Ramadan sudah tiba ke penghujungnya, maka berbondong-bondonglah manusia melakukan ibadah. Salah satu ibadah yang masyhur ketika bulan Ramadan ini ialah membaca al Quranul Karim. 

Ada sebahagian umat Islam sangat bersemangat membaca al Quran sehingga khatam 30 juzuk. Sememangnya amalan ini sangat mulia. Rasulullah s.a.w pun memperbanyakkan membaca al Quran pada bulan Ramadan malahan malaikat Jibril datang kepada Rasulullah s.a.w setiap malam pada bulan Ramadan. Nabi s.a.w membacakan al Quran di hadapan Jibril sebagaimana disebutkan dalam kitab Sahih Bukhari. 

Salafus Soleh (Orang terdahulu yang soleh iaitu para sahabat radhiyallahu’anhum) juga memperbanyakkan bacaan al Quran pada bulan Ramadan. Sehinggakan Imam Az Zuhri rahimahullah berkata,

“Apabila masuk bulan Ramadan, maka itulah saatnya membaca al Quran dan memberi makanan.” (At Tahmiid karya Ibnu ‘Abdil Barr)

Namun begitu, janganlah kita tergesa-gesa membaca al Quran semata-mata hendak segera menghabiskan 30 juzuk sebelum berakhirnya bulan puasa ini sehingga kita lupa untuk memahami  dan merenungi maksud daripada firman-firman Allah tersebut. 

Memang benar majoriti Salafus Soleh telah mengkhatamkan bacaan Kitabullah dalam bulan Ramadan tetapi bukan setakat membaca, mereka juga memahami dan merenungi ayat-ayat al Quran. Mereka sangat bimbang jikalau tidak dapat mengamalkan apa yang diperintahkan Allah SWT di dalam kitab-Nya yang mulia itu.

Adakah diri kita berkelakuan sebagaimana Salafus Soleh tadi? Atau kita hanya sekadar membaca tetapi langsung tidak memahami isi-isi dalam al Quran tersebut?  

Dalam membaca al Quran, tidak penting seberapa banyak kuantiti bacaan kita namun yang lebih utama adalah kualiti bacaan kita.

Pastikan kita memahami isi kandung al Quran dan kemudian kita amalkan dalam kehidupan seharian kita. Walaupun kita tidak dapat amalkan semuanya namun sekurang-kurangnya kita berusaha mengamal mengikut kemampuan diri kita. Hal ini kerana amal soleh yang sedikit namun istiqomah itu lebih disukai oleh Allah SWT. 

Kesimpulannya, membaca al Quran dengan khusyuk serta memahaminya pasti akan beroleh pahala di sisi Allah SWT apatah lagi jika diamalkan. Bahkan al Quran itu sendiri akan memberikan syafaat kepada si pembaca di dunia dan di akhirat. 

“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat buat hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Rabbku,, aku telah menahannya daripada makan minum dan syahwat pada siang hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: aku telah menahannya daripada tidur di malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kemudian, keduanya memberi syafaat kepada hamba tersebut.” (HR. Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Disediakan oleh,

Shafiyyah al Jawziyyah

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.