Syabas dan tahniah kepada Jejak Tarbiah yang berjaya membawa kembali karya Dr Haji Abd Malik Karim Amrullah (Hamka) ke dalam dunia ilmu di Malaysia. Karya Hamka sentiasa segar dalam jambangan bunga peradaban serantau. Hamka hidup pada suatu masa yang penuh cabaran peperangan, pergolakan budaya dan adat, politik dan kemerdekaan.

Warna karya Hamka dipenuhi dengan tema suasana semasa yang dihadapinya. Hamka merupakan pejuang masyarakat, bukan pejuang di medan perang, tetapi di medan jihad ilmiah dan pidato.

Karya Hamka tidak boleh diterjemahkan sebab keistimewaannya terletak pada lenggang lenggok bahasa asalnya yang bersahaja, indah dan mendalam. Tidak ramai penulis serantau yang memiliki ketajaman kalam seperti beliau.

Tulisannya bersemi dengan madah dan pepatah Minang, adab dan kesopanan kaumnya. Kaumnya kaum yang beradat, tetapi tidak semua adat sesuai dengan Syariah yang luhur. Hamka tersepit antara kedua-duanya, dan ini boleh kita lihat dalam kebanyakan tulisannya termasuk karya agungnya Tafsir al-Azhar.

Ketika hayat Hamka, perdebatan tentang tarikat, syariat dan hakikat sedang berleluasa. Ayahnya sendiri memiliki pandangan yang tidak mesra tarikat. Gurunya di Makkah, Syeikh Ahmad Khatib mengkritik sebahagian amalan tarikat serta bidaah yang dilakukan oleh sebahagian pengamalnya. Hamka dan ayahnya menjadi tokoh kontroversi. Karya dan tulisan menjadi senjata kedua-duanya dalam penghujahan.

Hamka menjadi penggerak pertubuhan Muhammadiyah yang penyokongnya terdiri daripada Kaum Muda, sedangkan ramai ulama tradisi yang menyokong Kaum Tua. Kaum Tua disokong oleh persatuan Nahdatul ulama. Adat dan bidaah yang berlaku dalam masyarakat harus dinilai kembali dan dibasmikan. Ketika menyatakan pandangannya tentang bidaah, hamka dibidas oleh pengamal tegalnya. Bukunya Teguran Suci Mufti Johor Syeikh al-Haddad memperlihatkan polimik tersebut.

Ketika zaman Hamka, masyarakat Jawa ditindas oleh Belanda dan masyarakat Tanah Melayu dijajah British. Sebahagian bangsawan Jawa dan Melayu menjadi penolong penjajah. Suasana inilah yang menjadi tema penulisannya. Ada masyarakat yang tidak sedar mereka sedang dijajah khusus menerusi novelnya.

Hamka menyeru dalam pidatonya agar menentang Belanda dan Inggeris. Dalam bukunya Dari Perbendaharaan Lama Hamka secara sinis menggambarkan gadis Periaman di rampas oleh Patogah dan saudaranya Anggrai. Patogah ialah simbol Portugis dan Anggarai ialah simbol Inggeris. Kisah tersebut dianggap dongeng oleh masyarakat tetapi mengikut Hamka, dongeng yang benar. Hamka menyeru penduduk Sumetara agar menyokong Jepun yang datang untuk menghalau Belanda dan Inggeris dari Asia Tenggara.

Di tanah Melayu, seruan yang sama dibawa oleh Dr Burhanuddin Hilmi. Hamka dan Dr Burhanudin dilantik menjadi penasihat agama ketika pemerintahan
Jepun.

Perjuangan Uthmaniyah ialah untuk menyatukan seluruh rantau Alam melayu di bawah seorang khalifah. Konsep Melayu Raya menjadi seruan pendokong Pan-Islamisme yang diseru khalifah Uthamiyyah. Akhirnya Uthmaniyyah dijatuhkan oleh Yahudi dan British.

Dengan sokongan gagasan tersebut, Hamka disumbat ke dalam penjara oleh Sukarno selepas kemerdekaan Indonesia di atas tuduhan subversif. Tafsir al-Azhar ditulis sebahagian besarnya dalam penjara.

