Perkara ajaib merupakan suatu perkara yang sangat menghairankan, aneh, ganjil dan pelik (Kamus Dewan Edisi Keempat). Ia merupakan suatu perkara yang mengagumkan orang yang merasai atau menyaksikan sendiri perkara tersebut di depan mata mereka. 

Kejadian-kejadian yang berkemungkinan berupa mencarik adat kebiasaan sesuatu benda atau perkara yang terdapat dalam dunia ini, dan boleh jadi ia suatu perkara yang telah melawan hukum alam. Bagi manusia, perkara ajaib ini adalah suatu perkara yang tidak pernah mereka jangka akan berlaku kepada mereka atau apa yang berada di sekeliling mereka.

Kepercayaan terhadap perkara ajaib dan pelik ini bukan hanya terdapat pada bangsa Melayu semata-mata. Di seluruh dunia, pelbagai kaum dan bangsa mempunyai unsur-unsur kepercayaan terhadap perkara ajaib, pelik dan mistik ini. Kepercayaan kepada perkara ajaib dan pelik ini boleh berada pada tahap yang membimbangkan, apabila ia diserap menjadi unsur-unsur keagamaan. Dan kepercayaan. Namun, rahmat  Allah SWT telah melimpahi bangsa Melayu ini dengan kedatangan agama Islam.

Walaupun agama Islam telah mencorakkan adat dan budaya orang Melayu, namun sebahagian kepercayaan terhadap perkara ajaib, pelik dan mistik ini masih kekal di dalam pemikiran orang Melayu. 

Persoalannya, mengapa orang Melayu menjadi bangsa yang terawal membicarakan berkenaan dengan perkara ajaib dan pelik ini? Dimana mereka mendahului bangsa-bangsa yang lain di dalam berkisah dan menyebarkannya kepada masyarakat di sekitarnya? 

Orang Melayu dilihat seolah-olah, pantang melihat perkara yang pelik dan ajaib di depan mata mereka, walaupun pada sekecil-kecil perkara juga,  pasti mereka akan menghebohkan dan menularkan peristiwa yang ‘aneh’ itu kepada masyarakat yang lain.

Misalnya, peristiwa banjir baru-baru ini yang menenggelamkan banyak kawasan di semenanjung Malaysia dan turut memusnahkan banyak harta benda masyarakat awam. Ramai pihak yang dalam kesusahan memohon bantuan daripada pihak berwajib untuk keselamatan dan keperluan harian diri dan keluarga. Kebanyakan pihak berusaha untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang berada dalam kesusahan. Usaha-usaha seperti ini patut dipuji dan ditularkan agar ramai pihak yang akan turun dan menghulurkan bantuan berupa keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir ini. 

Diterpa Banjir Lumpur, Mushaf Al-Qur'an Ini Masih Utuh

Namun, terdapat juga sebahagian daripada mereka yang sibuk berbicara berkenaan dengan perkara dan kejadian yang pelik dan ajaib, sehinggakan misi yang pada awalnya ingin menyelamatkan dan memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, bertukar menjadi misi mengumpulkan peristiwa-peristiwa ajaib dan pelik.

Misalnya, mushaf al-Quran ditemui masih elok dan tidak kotor walaupun ia telah ditenggelami air di dalam banjir lumpur. Ada yang memaparkan sebuah ruangan solat di rumah tidak dimasuki air banjir, dan seolah-olah ia merupakan tempat yang baik dan direstui Tuhan. Terdapat banyak lagi peristiwa yang ajaib dan pelik, dikaitkan dengan kebenaran agama ini dan seolah-olah ia tanda restu dan reda daripada sang Tuhan kepada hamba-hamba-Nya.

Tidak dinafikan peristiwa-peristiwa ini merupakan perkara-perkara yang ajaib dan pelik, lebih-lebih lagi ia mengenai kitab suci umat Islam yang menjadi petunjuk kepada kebenaran. Seolah-olah peristiwa-peristiwa ini menjadi tanda bahawa Tuhan telah merestui dan meredai agama ini. Sebahagian pihak terlalu menyanjungnya terlalu tinggi sehingga dikatakan bahawa ia adalah bukti kebenaran agama ini. 

