Kita acap kali mendengar bahawa Islam adalah sebuah agama yang menyatukan ummah. Bukan sebaliknya membawa kepada perpecahan. Perkara ini juga adalah selari dengan makna perkataan Islam itu sendiri yang membawa maksud selamat, sejahtera dan aman damai. Namun begitu, sebahagian masyarakat di luar sana khususnya mereka yang bukan beragama Islam diperlihatkan dengan isu pertelingkahan sesama orang Islam dalam menentukan Islam siapakah yang paling benar dan betul berdasarkan mazhab yang diyakininya. Malah bertambah buruk, apabila sehingga tahap kafir-mengkafirkan sesama umat hanya kerana berlainan fahaman mazhab.
Situasi ini setidak-tidaknya telah menimbulkan persepsi terhadap bermazhab, menyatu atau memecah ? Jika benar mazhab ini memecah, mengapa adanya mazhab di dalam Islam? Jika benar Islam itu agama yang menyatupadukan, mengapa ada mazhab yang muncul dan memecah-belahkan umat ? Mengapa ada mazhab ? Apakah tidak cukup dengan al-Quran dan hadith Nabi ?
Perkataan mazhab adalah berasal dari bahasa Arab yang beberapa maksud. Dari sudut bahasa, mazhab terbahagi kepada dua maksud iaitu pertama, bermaksud yang diyakini. Kedua, mazhab juga bermaksud jalan atau metode. Oleh itu, dari sudut bahasa, dapat kita simpulkan bahawa mazhab adalah suatu jalan dan kaedah yang diyakini untuk kita berada di atas manhajnya (jalan). Dari sudut istilah pula, seperti yang terkandung dalam kitab Mu’jam Mustalahat Usul al-Fiqh, mazhab adalah merujuk kepada maksud sesuatu pandangan yang dikemukakan oleh seorang mujtahid dalam perkara furu’ (cabang) serta masalah yang bersifat ijtihadiyy (suatu perkara yang menjadi perbincangan dikalangan ahli hukum).
Secara umumnya, mazhab dalam Islam terbahagi kepada dua sudut iaitu mazhab dari sudut akidah, membincangkan permasalahan berkaitan hukum-hakam keimanan. Keduanya, mazhab dari sudut fiqh, membincangkan permasalahan hukum hakam berkaitan pelaksanaan ibadah. Kita harus ketahui bahawa mazhab bukanlah suatu agama baharu. Mazhab juga bukanlah sesuatu yang mutlak untuk dipatuhi dan diikuti melebihi patuh dan ikuti perlembagaan Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah.
Kemunculan mazhab juga bukanlah bertujuan untuk membawa ajaran baharu, seruan dan dakwah baharu atau menafikan syariat Islam. Tujuan dan peranan utama mazhab itu sendiri adalah untuk memperincikan dasar pelaksanaan kepada sesuatu tuntutan dalam syariat. Sebagai contoh, dalam al-Quran, Allah SWT telah memerintahkan hamba Nya untuk mendirikan solat. Perintah Allah SWT ini adalah bersifat umum. Untuk pelaksanaan solat, Allah tidak menyebutkannya secara terperinci. Maka datanglah hadith Nabi bagi memperincikannya. Untuk itu, para sarjana Islam yang juga terdiri daripada pendiri mazhab, mengkaji hadith-hadith tersebut dengan kaedah pemahaman masing-masing yang akhirnya terhasil lah beberapa pandangan mengenai tatacara solat.
Perbezaan tatacara solat antara mazhab “A” dan mazhab “B” bukanlah bermaksud rujukan berbeza, tetapi perbezaan ini merujuk kepada perbezaan kaedah dan metodologi dalam memahami sesuatu dalil al-Quran dan al-Hadith. Perbezaannya adalah kaedah pemahaman namun rujukannya tetap sama iaitu al-Quran dan al-Hadith. Maka tidak timbul persoalan mengenai mazhab membawa ajaran atau agama yang baharu kerana pada dasar prinsipnya, rujukan mereka tetap sama iaitu merujuk kepada al-Quran dan al-Hadith. Bezanya adalah bagaimana cara nak memahami tuntutan sesuatu dalil dari al-Quran dan al-Hadith.
