Institusi masjid merupakan sebuah badan terhormat yang menghimpunkan dua perkara dalam diri manusia iaitu rohani dan jasmani. Masjid yang dianggap oleh sebahagian masyarakat sebagai tempat untuk menguatkan rohani semata-mata seharusnya diperbetulkan tanggapan ini bagi memberikan kefahaman sebenar peranan dan fungsi institusi masjid. Malangnya, tanggapan sebegini telah merasuki minda umat dan ditambah pula dengan sikap sebahagian pentadbir masjid yang kurang aktif atau tidak mesra pelanggan.

Lebih menyedihkan, apabila terdapat segelintir pentadbir masjid yang kurang pengetahuan agama, mendiskriminasikan golongan kanak-kanak dengan memberikan layanan kurang mesra seperti memisahkan saf kanak-kanak dan dewasa, menghalau keluar mereka yang bermain di kawasan masjid, menengking dan menjerkah, menghalang kanak-kanak dari menunaikan solat dan seumpamanya. Situasi ini menunjukkan betapa masjid kita menjadi keras dan kaku bagi anak-anak yang masih mentah dan tidak tahu apa-apa.

Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, kata Anas bin Malik yang bermaksud :

“Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”

Hadith ini menunjukkan bahawa baginda Nabi SAW sama sekali tidak membantah tindakan seorang budak yatim bersolat dan berada di saf hadapan bersama golongan dewasa. Ini menjelaskan kepada kita bahawasanya betapa gagalnya kita yang mentadbir masjid memahami sunnah Nabi SAW dalam soal memakmurkan rumah Allah SWT. Kegagalan ini sudah tentu menatijahkan kejumudan dan kejahilan kita dalam mengurus tadbir institusi mulia ini.

Peranan masjid tidak diterjemahkan dengan sebenar-benar peranannya. Kegagalan para pentadbir masjid memahami dan menghayati fungsi dan peranan sebenar masjid ini akan meruntuhkan institusi ini sekaligus menjadikan masjid sebuah tempat yang kaku, dipandang sepi dan sunyi. Walhal, masjid bukanlah suatu tempat sekadar beribadah khusus sahaja seperti solat lima waktu, bahkan masjid sebenarnya berperanan besar menjadi sebuah madrasah atau sekolah bagi masyarakat mempelajari dan memperoleh sesuatu yang boleh memberikan manfaat untuk kehidupan di dunia dan juga di akhirat.

Kata seorang tokoh Islam terkenal, Dr. ‘Imad ad-Din Khalil dalam kitab Dirasah fi as-Sirah, ketika beliau mengulas tentang peranan dan fungsi masjid yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, katanya :

“Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencakupi pelbagai sudut agama, politik dan kemasyarakatan”

Demikian juga kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam penulisannya al-Ibadah fi al-Islam, katanya :

“Masjid Nabi itu ialah madrasah dakwah, demikian juga ia merupakan pejabat negara Islam. Padanya Nabi memberikan kerja kepada yang menganggur, ilmu pada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk umat, bertemu dengan para diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian”.

Jika dibandingkan peranan masjid di zaman Nabi SAW amatlah luas dan bermanfaat untuk umat manusia. Masjid tidak sekadar menjadi tempat berhimpun untuk beribadah, bahkan menjadi sebuah pusat kemasyarakatan berkumpul dan berhimpun mendapat manfaat untuk hal-hal keduniaan dan akhirat. Biarpun masjid pada zaman Nabi tidak secanggih dan sehebat pada zaman ini, namun disebalik semua itu, Islam telah dapat ditonjolkan melalui peranan dan fungsi masjid yang sebenar.

Amat mendukacitakan kita semua, apabila segelintir dikalangan umat Islam hari ini yang diberikan kepercayaan untuk mentadbir dan mengurus masjid dengan memakmurkan rumah Allah SWT namun tidak bersungguh untuk mengembalikan peranan masjid sebenar seperti yang telah wujud di zaman Nabi SAW. Sebahagiannya masih ada yang bersifat “berkira-kira” untuk melaburkan wang derma masjid bagi melaksanakan program pengimarahan. Ada juga yang bersifat pasif dan negatif, memandang remeh program-program pengimarahan dan beranggapan sesuatu yang membazir dan tidak membantu masjid.

Bagi sebahagian mereka yang mentadbir masjid, apa yang lebih menguntungkan mereka ini adalah apabila dapat mengumpulkan sejumlah wang derma yang banyak dan dipertontonkan kepada warga jemaah masjid sambil mendabik dada dengan menyatakan inilah kejayaan pentadbir masjid berjaya mengumpulkan sejumlah wang yang tinggi. Walhal, adalah suatu yang amat malang sekali apabila wang yang di dermakan oleh para jemaah dengan harapan dan niat agar dapat memakmurkan rumah Allah tetapi sedihnya, sekadar menjadi tatapan di papan kenyataan tanpa memberikan apa-apa manfaat kepada umat masyarakat.

Ada pula sebahagian mereka yang bergelar orang masjid asyik sibuk mengira dan menghitung siapa yang tidak hadir solat berjemaah di masjid lantas dijadikan bahan sindiran, umpatan dan sebagainya. Sepatutnya, kita lebih sibuk memikirkan bagaimana untuk menarik orang ramai datang ke masjid dan bukan sebaliknya sibuk mengambil kerja Tuhan menghitung siapa hadir atau tidak hadir solat di masjid. Sebagai pentadbir yang memegang amanah menguruskan hal ehwal masjid, seharusnya secara aktif memikirkan pendekatan dan solusi yang terbaik bagi mewujudkan masjid yang dekat di hati dan jiwa umat Islam.

Untuk menjadi sebuah institusi masjid yang dihormati, terlebih dulu pihak pentadbir harus berubah sikap dan cara fikir ke arah lebih terbuka dan mesra. Pada masa sama, mereka yang bergelar sebagai pentadbir masjid perlulah lebih berani melakukan perubahan dari zon selesa menuju ke fasa mengembalikan semula maruah masjid dengan menterjemahkan kembali fungsi dan peranan masjid sebenar. Untuk itu, warga pentadbir masjid seharusnya berminda terbuka, bersedia untuk dikiritik dan sentiasa berlapang dada menerima cadangan dan saranan yang membina meksipun ianya datang dari seorang anak kecil.

Semestinya perjuangan ini bukanlah perjuangan berepisod sehari dua. Adakalanya kita akan menangis dalam tawa dan menjerit tidak bernada. Namun, inilah dugaan tribulasi yang akan dihadapi bagi benar-benar mengembalikan rasa keagungan sebuah institusi bernama masjid. Ianya menuntut para pentadbir untuk terus beristiqamah, memperbetulkan niat, meluruskan semula matlamat adalah untuk mengembalikan peranan dan fungsi masjid sebenar. Semoga Allah memimpin umat ini yang berjuang mengembalikan rasa keagungan Islam sebenar.

Disediakan oleh: Faidhi Azis

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.