Membaca tentang buku membuat saya jatuh cinta tentang banyak perkara baharu, cerita mempesona  yang terdengar biasa menjadi sesuatu yang langka dan berharga. Kenangan zaman yang telah ditinggalkan, kisah sikecil yang baru mulai belajar membaca sehingga  tumbuh menjadi seorang dewasa  yang mempunyai banyak impian dan matlamat hidup yang ingin dicapai.

Ketika dikenang kembali bagaimana mulai membaca dan cinta kepada buku, bibir tersenyum dengan sendirinya. Benar, ia suatu yang sukar dilupakan. Setiap pencinta buku pasti menyimpan seribu kenangan tentang senaskhah buku kegemaran mereka. 

Ada sebahagian orang yang senang mendapatkan bahan bacaan kerana dorongan daripada keluarga yang mempunyai minat yang sama, tetapi bagi mereka yang susah mendapatkan bahan bacaan ditambah dengan keadaan ekonomi keluarga yang kurang berkemampuan pastinya memiliki kisah mengharukan yang ingin disimpan sampai bila-bila, kenangan itu sangat berharga kerana masa tidak dapat diputar semula.

Apabila membaca perihal buku dan kisah penggemarnya terdapat pelbagai kisah menarik yang menginspirasikan. Begitulah impak senaskhah buku memberi kesan kepada setiap pembaca yang benar-benar menikmati isinya. 

Setiap pembaca seharusnya sedar dan memahami bahawa kewujudan sebuah buku bukanlah hanya mengajarkan tentang ilmu pengetahuan semata tetapi juga mengajarkan tentang kehidupan alam semesta yang terbentang luas. Dari hal sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara iaitu mengenal tentang Sang Pencipta, bagaimana bermula dan berakhirnya kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Tentu yang banyak sekali dipelajari adalah bagaimana menjadi seorang manusia yang lebih baik dalam menjalani kehidupan sehari-hari, dengan siapa kita bertemu dan berkongsi tentang perihal kehidupan, kita berharap menjadi manusia yang bermanfaat yang dapat memberi sesuatu seperti mana kita mendapatkan sesuatu dalam setiap pembacaan. Mungkin ianya perkara remeh tetapi apabila berdepan dengan situasi yang membuat kita buntu, kata-kata nasihat yang kelihatan remeh itu boleh menjadi asbab kesedaran dan terbukanya minda tentang perkara yang tidak kita lihat. 

Bukankah Tuhan juga memerintahkan untuk hambanya membaca? Benar, seorang pembaca tidak dapat memulihkan keadaan yang senang kacau atau menenangkan hati yang sedang galau. Tetapi, setidak-tidaknya  menghalang bertindak di luar akal yang waras. 

Ketika anda sudah menjadi seorang pembaca, maka seharusnya anda juga meningkatkan iman di dada, melihat setiap sudut kehidupan lebih mendewasakan dengan menjadikan buku-buku seperti susunan anak tangga yang mendorongmu naik keatas, lebih banyak yang dibaca maka semakin tinggi dan jauh perjalananmu kehadapan.

Membuat orang jatuh cinta kepada buku tidak semudah membuat orang jatuh cinta kepada manusia, tetapi sekurang-kurangkan kita harus mencuba menarik sesiapa saja menatap senaskhah buku untuk pertama kalinya, dan sehingga mereka sendirilah yang bergerak untuk mendapatkannya. 

Semoga kalian juga menemukan buku-buku yang selalu membuat kalian jatuh cinta, dengan olahan bait-bait yang indah seperti seseorang yang sedang berbicara secara bersemuka, saling mendengar dan saling memahami dengan apa yang disampaikan.

Disediakan oleh: Aisyah Nerina


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.