Selain itu, kita harus tahu bahawa pada zaman Nabi SAW, tidak timbul terlalu ketara kepelbagaian mazhab ketika itu kerana pada zaman tersebut rujukan utama itu sudah semestinya rujuk dan semak terus kepada baginda Nabi SAW. Segala masalah dan kemusykilan yang wujud pada zaman itu, dapat terus ditanya kepada baginda Nabi Muhammad SAW. Meskipun begitu, baginda Nabi SAW ada ketikanya baginda sendiri telah berijtihad (mengkaji dan menyelidik) dengan sesuatu permasalahan. Misalnya, seorang wanita telah datang dan bertanyakan kepada Nabi berkenaan ibadah haji untuk bapanya. Perkara ini dirakamkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, yang bermaksud :
“Rasulullah SAW pernah bersabda kepada seorang wanita yang bertanyakan mengenai hajinya untuk bapanya. Baginda bersabda : “Apa pandanganmu jika sekiranya bapamu mempunyai hutang lalu engkau melangsaikannya, adakah ia sudah memadai ?” Jawab wanita itu : “Ya.” Sabda Baginda : “Maka hutang Allah lebih berhak untuk ditunaikan”.
Ini bermakna, Nabi SAW telah berijtihad akan permasalahan keutamaan melunaskan hutang Allah SWT. Perkara ini berlaku juga bertujuan melatih para sahabat untuk turut berijitihad sesuatu hukum setelah wafatnya baginda Nabi. Setelah wafatnya baginda Nabi, maka segala hal masalah yang timbul akan diperbincangkan dan diperhalusi oleh para sahabat Nabi yang berijtihad.
Maka melalui perihal ini, dapat kita fahami bahawa sesuatu mazhab itu wujud bukanlah untuk membawa syariat baharu dalam Islam. Sama sekali tidak. Sebaliknya adalah untuk membahaskan kaedah pelaksanaan kepada sesuatu syariat itu sendiri berteraskan perlembagaan utama Islam, al-Quran dan al-Hadith.
Berbeza dengan amalan dan kepercayaan agama lain seperti Kristian, berbeza mazhab akan berubahlah juga sumber rujukan mereka. Misalnya dalam agama Kristian, terdapat beberapa kelompok atau juga boleh kita namakan sebagai mazhab seperti Katolik, Protestan, Ortodoks dan lain-lain. Perbezaan kelompok atau mazhab ini telah merubah cara fikir mereka dengan merujuk kitab-kitab berbeza mengikut anutan mazhab mereka tersendiri. Tetapi dalam Islam, meskipun terdapat kepelbagaian mazhab, namun rujukan utama dan perlembagaannya tetap sama iaitu al-Quran dan al-Hadith. Demikian Islam yang membawa mesej kesatuan dan keamanan sejagat.
Adapun sebahagian masyarakat melihat ketaasuban segelintir umat Islam mempertahankan kebenaran mazhabnya itu adalah sikap pelampau yang tidak diajar dan dituntut dalam Islam. Islam sama sekali menegah dan melarang umatnya bertelagah sesama sendiri yang akhirnya merugikan nasib umat Islam. Sikap terlalu taasub dan fanatik terhadap sesuatu mazhab juga bukan seruan dan ajaran oleh pendiri atau pengasas sesuatu mazhab. Ianya adalah diluar kawalan dan di dorong oleh sikap fanatik mereka itu sendiri. Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Dr. Syeikh Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, beliau menyatakan bahawa :
“Sesungguhnya syariat Islam adalah hujah mengatasi seluruh mazhab. Bukanlah mazhab yang menjadi hujah mengatasi syariat Islam. Apabila jelas kepada pengikut sesuatu mazhab bahawa mazhabnya salah dalam masalah tertentu, sementara kebenaran berada pada pendapat yang lain dan masalah itu cukup jelas baginya, maka hendaklah dia bertukar mazhab kepada pendapat yang benar dalam masalah tersebut. Harus bagi pengikut sesuatu mazhab mengikut mazhab lain dalam sebahagian masalah. Ini kerana tidak wajib kepadanya untuk terikat dengan semua ijtihad mazhabnya. Dengan syarat ia disebabkan oleh dalil yang menuntutnya berubah dari mazhabnya ke mazhab yang lain dalam masalah tertentu.”
Demikianlah Islam dan khazanah kepelbagaian mazhab yang mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Kepelbagaian mazhab ini juga mengajar kita untuk lebih menghargai khazanah ilmu Islam yang sangat luas ini. Ini juga secara tidak langsung mengeluarkan kita daripada sifat kejumudan dan kebekuan dalam hidup beragama. Pada masa sama juga, segelintik umat Islam yang melampau dan fanatik terhadap sesuatu mazhab bukanlah kerana ajaran mazhab itu sendiri sebaliknya sikap individu itu sendiri yang melampaui batas. Sikap sedemikian adalah dilarang oleh Allah SWT. Semoga Allah memberkati hidup kita semua.
Disediakan oleh: Faidhi Azis