Perkara pertama yang sering ditanya apabila ingin memulakan pembacaan,
Apakah yang dimaksudkan sebagai ilmu yang bermanfaat?
Kita akan menemukan pelbagai definisi “Ilmu yang bermanfaat” yang dilontarkan. Sekarang, saya ingin bertanya,
Apakah definisi “ilmu yang bermanfaat” menurut kalian sendiri?
Membaca merupakan hobi saya sejak dari kecil. Kawan-kawan terdekat seringkali berasa hairan kerana saya mempunyai pelbagai judul pembacaan. Kadangkala buku-buku saya sering dipinjam oleh rakan sekelas di sekolah mahupun di universiti.
Sewaktu pertama kali membaca buku, kepala saya seolah-olah berpusing 360 darjah. Walaupun banyak istilah yang saya tidak mengerti tetapi saya tetap mencari istilah-istilah yang penting untuk dihafal. Dengan menghafal, sedikit demi sedikit walapun saya tidak faham lama kelamaan topik tersebut akan menjadi mudah untuk difahami. Hal ini kerana keazaman yang tinggi mendorong saya untuk menguasai topik tersebut.
Sebahagian orang suka menyalahkan diri sendiri dan menganggap dirinya lembab apabila mengalami kesulitan dalam pembacaan. Sukar untuk memahami dalam pembacaan berpunca daripada teknik pembacaan dan jenis pembacaan yang salah. Usah membandingkan tahap intelektual kita dengan orang lain kerana setiap orang berbeza keahlian, minat dan bakat.
Membaca tidak semestinya menulis, namun menulis semestinya membaca.
Saya tidak mampu menulis jika saya kurang membaca. Oleh itu, saya harus banyak melakukan pembacaan sebelum menulis. Kerana dengan membaca, banyak idea-idea baru terhasil dan menarik untuk ditulis.
Membaca karya-karya klasik seperti mod pasca perang dunia membuatkan saya benar-benar tersentuh dan kerap kali saya mencari gaya penulisan seperti ini walaupun ia adalah satu cabang fiksyen yang sukar tetapi sangat menarik minat saya.
Zaman sekarang terlalu banyak maklumat yang boleh diperolehi daripada pelbagai sumber dan maklumat begitu deras membanjiri di hujung-hujung jari di setiap saat. Namun, kadangkala saya juga gagal menemukan model penulisan yang sesuai dengan keinginan saya.
Saya percaya setiap orang mempunyai seleranya yang tersendiri. Contohnya, saya tertarik dengan penulisan orang-orang Perancis kerana isi kandungan penulisan mereka cukup mewakili perasaan dan pemikiran saya.
Sama sekali saya tidak bermaksud untuk berbangga dan menyulitkan orang ramai apabila saya bercerita tentang hal dunia buku seperti sekarang ini. Hal ini kerana saya merasakan bahawa dengan membaca buku sentiasa memberikan saya tujuan hidup dan membuka pintu saya kepada dunia.
Disediakan oleh,
Azim Sholehin