Kenyataan-kenyataan seperti ini mengandungi kelompongan yang nyata dan ia merupakan hujah yang sangat lemah, seperti sarang lelabah, jika ia dijadikan hujah untuk menyatakan kebenaran sesuatu agama dan kepercayaan. 

Jika kita melakukan carian di Google, kita akan temui agama-agama lain telah mendahului kita dalam hal ini. Jika kita kata mushaf al-Quran tidak kotor walaupun tenggelam dalam banjir lumpur, kitab Injil (Bible) lebih hebat kerana tidak terbakar di dalam sebuah kebakaran yang memusnahkan Gereja di Daniels, West Virginia, Amerika Syarikat pada 3 Mac 2019 yang lalu. Adakah kita sebagai umat Islam boleh bertukar aqidah untuk mempercayai bahawa kitab Injil terkini itu adalah kitab yang benar, direstui dan diredai Tuhan? 

Jika kita kata pula masjid tidak runtuh disebabkan tsunami bukti reda dan restu daripada Tuhan, gereja (Gereja International Full Gospel Fellowship/ IFGF) juga utuh dan tidak runtuh  walaupun diterjah tsunami yang ganas menyerang kota Palu, Indonesia pada 22 Disember 2018. Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang seakan-akan sama dengan apa yang berlaku di dalam agama Islam, berlaku kepada agama-agama lain di dunia ini. 

Jika hal-hal ini menjadi sifir dan penanda aras kepada sesuatu kebenaran, maka kita juga tidak boleh menafikan kebenaran agama lain. Hal ini demikian kerana, mereka juga mengalami peristiwa-peristiwa ajaib dan pelik tersebut.

Saya tertarik dengan ulasan ustaz Ahmad Iqram Mohamad Noor, seorang pendakwah bebas dan penulis buku apabila mengulas berkenaan dengan isu ini  di dalam laman Facebook beliau yang bertarikh 27 Disember 2016:

“Fenomena menginginkan keajaiban dan perkara mistik disandarkan kepada agama ini seakan tidak dapat dihakis di dalam diri manusia. Agama itu dimahukan dengan wajah yang mistik dan memiliki keajaiban barulah ia dianggap adanya kuasa Tuhan bagi mewakili mereka. Sehinggalah pada hari ini ramai penganut agama-agama mula berlumba-lumba untuk menonjolkan kebenaran agama mereka dengan mengetengahkan peristiwa ajaib yang berlaku.”

Perangai dan sikap yang gemar akan perkara dan peristiwa yang ajaib dan pelik ini bukan ada pada generasi terkemudian ini sahaja, zaman Rasulullah SAW juga pernah mengalaminya, di mana sebahagian pihak mendakwa bahawa gerhana telah berlaku disebabkan kematian anak lelaki Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim.

Diceritakan kepada kami oleh Syaiban Abu Mu`awiyah, daripada Ziyad bi `Ilaqah, daripada al-Mughirah bin Syu`bah, beliau berkata: 


كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ، فَقَالَ النَّاسُ: كَسَفَتِ الشَّمْسُ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ فَصَلُّوا، وَادْعُوا اللَّهَ


Maksudnya: “Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah SAW pada hari kematian Ibrahim. Lalu orang ramai berkata: “Matahari telah gerhana kerana kematian Ibrahim”. Lantas Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak akan menjadi gerhana kerana kematian seseorang ataupun kerana hidupnya seseorang. Apabila kamu melihat (peristiwa gerhana) maka bersolat serta berdoalah kepada Allah.”

[HR  Bukhari, No.1043]

Umat pada ketika itu, sewaktu Rasulullah SAW masih hidup di hadapan mereka lagi, mereka tetap berani menyatakan sesuatu perkara yang belum dan tidak pernah disebut oleh Rasulullah SAW. Mereka berani mendakwa sesuatu peristiwa yang ajaib dan pelik yang berlaku di sekitar mereka merupakan tanda itu dan ini. Bukankah hal ini termasuk di dalam sifat mendahului Allah dan Rasul? 

