Saya Malayophile. Pencinta Melayu. Terdapat beberapa sebab yang mengalasi-nya. Sebab ini boleh diterima, dibantah, disalahkan dan dibetulkan oleh rakan-rakan yang ahli.
Istilah Melayu di sini dirujuk sebagai menampung ciri-ciri iaitu beragama Islam, berbahasa Melayu atau kerabatnya, berkebudayaan Melayu atau kerabatnya. Istilah lain yang cuba dimajukan daripada beragam khalayak bagi merujuk makna yang sama antaranya ialah istilah Malayonesia, Pascabima dalam khalayak intelektual, Istilah Melayu Raya, Indonesia Raya, Maphilindo oleh khalayak politik. Semuanya bertujuan untuk mengkelompokkan suku-suku bangsa yang tersiar di ribuan pepulauan Melayu ini di bawah satu nama. Penulis sendiri mencadangkan istilah Jawi Raya. Perbahasannya dalam tulisan lain.
Melayu di sini bukanlah merujuk kesatuan ras (tribe) atau darah keturunan (bloodline) atau kesatuan biologikal (rambut ikal mayang, hidung pesek), tetapi Melayu yang telah membaur dan dileburkan ras, darah keturunan dan biologikalnya daripada pelbagai persukuan bangsa menjadi satu “rumpun ummah” yang bercirikan ketiga-tiga unsur di atas.
Rumpun ummah adalah alternatif kepada konsep negara bangsa (nation – state) atau negara wilayah (regional – state). Rumpun ummah melangkaui sempada geo-politik negara. Rumpun ummah yang berkongsi kebudayaan bersifat heterogen yang diterasi oleh agama Islam.
Ketika Malek Bennabi memetakan dunia Islam kepada beberapa blok, beliau menyenaraikan Dunia Melayu sebagai dunia Islam yang sama penting dengan Dunia Arab, Dunia Hitam (Afrika), Dunia Kuning (China dan Monggolia), Dunia Parsi (Iran, Afghanistan, Pakistan dan tan-tan lainnya). Di dunia ini, terdapat lima bangsa yang menjadi tonggak kepada Islam iaitu bangsa Arab, Parsi, Kurdish, Turki dan Melayu. Sukar mendengar bahawa orang Melayu paling di – “ihtiram” ketika menggauli bangsa-bangsa berkenaan kerana sifat ramah, lembut dan sopannya itu.
Melayu berbudi. Suatu misteri yang tidak ditemui dalam mana-mana kebudayaan. Budi bagi orang Melayu adalah sendi fikiran. Orang yang berakal budi dan budiman sukar untuk diterjemahkan maksudnya. Sirih, pinang, santun, sopan susila, basa-basi sukar untuk difahami jika tidak menyelami budi. Bahasa pepatah petitihnya bersulamkan keindahan alam yang mendindinginya dan keramahan kaum tani.
Santun orang Melayu amat tinggi. Sanggup berkompromi tanah air sendiri dikongsi oleh orang bukan peribumi. Bahkan, sanggup pula melihat tanah air direbut dan dirembat oleh kaum penumpang negeri (Singapura). Betapa seni, budi, halus, santun dan manusiawi. Ini kekayaan yang menjadikan timbul rasa cinta.
Pusat ketamadunan Islam di Alam Jawi Raya ini merupakan kedua terpenting selepas rantau Timur Tengah dan Turki. Bahasa Melayu – Indonesia menjadi bahasa kedua paling luas dituturkan oleh sekitar 300 juta penganut Islam. Di ASEAN, separuh daripada 600 – 650 juta penduduk adalah ummat Melayu yang beragama Islam, berbahasa Melayu atau kerabatnya, berbudaya Melayu atau kerabatnya. Radius keluasan dunia Melayu dan Islam ini sebenarnya boleh dipandang sebagai peluang ekonomi dan penyebaran hegemoni di rantau ini. Namun, itu tidak berlaku.
Melayu antara etnik tunggal terbesar di dunia yang beragama yang satu (one of the largest single ethnic muslim in the world). Begitu eratnya hubungan bangsa dan akidah ini dikias ibarat “Keluar Melayu bererti keluar Islam. Keluar Islam bererti keluar Melayu”. Bahkan orang Arab sendiri tidak begitu keseluruhannya bersolidariti dengan Islam. Ada Orang Arab, berbahasa Arab, bernama Arab, tidur, mimpi, ketawa dan menangis dengan bahasa Arab, tapi beragama Nasrani, Majusi atau agama lainnya.
