London Big Ben and traffic on Westminster Bridge

Ini adalah satu pengalaman yang sangat bermakna dan rezeki yang amat kami syukuri. Perjalanan selama 36 hari yang tidak dapat diulang lagi, peluang untuk kami meluaskan pemerhatian terhadap ciptaan Allah, alam dan manusia.

Kembara ke Eropah telah dirancang sejak penghujung musim bunga lagi. Pengembaraan kami tidaklah dirancang secara terperinci bagi melihat terlebih dahulu keadaan semasa ketika itu. Pengembaraan kami ala-ala backpacker sejati atau sekadar acah-acah backpacker.

Baru sahaja masuk hari keempat di negara Eropah, kami sudah merasai kemuncak cabaran backpacking. Pagi itu, setelah tiba di Paris selepas perjalanan semalaman menaiki bas dari London, Kami terus menuju ke Eiffel Tower, atau disebut sebagai Tour Eiffel oleh penduduk tempatan.

Kami berbaring di atas rumput mengadap ke arah Eiffel Tower, sambil memikirkan tempat untuk menginap pada malam nanti. Berselang-seli rasa gundah dan teruja. Manakan tidak, kami berada di salah satu tempat ikonik dunia sambil memikirkan nasib kami yang belum pasti untuk malam nanti.

Hasil usaha menghubungi beberapa individu, kami berjaya mendapatkan maklumat seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Paris iaitu Kak Ju, dan beliau menjemput kami untuk tinggal di rumahnya. Kak Ju tinggal bersama suami dan anak-anaknya di Paris.

Mulia sungguh hati mereka menerima kehadiran empat orang tetamu dalam masa yang singkat. Makan minum dan tempat tidur disediakan walaupun tuan rumah sibuk bekerja dan mempunyai dua orang anak kecil tetapi tiada langsung kekurangan yang kami rasa daripada layanan dan kemudahan yang diberi selama dua malam kami di sana.

Hari kesembilan kami di Eropah adalah hari pertama Ramadhan untuk tahun itu. Kami telah tersilap melihat jadual Ramadhan melalui laman web di Mekah yang mengumumkan Ramadhan di Spain bermula pada hari Sabtu. Sepatutnya kami menyemak jadual tempatan, iaitu Barcelona, atau bertanya terus dengan penduduk Muslim di sana. Ralatnya bukan sahaja tidak dapat berpuasa kerana kami boleh mengambil rukhsah, tetapi kami terlepas peluang solat tarawih pada malam pertama Ramadhan.

Alang-alang musafir dan tidak berpuasa, kami pergi mencari makanan halal, dan terjumpa sebuah restoran kebab yang kelihatan seorang lelaki Muslim sedang memotong doner kebab. Jika di Malaysia, sudah pasti restoran tidak dibenarkan buka seawal itu ketika Ramadhan. Tidak susah sebenarnya untuk mencari makanan halal di Barcelona kerana penduduk Muslim yang ramai. Mujurlah di Barcelona tiada peraturan yang sama seperti di Malaysia.

Masuk waktu Zohor, kami singgah untuk solat di Mezquita Tariq bin Ziyad. Jemaah baru sahaja selesai mengerjakan solat Jumaat, dan seorang ahli jemaah lelaki menyediakan satu ruang kepada kami berempat untuk menunaikan solat.

Di Rom, Allah pertemukan kami dengan Maryam. Beliau menegur kami mungkin kerana melihat penampilan kami seperti orang Malaysia. Maryam pernah tinggal di Malaysia ketika bapanya bekerja di sebuah universiti tempatan suatu ketika dahulu.

Maryam dan rakannya membawa kami berjalan-jalan di sekitar Vatican City. Mereka membawa kami melawat sebuah gereja kecil yang ketika itu sedang berlangsung upacara sembahyang. Maryam yang menjadi unofficial tour guide kami bercerita perihal Mary dan Jesus sambil menyalakan lilin yang ada.

Saya tidak fokus pada penceritaannya kerana leka memandang mereka yang sedang berdoa. Maryam sangat ramah dan suka bercerita. Beliau seorang yang mengamalkan ajaran Islam dan beliau telah menghafal beberapa surah pendek daripada Al-Quran. Mungkin kerana latar belakang ibu bapanya yang berlainan agama, sikap keterbukaan, dan penampilannya, beliau kelihatan selesa membawa diri ke gereja yang kami lawati itu.

Jika diikutkan jadual, kami tidak sempat untuk melawat St. Peter’s Basilica yang terkenal sebagai tempat suci bagi penganut Katolik. Manakan tidak, sungguh panjang manusia beratur dan kami pula perlu berkejar pulang ke Rom semula untuk menaiki kereta api ke Florence pada jam 5.20 petang.

Tetapi, kerana tekadnya Maryam mahu kami melawat ruang dalam St. Peter’s Basilica, beliau telah berunding dengan pengawal yang menjaga pintu laluan pengunjung untuk keluar. Hasil rundingan Maryam, kami telah dibenakrkan masuk ke ruang St, Peter/s Basilica. Dalam erti kata lain, Allah telah memudahkan urusan kami masuk ke gereja. Pelik dan kelakar juga apabila diingatkan kembali.

Di Amsterdam, kami mencari masjid untuk dilawati. Sekali lagi Allah pertemukan kami dengan seorang wanita Muslim yang sangat baik. Walaupun keterbatasan bahasa dalam komunikasi, sekurang-kurangnya tiga orang rakan aku mempunyai asas Bahasa Arab, boleh faham juga beberapa perkataan yang disebut makcik itu. Yang pasti, kami dapat merasakan kehadiran kami dialu-alukan oleh penduduk tempatan. Jamuan berbuka puasa tidak kurang meriahnya. Kami duduk bersila menikmati hidangan bersama ahli jemaah lain.

