hanya 6-7 jam itu sahaja. Hanya itulah peruntukan masa yang panjang untuk mereka cairkan kefahaman mereka akan asas konsep Sains dan Matematik. Jika ditambah lagi dengan beban bahasa, susah untuk mereka.

Asas pengetahuan perlu amat kukuh untuk Sains dan Matematik. Untuk itu, pelajar mesti diceritakan mengenai sesuatu konsep awal menggunakan cara yang paling mudah untuk mereka faham; dengan visual, ataupun dengan model sebenar, dan bahasa. Asas pengetahuan jauh lebih penting daripada penguasaan sesebuah bahasa asing.

Melainkan asas-asas itu hanya diperlukan untuk hafal membuta tuli tanpa memahami aplikasi kehidupan seharian. Boleh untuk mengajarkan asas-asas pengetahuan dalam Inggeris tapi bersedialah untuk asas-asas itu tidak difahami, hanya dihafal. Kerana apa? Ada juga guru yang tidak mahir dalam menerangkan dalam bahasa Inggeris. Ini realiti. 

Mungkin pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak menjadi masalah bagi beberapa orang pelajar dan guru namun saya yakin, jauh lebih banyak lagi mereka-mereka ini yang mengharapkan untuk belajar ia dalam bahasa keseharian, bahasa rakyat – bahasa Melayu. 

Mengimbau pengalaman saya, transisi pengajaran daripada bahasa Melayu di sekolah ke bahasa Inggeris di universiti tidak menjadi masalah besar, lebih-lebih lagi pengajaran Sains dan Matematik. Disebabkan kebanyakan istilah-istilah Sains dan Matematik adalah kata-kata pinjaman daripada bahasa Inggeris, maka tidaklah lari jauh perkataan kedua-dua bahasa itu. Jadi, tiada masalah. Tambahan lagi, ketika di universiti akan ada semacam semangat dan beban yang mana wajib kita untuk bekerja lebih keras berbanding di sekolah dahulu kerana universiti bukanlah tempat sembarangan melainkan sebuah tempat gedung ilmu dan pengetahuan yang tinggi harkatnya. 

Saya agak bersetuju jika di universiti, Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris kerana di zaman universiti perlu kajian yang banyak, sedalam mungkin disiplin-disiplin ini. Disebabkan kebanyakan bahan rujukan Sains dan Matematik di dunia ini dalam bahasa Inggeris maka amat penting untuk mempelajarinya dalam bahasa Inggeris. Pada peringkat universiti sudah tiada masalah untuk mempelajarinya dalam bahasa Inggeris kerana apa yang penting sebelum ini ialah penguasaan asas-asas Sains dan Matematik. Ketika di universiti, apa yang dipelajari bukan lagi asas, tetapi lebih kepada pendalaman ilmu. 

Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar perlu ditingkatkan ketika dalam kelas Inggeris. Selain itu, ibu bapa dan lebih-lebih lagi sekolah juga berperanan seperti menyediakan bahan bacaan Inggeris, mengadakan aktiviti Inggeris dan sebagainya. 

Tidak patut untuk menggadaikan kefahaman mereka terhadap asas-asas Sains dan Matematik semata untuk meningkatkan prestasi mereka dalam berbahasa Inggeris. 

Disediakan oleh,

Naiem Zikri

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.