Saya membaca beberapa karya Hamka sejak zaman remaja. Tafsir al-Azhar ialah kemuncak keilmuan beliau. Selain itu, buku Tasauf Moden menjadi karya terbaik Hamka selepas tafsir tersebut. Saya lebih gemar andainya Hamka menamakan buku Tasauf Moden sebagai Falsafah Kebahagiaan.

Saya mendapat ilham untuk menulis bab akhir buku saya Ajaibnya Alam Semesta menerusi Tasauf Moden. Seorang professor Amerika memberitahu saya, andainya Hamka orang Eropah, mungkin beliau diisytihar ahli falsafah teragung zaman ini.

Hamka merupakan seorang yang sangat tajam pemerhatiannya. Bukunya berbentuk travelog yang pernah saya baca termasuklah Di Tepi Sungai Dajlah dan Kenang-Kenangan Malaya. Kedua-dua buku tersebut, pembaca dapat merasakan betapa rapatnya jiwa Hamka dengan sejarah dan masyarakat yang dibincangkan.

Hamka termenung di tepi Sungai Dajlah mengingati zaman keagungan Baghdad yang menuncul sebagai pusat peradaban besar dunia. Akhirnya Tatar Mongol menyerang dan menghancurnya ketika umat Islam leka dengan kemewahan dunia. Lebih malang, ada golongan istana yang berkerjasama dengan musuh termasuk ketua wazirnya sendiri Al-Qami. Sejarah harus dipelajari sebab mereka yang tidak mempelajarinya, bakal diajar oleh sejarah sekali lagi.

Kenang-Kenanganku di Malaya turut merakamkan rasa cinta Hamka terhadap bangsa serumpun yang tidak boleh diceraikan. Nasib Malaya dan Jawa seperti adik dan abang pernah menjadi jajahan Eropah sekalian lama.

Saya turut menbaca Sejarah Umat Islam Hamka. Dalam buku besar ini, Hamka menukilkan sejarah umat Islam di timur di barat serta perjuangan mereka. Jatuh bangun umat Islam dipapparkan dengan penuh sistem nilai. Menariknya, dalam buku sejarah tersebut, Hamka Berjaya membebaskan dirinya daripada pengaruh penjajah dan orientalis tetapi membawa aliran sejarah menerusi tulisan umat Islam sendiri.

Karya berbahasa Arab menjadi rujukan utamanya. Adapun kedatangan Islam ke Alam
Melayu, Hamka berhujah bahawa Islam datang secara langsung dari bumi Arab bukan melalui perantaraan India atau China. Hal ini boleh diperhatikan menerusi mazhab Syafii yang menjadi amalan rasmi penduduk serantau. Islam sampai ke rantau Melayu jauh lebih awal daripada catatan para orientalis.

Hamka menulis mengenai Negara Islam dalam buku yang bertajuk demikian. Beliau membandingkan konsep sosialisme, komunisme dan imeperialisme dengan pemeritahan Islam yang syumul lagi adil. Jejak sirah disertakan untuk menggambar kedudukan wanita, penghambaan dan rumah tangga dalam Islam.

Buku Hamka Ayahku merupakan karya berbentuk auto-biografi. Beliau menulis tentang ketokohan ayahnya sebagai tokoh pembaharuan yang menentang arus dengan aliran tasauf di Minangkabau. Hamka mengkritik adat dan amalan silam masyarakat yang bercanggah dengan Islam. Buku ini sangat berguna untuk mengetahui suasana awal sistem pendidikan di Makkah yang dilalui oleh putera
Minangkabau termasuk ayahnya.

Hamka banyak menulis novel percintaan dan adat ketika mudanya, walaupun hal tersebut tidak digemari oleh ayahnya. Hamka mengakui ketika menulis novel, imiginasi dan khayalan harus kuat dan tajam. Walaupun saya suka membaca novel Hamka ketika usia sekolah dulu, tetapi secara ikhlasnya saya merasakan tanpa novel pun, nama Hamka sudah menjulang tinggi.

Saya seperti ayahnya sendiri, berharap Hamka dinobat sebagai ilmuwan ulung menerusi karya ilmiahnya yang mendalam, tetapi bukan melalui novel yang lebih berupa imiginasi lampau dan semasa. Hamka pun hanya menulis novel ketika zaman awal penulisannya.

Disediakan oleh,

Dr Mat Rofa Ismail

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.