Ketika memulakan solat, saya dapat merasakan ahli jemaah di sebelah kanan saya sedang berusaha merapatkan kakinya dengan kakiku. Bagi menghormati jemaah tempatan yang mengamalkan ilzaq, saya pun merapatkan bahu dan kakiku kepadanya. Ia bukanlah satu kebiasaan jika solat berjemaah di Malaysia. Paling rapat pun sekadar bahu bertemu bahu.

Pengalaman di Eropah membuka mata saya untuk menerima kepelbagaian dalam cara hidup dan beribadah sesama Muslim daripada pelbagai latar belakang mazhab. Selagi mana amalan yang dilakukan itu ada dalilnya dan tidak terkeluar daripada kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita wajar menghormati dan meraikan adat tempatan.

Sepanjang kami bermusafir, beberapa kali kami diberi sejumlah wang Euro oleh dua orang wanita Muslim yang terserempak dengan kami di dua lokasi berbeza. Mungkin melihat kami yang sedang bermusafir dan kebiasaan permusafiran itu menempuh jalan yang payah, mereka ingin membantu walau sedikit untuk meringankan kesusahan tersebut. Rezeki itu kami gunakan untuk mengalas perut.

Selain Kak Ju di Paris, kami juga telah menerima bantuan tempat tinggal oleh beberapa orang pelajar Malaysia di negara lain. Salah seorangnya adalah Kak Shafa yang membawa kami berjalan-jalan di Prague walaupun ketika itu beliau sedang berpuasa. Beliau membawa kami merasai makanan tempatan. Rezeki kami yang tidak berpuasa dapat mencuba smažený sýr, iaitu keju goreng, dan trdelník, iaitu sejenis pastri terkenal di Republik Czech.

Kak Sakeena di Manchester pula dengan tangan terbuka menerima kehadiran kami bermalam di rumahnya. Rezeki kami juga ketika di Manchester dapat menunaikan solat tarawih secara berjemaah di British Muslim Heritage Centre. Di Galway, kami diterima sebagai tetamu selama empat malam di rumah banglo yang disewa oleh Nani, Azie dan beberapa pelajar disana. y

Dalam ramai-ramai orang yang kami temui, secara peribadi saya lebih tertarik dengan orang yang kami temui di Brussels. Di sana, kami berkesempatan solat berjemaah dan berbuka puasa di Grand Mosque of Brussels. Ketika itu, seorang ahli jemaah wanita membawa sebiji tembikai yang sangat besar untuk dihidangkan kepada kami. Wanita itu kelihatan bersusah-payah dan keletihan membawa buah tembikai naik tangga sehingga tidak sempat membuang kasut ketika masuk ke masjid.

Makanan istimewa yang menjadi kesukaan saya iaitu harira yang dimakan dengan roti menjadi hidangan untuk berbuka puasa. Beberapa ahli jemaah datang bagi memastikan hidangan kami cukup. Solat witir pada malam itu terasa syahdu, kami merasakan suasana itu menyelubungi segenap ruang atas dan bawah di rumah Allah tersebut.

Selesai solat, kami berbincang dengan beberapa ahli jemaah berbincang tentang penginapan kami pada malam itu dan bagaimana kami mahu ke destinasi seterusnya. Yang pasti, kami tidak dibenarkan tidur di masjid.

Hasil perbincangan itu, kami akan dibawa bermalam di rumah seorang ahli jemaah wanita bernama Amal. Mungkin ada satu perasaan atau semangat yang datang bersama apabila berada dalam satu kembara. Tiada sekelumit rasa risau akan keselamatan diri apabila diajak bermalam di rumah orang yang tidak dikenali. Mungkin juga kerana kami bertemu mereka di masjid, bukan di bar.

Walaupun rumah Amal sempit, tetapi perabotnya besar dan kusyen sofanya kelihatan mewah. Disebabkan pergerakan Amal yang terbatas, kami pandai-pandailah menyusun sendiri kusyen dan perabot supaya ada ruang untuk kami tidur. Ada juga rasa bersalah dalam hati kerana telah menyusahkan tuan rumah. Tetapi melalui catatan yang Amal tulis di dalam buku nota rakanku, beliau kelihatan sangat gembira dengan kehadiran kami.

“Yesterday night, I have received you (Syamim, Sabrina, Laili & Rahmah) at home. I am really happy that you was a good guests, useful, kind… I like you so much and hope you good luck for studies”.

Mereka sangat mengamalkan anjuran dalam Islam iaitu memuliakan tetamu. Biarpun dengan keterbatasan bahasa dan risiko dengan orang yang tidak dikenali. Kami makan apa mereka makan, tidur sebumbung dengan mereka, dan yang utama, kami mengadap kiblat yang sama dengan mereka. Mungkin kerana faktor tauhid, tiada curiga antara kami dengan mereka.

Apabila mengembara, kecenderungan kita untuk tetap mencari manusia yang seagama dan senegara. Mungkin juga penampilan kami yang jelas menampakkan identiti sebagai Muslim lebih menarik Muslim lain untuk datang menghampiri.

Kepada mereka yang pernah membantu kami sepanjang kembara kami di sana, Terima kasih! Hanya Allah mampu membalas dengan sebaik-baik balasan kepada mereka. Mereka mungkin tidak akan membaca catatan ini, tetapi ingatan terhadap mereka sentiasa terpahat. Memori selama 36 hari di Eropah tidak lengkap jika tidak disulam sekali dengan ingatan terhadap manusia baik di sana.


Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.