Membumikan Pemikiran Reformis: Za’ba (Bahagian 2)

7

Biarpun kita masih perlu kepada khazanah peninggalan imam-iman yang lalu. Tetapi wacana untuk membuka satu wawasan islah ini sebenarnya mendidik paradigma masyarakat untuk mengadun fikrah dan pendekatan secara ijtihadi, mengungkap pembaharuan dalam apreasiasi terhadap tradisi seperti mana yang dimaknakan dalam ungkapan Dr Yusuf Al Qaradawi, menggabungkan perkara lama yang bermanfaat dengan perkara baharu yang bersesuaian. Justeru, dalam proses islah perlu untuk memperbaharui petunjuknya, penjelasan akan kebenaranya, penghapusan perkara baharu yang merosakkan (bidaah), perlu faham disini bukan terhadap perkara khilafiyyah yang muktabar dan fahaman ekstremisme (al ghuluw) dan kelonggaran dalam agama yang membawa kepada kefahaman liberal serta perlunya kepada sikap yang moderat (wasatiyyah) dalam pertimbangan agama.

Dalam meneruskan usia kekhalifaham kita di muka bumi ini, wajar bagi kita untuk konsisten bersama gagasan ini sebagai ruh yang akan terus segar dan revelan dalam mendepani cabaran mendatang yang ditandai dengan pelbagai perubahan yang rencam. Keberanian dan kebijaksanaan kita dalam menyesuaikan pembaharuan akan menentukan senario kita di masa hadapan sama ada terarah atau tanpa arah. Satu kelebihan untuk masa kini, kita dapat melihat dari perspektif sejarah lampau dalam wawasan islah di tanah melayu. Sebagaimana dalam wawasan Zaba yang boleh diambil kira penting untuk diketengahkan apa yang Zaba telah berbicarakan melalui penulisan penanya.

Zaba mempunyai penulisan yang menjadikan bahasa melayu berada pada tahap yang diperkayakan dengan perbedaan kata daripada Bahasa Arab dan Al Quran, kemudian berkembang menjadi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan intelekual. Sememangnya bahasa Melayu mempunyai keunikkan tersendiri iaitu mengambil dan menyesuaikan aksara Arab menjadi aksara Melayu. Justeru, roh islam turut meresapi bahasa ini dan seterusnya mempengaruhi dan mencorakkan pemikiran bangsa Melayu sebagaimana gaya bahasa Zaba. Biarpun gaya bahasanya tidaklah seperti gaya sekarang tetapi isi penulisannya relevan hingga sekarang sebagaimana yang telah dijelaskan tadi. 

Ini adalah nukilan penulisan Zaba dalam judul Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri:

“kalau kamu menjadi pohon kayu, jadilah pohon kayu yang tumbuh gagah di rimba, di mana hidupnya sentiasa bersaing dan berjuang dengan pohon – pohon lain untuk mendapat tempat yang kukuh dan terjamin. Sebaliknya janganlah menjadi pohon bunga yang ditanam di dalam pasu yang sentiasa mengharapkan supaya sentiasa disiram dan dibajai. Jika tidak, ia akan menjadi layu dan seterusnya akan mati. Kalau kita ingin menjadi rumput, biarlah menjadi rumput yang boleh menghiasi sebatang jalan yang indah. Kalau kita menjadi sekuntum bunga, biarlah dapat menghiasi sanggul gadis remeja. Kalau ingin menjadi sebutir bintang, jadilah sebutir bintang timur yang boleh menentu arah perjalanan”. Lain kata Zaba lagi, “kehidupan kita dalam dunia ini ialah kehidupan beramal atau bekerja, kehidupan berjuang dan berlawan – lawan seperti dalam perlumbaan. Tiap – tiap seorang hendaklah menjalankan bahagiannya sendiri dengan tidak bergantung kepada orang akan menyempurnakannya. Ia sendiri mestilah merasa bertanggungjawab bagi menyempurnakan kewajipan dirinya dan tanggungan dirinya dalam perjuangan dan perlumbaan itu. Maka yang akan menang dalam perlumbaan itu hanyalah orang yang tetap, tekun dan sabar menjalankan kerja – kerja kewajipannya itu dengan bergantung kepada ikhtiar dan daya upaya dirinya sendiri, dan memohon pertolongan hanya kepada Allah sahaja”.

Katanya mengenai kejayaan,

“kebanyakan orang yang berjaya hidupnya dalam dunia ini orang – orang yang telah mencapai kemenangan, kesenangan, kenamaan dan kebahagiaan dari tingkat yang rendah dan di bawah telah beroleh akan kejayaan mereka itu bukanlah dengan jalan nasib atau dengan sebab pertolongan orang tetapi ialah dengan jalan bergantung kepada diri mereka sendiri dan percaya kepada kebolehan sendiri. Mereka telah bekerja dan berusaha bersungguh – sungguh dengan tetap dan bulat hati serta penuh keyakinan akan dapat menjayakkan barang apa – apa yang mereka buat untuk mencapai tujuan – tujuan tinggi dan mulia yang mereka kehendakkkan. Maka bukanlah mereka berjaya naik itu sebab mereka anak orang kaya atau sebab mereka sendiri telah sedia kaya, itu bukan kejayaan namanya”.

