Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan pembangunan modal insan yang holistik. Ia bukan sahaja terarah kepada murid arus perdana, bahkan turut terarah kepada murid berkeperluan khas. Namun, pernahkah kita ketahui intervensi yang tertuju kepada murid pintar cerdas atau dikenali sebagai murid genius?
Malaysia mempunyai ramai anak-anak pintar cerdas dan berbakat. Baru-baru ini saya menonton sebuah filem bertajuk Gifted yang memaparkan kisah seorang kanak-kanak genius dan situasi-situasi yang terjadi di sekelilingnya.
Anak yang pintar cerdas ini mempunyai kognitif yang matang berbanding kanak-kanak seusia mereka. Kemahiran intelek mereka berada pada tahap yang tinggi. Murid pintar cerdas ini juga turut menimbulkan masalah di dalam kelas arus perdana kerana mereka sudah tidak berminat untuk belajar kerana mereka sudah terkehadapan berbanding rakan-rakan yang lain. Pada akhirnya, bakat dan kepintaran mereka tidak dapat diuruskan oleh guru dan paling teruk akan terbiar dan terkubur kerana guru juga perlu menyediakan rancangan pengajaran yang sesuai untuk murid-murid yang lain dan tidak terfokus kepada murid-murid bijak pandai ini.
Justeru, ibu bapa hendaklah memainkan peranan yang penting. Ibu bapa merupakan madrasah dan juga guru utama kepada anak-anak di rumah. Jadi, ibu bapa hendaklah peka dan cakna akan perkembangan dan pertumbuhan anak-anak. Kelak, tidak akan timbul masalah untuk menempatkan anak-anak genius mereka di tempat yang sepatutnya.
Sebagaimana adegan di dalam filem Gifted, kanak-kanak yang bernama Mary yang baru berusia enam tahun itu tidak berasa seronok ke sekolah kerana subjek Matematik di sekolah itu terlalu senang buatnya. Awalnya, keluarganya tidak mahu ia diserapkan ke kolej pintar kerana beranggapan bahawa anak itu masih kecil, perlu belajar untuk bersosial dan berkawan dengan rakan-rakan seusianya.
Namun, perkara tersebut merupakan salah faham terhadap murid pintar cerdas. Walaupun mereka fokus dalam satu-satu perkara atau masalah yang mereka akan terokai setiap hari tetapi mereka juga perlu dipupuk untuk bersosial, menjaga jasmani, rohani, emosi dan sahsiah. Tindakan untuk memasukkan anak pintar cerdas ke kolej pintar bukanlah satu tindakan yang salah, malah meraikan bakat dan kepintaran anak-anak genius tersebut.
Insan yang menyedari akan kepintaran Mary dalam logik Matematik ialah guru kelasnya, Ms. Stevenson. Tindakannya untuk memberitahu keluarga dan pihak sekolah untuk mendaftarkan muridnya itu ke kolej pintar merupakan satu tindakan bijak.
Hal ini kerana, bakat dan kepintaran seorang anak genius tidak akan sia-sia dan terkubur sekiranya ia digilap di tempat yang sepatutnya. Kelak, bakat dan kepintaran anak genius ini bakal memberikan manfaat besar kepada masyarakat dan negara terutamanya dalam bidang pendidikan dan pembangunan negara. Begitulah situasi yang sepatutnya terjadi di Malaysia, anak-anak pintar cerdas dan berbakat ini turut mendapat peluang dan ruang untuk mereka menzahirkan kreativiti, inovasi dan kepintaran mereka untuk negara.
Disediakan oleh,
Jiha Jahari