Masa depan dunia Melayu sebagai pusat ketamadunan Islam di dunia pernah dijelaskan oleh sarjana barat terkemuka iaitu Alvin Tofler dalam kunjungannya ke IKIM pada 8 Januari 1993 lalu. Beliau meramalkan bahawa Malaysia adalah negara yang akan menjadi model kepada negara Islam yang lain pada suatu masa nanti berdasarkan potensi dan prestasi yang ada. Beliau menambah:
“you, here, are a test case for Islam, if you succeed in developing your country, you will prove to the world that Islam is a very progressive religion, different from the impressions the west have about Islam which they gather normally from the Middle East…the centre of Islam will move from the Middle East, its original and traditional locality, to this place (Malaysia and Indonesia)”. [Perspektif IKIM, No. 3, Mac 1993: ms 20-21]
Namun, kecintaan saya pada Melayu tidak menjadikan saya melulu dan terus beromantisme. Orang Melayu berhadapan cabaran di zaman Malaysia baharu. Mereka tidak boleh mengharap hidup terus di topang. Orang Melayu tidak boleh lagi mengharapkan keselamatan agama dan akhirat mereka diserahkan kepada negara (baca: peguam negara) dan jabatan-jabatan agama semata.
Orang Melayu tidak boleh terus menggantungkan untung nasib perjudian status quo pada agensi-agensi kerajaan berpaksi Melayu sahaja. Kita perlu memperharui tekad, mandiri dan itqan. Bekerja kuat untuk bersaing secara merit dan sihat. Kita akan kecewa bila terlalu bergantung kepada pihak kedua atau ketiga. Perangai kita bergantung kepada diri sendiri.
Orang Melayu tidak boleh lagi melazimi semangat bermalas-malasan, berlabun-labun, menggoreng dongeng di kedai-kedai kopi, membuang masa, bersembang kencang mahu meruntuhkan gunung, sambil tangan dan kaki ter-gam di meja kedai kopi. Tidak hanya berpeluk tubuh mengharapkan pertolongan Tuhan datang ke riba. Orang Melayu perlu berusaha sedaya upaya mengubah nasib diri di tanah air sendiri. Orang Melayu perlu memperkasa gerakan massa melalui badan bukan kerajaan sama ada bersifat pendidikan, kebajikan atau sebagainya.
Lihatlah bangsa Cina, melalui gerakan pendidikan dan mengumpul sokongan padu kalangan usahawan mereka berhasil membangunkan sekolah-sekolah persendirian yang dibiayai sendiri dengan sedikit bantuan daripada kerajaan. Mereka menguasai ekonomi. Mereka percaya kekuatan itu datang melalui persatuan kerana mereka beramal jama’ie. Orang Cina mandiri, bekerja kuat dan kerja sepakat membawa berkat.
Dengan kekuatan ekonomi dan persatuan suara mereka nyaring dan lantang. Melalui persatuan mereka berbantu-bantuan, memajukan perniagaan dan meninggikan pendidikan. Apabila mereka kuat, mereka tidak perlu bergantung banyak kepada kerajaan. Mereka menunaikan hajat-hajat kaum mereka dengan upaya mandiri, mengirimkan anak ke luar negeri dan belajar tinggi-tinggi hingga cukup layak untuk menyaingi politik kaum peribumi.
Sedangkan kita masih menikus dalam ekonomi, tetapi menyinga apabila ruang demokrasi mula diboloti, dimonopoli oleh orang kafir. Sekadar boleh menyinga tanpa menguasai ruang awam dan ruang ekonomi, sukar untuk berhasil!
Gerakan pendidikan Melayu masih jauh yang bersifat mandiri. Terima kasih kita teruntuk kepada organisasi bukan parti politik dan bukan kerajaan seperti IKRAM, ABIM, HALUAN dan beberapa lainnya yang punya kesedaran untuk memperkasa ummah dengan mendidik modal sumber manusia melalui asuhan sistem pendidikan yang dibangunkan mereka. Tamatan institusi pendidikan mereka ini akan dikirimkan ke tengah masyarakat dan diharap dapat memandu naratif yang dihajati mereka iaitu mengupayakan masyarakat Melayu – Islam, mensejahterakan masyarakat dengan dakwah.
Persatuan adalah asasnya kerana melalui persatuan, kita akan kukuh. Walaupun, penyatuan Melayu itu sangatlah utopia. Sering berbantah-bantah dan berbalah. Seruan penyatuan Melayu itu atas dasar Islam sekalipun masih jauh panggang daripada api. Kita patut memperkasakan barang yang kita remehkan; yakni BUDAYA. Budaya dan agama yang utuh mendorong orang Melayu sederap melangkah.
Persatuan, jemaah, pertubuhan, perkumpulan adalah wasilahnya. Jangan hanya bergantung kepada institusi awam. Baik atau tidak pentadbirnya, tugas kita sebagai anggota “Rumpun Ummah” harus terus berjalan. Membantu pemerkasaan ummah, jangan hanya membatu dan menunggu seru. Jangan kedekut masa untuk berbahagi dalam persatuan. Belajar berkongsi kepentingan diri untuk sebuah kepentingan ummah. Kutiplah hikmah di mana sahaja engkau menemuinya kerana engkau lebih berhak ke atasnya.