Katanya lagi,

“perangai kuat bergantung kepada diri sendiri ini boleh terbit dan berbangkit pada hati tiap – tiap seorang diri tunggal dengan jalan beberapa perkara. Satu daripadanya ialah seseorang itu mesti tahu dan memerhati dahulu akan contoh orang – orang yang kuat bekerja, orang yang bersungguh – sungguh berusaha mengunakan sepenuh – penuh tenaga sendiri pada apa yang dikejakannya, orang yang berhempas – pulas membuat segala kerjanya dengan bergantung kepada daya upayanya sendiri dan akal ikhtiarnya sendiri, hingga beroleh kejayaan yang cemerlang dan menjadi contoh teladan kepada orang lain. Dengan lain – lain perkataan, ialah orang yang berbuat demikian itu dengan tiada pedulikan susah payah dan tiada menghiraukan rintangan, pantangan, halangan dan kemalangan sehingga sampai mereka mencapai darjat yang tinggi dan nama yang wangi, dan melayakkan orang – orang hairan dengan gemar melihat kejayaannya itu. Katanya yang lain, “orang – orang yang berakal apabila telah melihat atau mengetahui contoh demikian itu bolehlah terbangkit hemahnya pula hendak berbuat seperti itu. Kerana tiap – tiap manusia yang berfikiran waras memang kecenderungannya suka menurut jejak teladan orang yang digemarinya yang bersifat lebih dan jaya. Bersama – sama itu tetap bergantung kepada dirinya sendiri juga sehingga ia sendiri jadi seperti mereka yang diteladanunya itu dan dapat mencapai pula, atau sekurang – kurangnya menghampiri, kejayaan yang telah dicapai oleh mereka itu”.

Katanya di dalam urusan beragama,

“bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan. Tuhan tidak menyukai orang – orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain. Imam – imam Mujtahidin dahulukala tempat orang bertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang – orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memestikan orang sekalian menerima sahaja kefahamannya dan pendapatnya. Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid – murid dan pengikut – pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka peroleh itu. Tambah Zaba lagi, demikianlah tiap – tiap seorang mereka itu tidak mengikut dengan buta tuli sahaja barang apa – apa kata gurunya masing – masing. Mereka bersendiri memahamkan apa – apa nas agama dan mengambil keputusan hukum – hukum agama daripada nas – nas itu. Ada tentangnya mereka bersetuju dan sekata antaranya sama sendiri, tetapi banyak tentangnya mereka berselisih faham dan pendapat. Pada asas dan punca, sekalian mereka itu tetap berpegang dan mengambil kedudukan di atas tapak yang sama dan satu juga, tetapi berlain – lain cara mereka memahamkannya mengikut pengetahuan dan timbangan mereka sendiri sesuai dengan kehendak zamannya dan hal – hal di kelilingnya masing – masing”.

Seterusya Zaba berkata,

Ilmu pengetahuan ialah alat perkakas yang tidak boleh tidak bagi bersendiri dalam barang apa – apa cawangan kehidupan pun. Jika di dalam cawangan agama seseorang itu ada ilmu pengetahuan yang cukup untuk jadi alat, maka wajiblah di atasnya menggunakan ilmu pengetahuannya itu bagi memandu akalnya menimbang dan menentukan benar salahnya sesuatu perkara agama yang diterima dan dipegangnya itu sehingga dirasa sah dan puas hati. Maka tidaklah memadai jika hanya pakai ikut orang sahaja dan tidak menimbang – menimbang sendiri lagi, jika diperbuat demikian maka itulah yang dikatakan bertaklid buta semata – mata, iaitu tidak akan mencelikkan akal atau memajukan kebolehan berfikir, yang adalah di antara sebesar – besar nikmat Tuhan kepada manusia”.

Diakhiri dengan katanya,

“kita semuanya berkehendakkan baik dan tiada siapa yang berhendakkan jahat. Kita ingin hendak membaiki segala hal ehwal kita yang kekurangan, sama ada pada perkara dunia dan pada perkara agama, hendak mengubah segala sifat keadaan kita yang buruk atau kurang baik ditukar dengan yang baik dan yang terlebih baik. Kita hendak mengganti segala hal kita yang mundur dan ketinggalan, ditukar dengan yang maju dan bertambah elok mengikut kehendak zaman pada segala yang baik. Kita hendak mengganti segala jalan fikiran kita yang kuno dan kolot dan segala kepercayaan atau pegangan kita yang sudah lapuk dan reput, ditukar dengan fikiran – fikiran baharu yang segar dan hidup dan dengan kepercayaan yang dapat disaksikan benarnya melalui ujian Quran bersendi akal dan ilmu pengetahuan. Kita mahu pemulihan dan pembaharuan, bukan hendak berkokok pada jalan yang telah lanjut dari tujuan asalnya dan bukan pula berdegil hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah membeku jadi adat atau kepercayaan – kepercayaan lama yang sudah berkulat dan bercendawan! …. Tetapi jika kita tiada berpengetahuan, dan tidak bergantung kepada diri sendiri mencari pengetahuan, tambahan pula tidak terlatih berfikir sendiri menggunakan pengetahuan itu apabila telah diperoleh – maka di manakah akan boleh dapat sekalian yang kita kehendakkan dan kita cita – citakan ini?”

Oleh: Muhammad Nur Arif

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *