Pertama kali mengenal novel Guru Aini karya Andrea Hirata ini sekitar awal tahun 2020 dan saya berazam untuk memilikinya. Sebab pertama kerana nama Aini itu sendiri. Kemudian tentu sahaja kerana karya Andrea memang antara beberapa penulis yang digemari. Sebab yang ketiga ialah saya juga merupakan seorang guru, guru pengajian tinggi. Malah saya terpesona dengan ungkapan menjadi guru adalah panggilan jiwa yang tertulis di dalam novel itu.

Sebab yang lain lagi ialah saya takut dengan Matematik. Kisah lama saya dan Matematik tidaklah seindah kisah Nuraini binti Syafrudin, watak utama novel ini. Saya memilih menjauhi Matematik dan mendaftarkan diri sebagai penuntut Fakulti Undang-Undang yang sangat jauh dari dunia kira-kira. Sementara Nuraini berjuang melawan rasa sakit perutnya akibat takut dengan Matematik dengan tanpa segan dan gentar, berguru dengan guru Matematik paling eksentrik di sekolahnya. 

Pada pertengahan 2021, ketika dipenjarai pergerakan dari merentas daerah dan negeri apalagi negara, saya menempah “Guru Aini” terbitan Jejak Tarbiah secara atas talian dan novel ini tiba melalui serahan pos.

Tekan gambar ini untuk beli buku Guru Aini

Ayat pertama di awal halaman dan ayat penutup novel Guru Aini, terkandung perkataan ‘Matematik’ yang memperlihatkan teguhnya kehendak Desi Istiqomah yang ingin menjadi guru Matematik walaupun rupa parasnya melayakkan dia memperagai busana Muslimah di pentas peragaan.

Sebaik sahaja lulus cemerlang dalam pengajian Matematik, bermulalah perjuangan getir Desi yang terpaksa menempuhi perjalanan melebihi 5 hari, darat dan laut, hingga kakinya menjejaki bumi Kampung Ketumbi di daerah Tanjong Hampar, Pulau Sumatera. Kerjaya gurunya bermula di SMA (Sekolah Menengah Atas), sebuah sekolah harapan Desi yang mempertaruhkan kebijaksanaannya bagi mendidik anak bangsa.

Permulaan bab baharu dalam hidup Desi sebagai Bu Guru kelihatan aman susunannya walaupun lelah Desi menanti kehadiran seorang pelajar yang pintar Matematik di sekolah itu. Namun Desi terus bersabar. 

Tidak mudah sebenarnya untuk mengekalkan minat belajar Matematik dan pandai Matematik dalam sebuah komuniti desa yang bergelumang dengan kesederhanaan kehidupan dan pemikiran. Kemuncak lelah beliau benar-benar berlaku apabila dikecewakan oleh seorang murid bernama Debut Awaludin, seorang genius Matematik. Keengganan Debut meneruskan pembelajaran di SMA (kerana jiwa mudanya yang kuat memberontak ke atas ketidak adilan dunia), melunturkan semangat Desi yang berfikir penantiannya sudah berakhir. Guru Desi berputus asa. 

Sehingga munculnya Aini yang mengubah kembali pegangan Desi kepada yang asal: manusia boleh mengubah dirinya asal dia sungguh mahu.

Perjuangan Aini ingin mahir Matematik adalah perjuangan yang melebihi tahap luar biasa. Malah melepasi semangat gurunya sendiri. Desi pesimis dengan kemampuan Aini yang sering dapat angka 0 dalam ujian Matematiknya sehingga sampai peringkat memujuk anak kecil itu melupakan hasrat menguasai subjek yang sering dijauhi pelajar.

Namun Aini tidak makan makian dan pujukan. Persis semangat Desi yang teguh ingin menjadi guru walau dipujuk ibunya sendiri yang tidak ingin anak gadisnya yang rupawan terbuang di daerah pendalaman. Aini berjaya mengatasi semua ujian yang dicipta Desi dan mampu juga menukar pandangan dalam dirinya sendiri iaitu bodoh ialah satu penyakit yang boleh diubati. Aini malah menjadi pintar pemikirannya berkat pandai Matematik. 

Novel ini telah membuktikan bahawa sesuatu kemahiran cabang hidup itu pasti boleh diwarisi dan dikuasai, bukan sahaja melalui bakat tapi kerana minat dan niat. Kepintaran guru Desi Istiqomah di dalam bidang Matematik diwarisi daripada mantan gurunya Bu Marlis. Manakala Aini pula yang terkesan dengan terlantarnya si ayah di atas katil, mencetus minat dan usahanya untuk belajar Matematik daripada Guru Desi, demi menjadi doktor yang bakal merawat sakit ayahnya.

Walau dipagari seribu cabaran yang datang dari pelbagai sudut, dalaman dan luaran, bersifat sosial, politik atau ekonomi, seseorang itu pasti mampu melompat pagar-pagar halangan itu sekiranya dia mahu. Guru Aini melambangkan semangat guru kepada Aini dan Aini sendiri. Asal sahaja mahu, pasti mampu.

Disediakan oleh,

Noraini Ismail

Pensyarah UITM Segamat


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.