BILA sebut saja negara Turki, kita akan terus terbayang Istanbul dan Hagia Sofia. Sebenarnya, di negara yang terdiri daripada 81 buah negeri ini terdapat satu negeri yang kaya dengan sejarah Uthmaniyyah iaitu Bursa. Apa yang menarik tentang Bursa ini?

Bursa merupakan ibu kota bagi kerajaan Uthmaniyyah yang pertama. Di Bursa terdapat banyak peninggalan sejarah kerajaan Uthmaniyyah dan di sini juga terletaknya makam pemerintah kerajaan Uthmaniyyah pertama, Osmān Ghāzi (Osman I) serta anaknya, Orhān Ghāzi (Orhan I).

Bursa menjadi salah satu destinasi tarikan pelancong kerana banyak menyimpan peninggalan sejarah Islam. Banyak tempat bersejarah lain yang dapat dikunjung seperti Ulu Cami Bursa atau Bursa Grand Mosque.

Ulu Cami'i, Bursa Grand Mosque | The Best of Bursa

Ulu Cami, masjid paling megah di Bursa dan salah satu bangunan bersejarah yang paling penting. Menurut Evliya Celebi, Ulu Cami adalah Hagia Sofia bagi Bursa. Ia dibina pada tahun 1396-1399 atas perintah pemerintah kerajaan Uthmaniyyah yang ke-4, Yildirim Beyazid. Mengikut satu kisah, Yildirim Beyazid berjanji untuk membina 20 buah masjid jika mereka memenangi Battle of Nicopolis (pertempuran dengan Tentera Salib pada 1396). Namun, atas nasihat bendahara kerajaan, perancangan untuk membina  20 buah masjid bertukar kepada membina masjid dengan 20 kubah atas kekangan kewangan.

Masjid ini memiliki 3 pintu masuk; sebelah kanan, kiri dan belakang. Pada waktu solat, pintu kiri dan kanan masjid khusus buat jemaah lelaki manakala pintu belakang khusus untuk jemaah perempuan. Bahagian luar Ulu Cami ini terlihat sederhana dan biasa, tapi tidak di dalamnya. Luar biasa!

Pada langkah kaki yang terawal menjejak masuk ke dalam masjid ini, pandangan mata para pengunjung akan dicuri oleh air pancut di tengah-tengah masjid. Air pancut yang diperbuat daripada seramik ni dikelilingi dengan pagar rendah dan disebabkan ia terletak di ruangan terbuka, ia juga dijadikan sebagai tempat wuduk lelaki. Terdapat sebuah kisah menarik juga tentang air pancut ini. Berdasarkan kisah yang disebarkan, sewaktu Ulu Cami ini hendak dibina, terdapat seorang perempuan tua iaitu pemilik tanah kawasan masjid ini yang tidak mahu menjual tanahnya. Setelah beliau meninggal dunia, warisnya telah menjual tanah tersebut dengan bersyarat – asalkan rumah perempuan itu tidak disentuh. Namun, disebabkan makin ramai jemaah yang datang ke masjid, rumah itu dirobohkan dan dijadikan Sadirvan sebagai tempat mengambil wudhu. Namun begitu, kisah ini masih diragui kesahihannya.

Selain itu, terdapat satu sudut di masjid ini tertulis huruf wau (و). Kata orang Turki, di situlah tempatnya Nabi Khidir a.s pernah solat. Mengikut kepercayaan mereka, setiap doa yang dibuat di situ akan dimakbulkan dan mungkin berkesempatan untuk menunaikan solat bersama Nabi Khidir a.s. Kesahihannya, wallahua’lam.

_____

Artikel ini ditulis oleh Iman Abd Razak yang boleh dihubungi melalui [email protected]

Dikemaskini: 28 April 2022

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.