“Dikutuk perempuan itu, ditimpakan segala macam kesalahan kepadanya, dikatakan dia wakil iblis, perdayaan syaitan, padahal lelaki itu yang lebih iblis”
Novel Terusir menceritakan tentang episod kehidupan Mariah yang malang bermula apabila rumah tangga yang dibinanya musnah akibat fitnah emak mertuanya sendiri. Selepas dihalau oleh suaminya dan dipisahkan pula dengan anak kandungnnya, hidup Mariah menjadi sengsara sehingga dia terpaksa melakukan kerja yang haram untuk menyara kehidupannya sehinggalah terjadi sebuah tragedi yang menemukannya dengan anaknya, Sofyan.
Novel yang telah diberi nafas baru oleh Jejak Tarbiah ini membawa sudut pandangan seorang perempuan sebagai seorang ibu, isteri dan menantu. Benarlah! Kasih seorang ibu sepanjang hayat.
Semasa membaca karya ini, saya dapat merasai kesakitan seorang isteri apabila suami sendiri tidak mempercayai lantaran menceraikan dirinya. Memang mudah untuk menabur fitnah tetapi tidak mudah untuk melafazkan maaf. Begitulah yang terjadi di antara Azhar dan Mariah. Dikutuk perempuan itu, ditimpakan segala macam kesalahan kepadanya, dikatakan dia wakil iblis padahal lelaki itu lebih iblis.
Itulah hikmah dosa besar bagi mereka yang menabur fitnah! Kita seharusnya menyiasat terlebih dahulu dengan menggunakan akal yang waras sebelum mempercayai dan menjatuhkan hukuman kerana satu fitnah mampu meruntuhkan rumah tangga yang telah lama dibina dan akhirnya anak yang menjadi mangsa.
Sebagai seorang anak, kita hendaklah menghargai pengorbanan ibu bapa dan ikhlas memaafkan kesilapan mereka kerana ibu bapa juga manusia yang khilaf dan alpa. Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Sofyan. Sofyan tetap memaafkan ayahnya walaupun ayahnya telah lama merahsiakan status ibunya. Jika difikirkan sejenak, bagaimana perasaan Sofyan apabila mengetahui ibunya sebenarnya masih hidup dan berada berhampiran dengannya?
Novel Terusir mengajar kita bahawa didikan keluarga yang baik membentuk peribadi yang mulia. Sebagai anak, Sofyan sedar bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya. Tindakan kedua ibu bapanya hanyalah untuk melindungi dirinya daripada terbantut daripada kemajuan. Di usia tua ayahnya, Sofyan sedar bahawa yang diharapkan ayahnya hanyalah sebuah kemaafan.
Gambaran penulis Hamka tentang perempuan yang mempunyai rupa paras yang cantik susah untuk mendapatkan pekerjaan menarik minat saya. Hal ini kerana, gambaran situasi tersebut agak berbeza situasi di Malaysia pada zaman kini. Kini, terdapat segelintir majikan yang menilai rupa paras melebihi keupayaan pekerja untuk diterima kerja.
Selain itu, Hamka telah membuka minda pembaca supaya tidak menilai seseorang melalui pekerjaannya, hartanya atau rupanya. Mungkin kerana keterpaksaan dan tiada bimbingan ke arah peluang yang lebih baik menyebabkan seseorang mungkin tersilap langkah dalam kehidupan. Hilang tempat bergantung daripada orang yang disayangi dan dipercayai bukan perkara yang mudah untuk dihadapi.
Di dalam novel ini, Hamka menggambarkan dua jenis perempuan yang mencintai lelaki. Pertama, perempuan yang mencintai lelaki demi kemajuan lelaki itu sendiri. Perempuan sebegini akan bersama-sama membangunkan diri lelaki dan tidak mengharapkan sebarang balasan daripada seorang lelaki yang dicintai. Perempuan begini amat susah dijumpai.
Kedua adalah perempuan yang mencintai lelaki kerana keinginan diri perempuan itu sendiri. Lelaki perlu mengikut kata-katanya, menunaikan permintaan-permintaannya dan kehendak dirinya dan lebih teruk lagi jika perempuan tersebut mencintai lelaki itu hanya kerana ingin membalas dendam.
Kesimpulannya, novel Terusir karya Hamka yang telah diberi sentuhan oleh Jejak Tarbiah padat dengan pengajaran dan diselitkan beberapa sindiran lembut untuk masyarakat tentang isu kekeluargaan dan perempuan. Sebagai pembaca, kita mengharapkan pengakhiran yang seindah pelangi. Namun, inilah realiti kehidupan. Tidak semua pengakhiran kesengsaraan itu berakhir dengan kebahagiaan. Tuhan memberikan sesuatu yang kita perlu pada masa yang tepat.
Walaupun novel ini hanya mempunyai 130 muka surat, Jejak Tarbiah mampu membina struktur ayat yang teratur, padat dan mudah difahami sehingga pembaca berasa seronok membaca dan ingin terus membaca. Selain itu, banyak perkataan-perkataan yang baharu saya pelajari daripada novel ini. Menurut pendapat saya, Jejak Tarbiah berjaya menterjemahkan karya Hamka ini tanpa mematikan estitika bahasa serta stilistik yang dibawa oleh penulis asal iaitu Hamka.
Disediakan oleh,
Nurul Hidayah Rased