Menangislah kawan, jangan ditahan air matamu.

“Saya selalunya menonton komedi ataupun drama kehidupan. Apabila saya mahu menangis tapi saya tidak punya alasan apapun, ketika itulah saya akan menonton roman. Supaya saya akan ada alasan untuk menangis,” – Seo Wu Jin

“Kenapa kamu langsung tidak menangis sahaja ketika kamu mahu menangis?”

“Mungkin saya hanya tidak mahu orang lain tahu bahawa saya ini sebenarnya lemah. Saya ada ego yang tinggi untuk mempertahankan entahlah apa,” sambung Seo Wu Jin.

Ini adalah petikan dialog satu babak dalam K-drama yang bertajuk “Familiar Wife” (2018).

Kadang kala mempunyai perasaan mahu menangis tetapi tidak punya alasan kukuh atau langsung kosong alasan, lalu mencari alasan dengan menonton drama/filem melodrama dan roman supaya air mata boleh terbit keluar dengan sendirinya bukanlah dikira pelik tetapi masalah sejagat rupanya.

Unik betul emosi ciptaan Tuhan ini. Ada orang boleh ekspresikan begitu sahaja emosinya. Ada orang terlalu menahan segala rasa sehinggakan tidak mengetahui apa yang dirasainya.

Kita, manusia mempunyai akal untuk belajar mengenali dan mengawal setiap emosi yang kita rasa. Rasa gembira, tenang, bahagia, marah, jengkel, benci atau sedih, semuanya membuatkan kita ini menjadi manusia yang manusiawi. Kalau tidak apa bezanya kita dengan patung yang bernyawa?

Seringkali aku ditemukan dengan manusia yang selalu menahan tangisannya. Mungkin seperti Seo Wu Jin, baginya menangis adalah tanda lemah.

Tuhan ciptakan perasaan sedih dan air mata mempunyai sebab dan alasan. Lalu, kenapa kita perlu menahan kuat rasa gundah dan menidakkan air mata untuk turun bebas mengalir?

Berlaku adil lah dengan rasa sedih. Rasa gembira kita bebas tunjukkan tetapi rasa sedih? Kita benci, disorok dan disimpan di bahagian yang terdalam.

Menangislah sepuas hatimu! Lebih kuat esakanmu, itu lebih baik. Jangan disimpan separuh-separuh. Mahu disimpan untuk siapa? Jika disimpan lebih lama hanya akan menjadi racun buat dirimu. Sedangkan jenayah memberi racun kepada orang lain, lalu kenapa kita lebih rela memberi racun kepada diri sendiri?

Menangislah dimana sahaja yang kau suka. Dan menangislah kepada siapa saja yang kau selesa. Sama ada kepada Tuhanmu ataupun kepada hamba Tuhanmu, tidak mengapa. Asalkan dilepaskan apa yang telah tersimpan. Asalkan lepas!

Supaya lebih lega dan lebih tenang. Supaya mempunyai ruang baru untuk mencari kembali harapan dan kekuatan.

Disediakan oleh,

Hanis Hafizah

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.