Aura bulan Ramadan terasa semakin dekat dan inilah bulan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Pelbagai juadah di bazar Ramadan bakal menghiasi pemandangan sehari-hari kita. Namun bukan bazar Ramadan yang harus kita tunggu dan diraikan tetapi amal kebaikan yang harus kita tingkatkan pada bulan istimewa ini.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah s.w.t serta mengharapkan keredaanNya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Berdoalah kepada Allah s.w.t semoga kita dipertemukan dengan bulan Ramadan kali ini walaupun waktunya semakin menghampiri namun ramai antara kita yang telah meninggal dunia sebelum tiba bulan yang mulia ini. Mereka yang telah dipanggil Ilahi terlebih dahulu mungkin keadaannya sama seperti kita iaitu sedang menanti kedatangan bulan Ramadan, akan tetapi Allah berkehendak lain untuk mereka.
Itu merupakan tanda peringatan daripada Allah bahawa jangan menangguh-nangguhkan amal kebaikan. Jangan menunggu bulan Ramadan untuk beramal sedangkan tiada siapa yang dapat menjamin masihkah kita hidup di bulan Ramadan nanti?
Kepada mereka yang terpilih untuk menikmati beramal pada bulan Ramadan, banyakkanlah bersyukur kerana tidak semua orang dapat meraihnya. Jauhilah perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan tingkatkan kualiti ibadah. Berkongsi rezeki dengan orang lain sebagai contoh memberi makan kepada anak-anak yatim, orang miskin, warga emas, warga oku, ibu tunggal dan orang tidak berkemampuan.
Berbuka puasa sekadar mengisi perut untuk melakukan aktiviti dan ibadah kepada Allah s.w.t. Makan dan minum berlebihan akan memberi kesan yang buruk kepada tubuh badan sehingga boleh menganggu aktiviti seharian. Makan dan minum seadanya dan elakkan pembaziran ketika berbuka puasa. Sesungguhnya perbuatan demikian tidak disukai oleh Allah,
“Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah Al-A’raf ayat 31)
Saya mengajak kepada seluruh umat Islam untuk menjadikan puasa kali ini lebih berkualiti dan mudahan-mudahan segala amal ibadah kita diterima oleh Allah azza Wajalla.
Disediakan oleh,
Meirose,
Taiping, Perak