Tidak mustahil selepas ini akan timbul dakwaan bahawa gambar tok-tok wali tidak basah dan kotor disebabkan banjir lumpur, lalu dinyatakan bahawa ini lah karamah sang wali. 

Ustaz Ahmad Iqram Mohamad Noor, sekali lagi membawakan perkara yang luar biasa dan ajaib pada fikiran manusia di dalam buku beliau, KARUT!, di mana beliau menyatakan bahawa semua agama seperti berlumba-lumba untuk menunjukkan keajaiban yang ada pada agama mereka. Misalnya, berbangga akan koleksi mayat paderi, rahib dan sami mereka yang utuh tidak dimamah oleh bumi, dan disimpan kemas di dalam muzium dengan anggapan bahawa mereka ini lah insan yang baik dan diredai Tuhan. 

Karut! - Buku - PTS

Ada sebahagian pihak menyatakan:

“Kuasa Allah. Kita tidak dapat nak mempertikaikan. ‘Kun Fayakun’. Jika Allah berkehendak. Tiada yang mustahil tuan.”

Ya, benar. Tiada sesiapa yang hendak menafikan kekuasaan Allah atas segala sesuatu. Penulis juga pada awalnya takjub akan peristiwa tersebut, namun penulis merasakan bahawa terlalu banyak peristiwa-peristiwa sebegini yang timbul sejak dari peristiwa banjir tersebut, kemudian mula lah timbul isu kebenaran agama dan restu serta reda Tuhan, sehinggakan ia dilihat semakin melampau. 

Sikap yang melebih-lebih terhadap sesuatu perkara dan peristiwa yang ajaib dan pelik ini kebiasaannya akan mempengaruhi pemikiran dan cara berfikir seseorang apabila bertemu dengan perkara-perkara yang ajaib dan luar biasa yang lain pula. Jika hal ini dilihat perkara yang biasa dan bukti reda dan restu Tuhan, maka agama lain jika mengalaminya juga, kita tidak boleh menafikan kebenaran agama mereka.  

Masyarakat kita lebih terpesona dengan peristiwa dan kisah ajaib dan pelik berbanding tujuan al-Quran itu diturunkan, masjid dijadikan sebagai tempat ibadat, tujuan karamah diberikan kepada para wali dan lain-lain. 

Kita lebih suka mengkaji perkara-perkara yang bersifat belum pasti, adakah ia sebuah rahmat daripada Tuhan, atau sebenarnya ia merupakan istidraj daripada Tuhan, yang bertujuan untuk menyesatkan orang yang terlampau beriman dengan perkara-perkara mistik dan ajaib sehingga aqidah dan ibadah tidak dijaga, al-Quran tidak dibaca, akhlak pula tidak seperti akhlak sang junjungan Nabi SAW dan lain-lain. 

Mungkin juga peristiwa-peristiwa pelik dan luar biasa itu sebagai ujian bagi kita, sama ada kita akan bersyukur dan kagum akan kebesaran dan kekuasaan-Nya atau kita akan lebih jauh tersesat disebabkan peristiwa dan perkara ajaib dan luar biasa tersebut.

Penulis menasihati agar janganlah kita melampaui batas di dalam mengagumi peristiwa-peristiwa luar biasa dan ajaib tersebut. Cukuplah kita berasa takjub, kemudian bertahmid, bertasbih memuji Allah SWT atas kebesaran dan kekuasaan-Nya, kemudian meninggalkan peristiwa tersebut begitu sahaja, tanpa menyebarkannya kepada orang lain. Tidak mustahil jika Dajjal keluar dan menunjukkan ‘keajaiban’ dan ‘kuasa luar biasa’ nya kelak, kita akan terikut tanpa sedar, jika mulai dari saat ini kita tenggelam di dalam kekaguman terhadap peristiwa dan perkara yang ajaib dan pelik tersebut. Nauzubillahi min zalik. 

Kata ustaz Ahmad Iqram Mohamad Noor, ‘Apa yang manusia inginkan di dalam agama? Kebenaran bertuhan atau keajaiban?’.  Wallahu’alam.

Disediakan oleh,

Muhammad Hamzani al-Kanowiti

Pendakwah dan Pemikir Isu Semasa.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.