Jika ditanya kepada setiap insan, pastilah kita semua ingin bahagia. Namun, adakalanya jalan untuk memburu bahagia tidak semudah yang kita sangkakan. Dalam perjalanan, pasti ada kerikil-kerikil tajam yang melukakan diri.
Sebagai manusia biasa, kadang-kadang kita juga hampir tewas. Pergelutan melawan emosi diri tidak semudah pergelutan merungkai simpulan tali. Mujur, peluang dan harapan sentiasa ada seiring dengan sinar yang menjengah pagi.
“Sesetengah orang mengejar kebahagiaan, yang lain pula menciptanya.”
-Margaret Bowen
Saya suka merenung kata-kata hikmah dari Margaret Bowen dan amat setuju dengan pendapat yang beliau utarakan. Bahagia itu, kita yang perlu cipta. Usah lagi menunggu bahagia umpama menunggu bulan jatuh ke riba. Sebaliknya bergeraklah dalam mencipta detik-detik manis dalam hidup yang cuma sementara ini.
Jika sebelum ini kita selalu menjadi penunggu, menunggu orang lain untuk membahagiakan kita. Jika sebelum ini kita selalu menjadi pelari, mengejar cinta manusia untuk membahagiakan kita. Sekarang sudah tiba masa untuk kita sama-sama menjadi pejuang, berjuang dalam mencipta dan menggapai bahagia yang kita idamkan.
Hidup kita, bergantung sepenuhnya atas diri kita sendiri. Kita boleh menjadi pengkhianat yang memusnahkan kehidupan sendiri dan kita juga boleh menjadi hero dan heroin yang menjadikan kehidupan makin bererti. Kitalah yang perlu membuat pilihan dengan hikmah supaya setiap pilihan tidak mengundang sesal di kemudian hari.
Sudah tiba masa teman, untuk kita melamar bahagia. Jiwa kita tidak sepatutnya menjadi padang pasir yang tandus tetapi untuk menjadi salah satu antara taman-taman bunga. Ini kerana, dalam memenuhi tuntutan kehidupan, kita perlu memiliki jiwa yang sembuh, jiwa yang tenang dan jiwa yang kuat memamah ujian kehidupan.
Jika ditanya kepada saya, macam mana untuk melamar bahagia? Saya lebih suka menjawab jadilah seseorang yang pandai menghargai. Hargai diri kita sendiri dan hargai sekecil apapun nikmat yang pernah kita kecapi. Hargai dan dengar dengan tenang bagaimana asyiknya burung menyanyi di pagi hari. Hargai dan rasakan betapa asyiknya ketika angin menyentuh kulit.
Melepaskan masa silam antara tip untuk kita melamar bahagia. Saya yakin, kita semua pasti ada kisah silam yang mengecewakan diri. Bukalah buku baharu, binalah impian-impian indah, berjalanlah dengan tabah kerana episod kekecewaan semalam bukan lagi cerita terindah untuk kita kenang.
Tip terakhir yang ingin saya kongsi, membacalah untuk menjadi insan yang bahagia. Bersahabat dengan kalam adakala lebih menghiburkan. Membaca bukan sahaja jambatan ilmu tetapi mampu menyuntik semangat, menggembur ketenangan dalam diri dan menghidupkan nyala rasa sebagai pejuang dalam kehidupan yang kita jalani sehari-hari.
Ya, kita semua pejuang. Pejuang mencipta bahagia melalui cara yang kita suka. Bahagia ada di mana-mana selagi kita punya cinta.
Disediakan oleh,
Noraini Hasdin, penulis buku Kertas Dan Gincu, Penulis bersama antologi Dari Zaman Mensia dan penulis bersama antologi Menganyam Memori Ramadan PKP