Aku merenung kipas di siling yang tidak jemu berpusing. Angin yang terhasil tetap tidak mampu menyejukkan hati aku yang kini dirundum pelbagai rasa—bersalah, sedih, berdosa, tidak tenang dan segala macam perasaan yang negatif. Jam berdetik seakan tidak memberikan kerjasama, masa itu tetap dirasakan tidak berjalan.
“Lambatnya si Amri ni nak balik. Aku tak sabar nak luahkan pada dia ni.” merungut aku.
Sebaik saja aku memejamkan mata, aku terdengar bunyi tombol pintu dipulaskan, tanda orang yang aku nanti-nantikan pulang ke rumah. Amri masuk dalam keadaan tergesa-gesa. Sempat aku kerling jam di dinding, menunjukkan jam 9.30 malam.
“Banyak betul kerja dia sampai balik lewat macam ni.” bisik hati aku.
“Wazzup bro, assalamualaikum!” sapa Amri yang masih dalam keadaan tergesa-gesa. Mana tidaknya, aku yang tengah buat muka minta simpati ini pun dia boleh tidak perasan. Salamnya aku jawab dalam hati. Amri terus meluru masuk ke dalam tandas,
“Oh, mungkin belum solat lagi. Tidak mengapa, aku akan setia menanti demi meluahkan rasa di hati.”
Usai Amri membaca doanya, dia terpandang aku yang dari tadi memerhati dia menunaikan solat.
“Woi Ali, kau ni dah kenapa? Macam nak makan aku je. Seram aku. Kau tak makan lagi eh?” tanya Amri, mungkin perasan dengan riak muka aku.
“Bukan pasal makan lah. Kalau lapar tiada nak tengok-tengok dah. Aku terus kerat kau buat gulai.”
“Haha! mesti sedap daging aku.”Amri membalas, aku tahu dia nak menghiburkan aku, tetapi aku tidak mampu tersenyum saat ni.
“Amri, aku ada benda nak tanya ni. Hmm macam ni. Sekarang ni aku rasa teruk. Aku rasa hina sangat, sampaikan aku rasa aku tak layak untuk berzikir kepada Allah. Bila aku berzikir, aku tertanya-tanya, Allah pandang ke aku ni? Sudahlah banyak dosa. Bila zikir tu, aku rasa macam hipokrit, berzikir tapi masih membuat dosa. Aku rasa macam aku berzikir itu untuk menutup kesalahan yang aku tidak henti-henti lakukan. Aku rasa macam aku munafik. Baik aku tidak perlu zikir kalau begitu, kan? Aku ini hina!.” Aku meluah, sambil mata memandang ke lantai, menghayati perasaan aku saat itu.
Walaupun aku malu untuk berkata sedemikian tetapi aku perlu minta nasihat daripada Amri. Dari tikar sejadah, Amri bergerak ke katil dan kemudian baring di atas katilnya. Matanya ditancapkan ke arah siling, seperti menyusun kata-kata untuk menjawab persoalan aku.
“Ali, zikir ini tidak perlu syarat kau seorang pendosa. Kau jangan ingat apabila berdosa sahaja, kau perlu berzikir. Sama juga tidakapabila iman kita di tahap yang baik, itu tidak bermaksud kau tidak perlu berzikir.”
“Zikir ini tidak memerlukan sebab. Cukup kerana kita bertuhankan Allah yang Agung. Dia saja sudah cukup untuk menjadi asbab kita berzikir. Kita berzikir untuk mengagungkan Tuhan kita bukan sebab dosa atau pahala kita.” sambung Amri lagi.
“Memang betul ada zikir-zikir yang dikhususkan untuk kita meminta ampun di atas dosa-dosa kita, tetapi tu tidak bermaksud kita hanya berzikir apabila berbuat dosa sahaja. Hakikatnya tidak. Malah zikir ni perlu diamalkan, kerana Allah itu yang paling layak untuk kita mengingatinya.”
“Kau juga tahu kan bahawa binatang, tumbuhan dan alam tidak pernah berhenti memuji Tuhan, dengan cara mereka yang tersendiri. Berdosakah mereka tu?”
Aku menggeleng walaupun aku tahu, soalan daripada Amri tidak perlu dijawab pun.
“Mereka itu tidak berdosa pun. Itu saja sudah cukup membuktikan zikrullah itu tidak bersyarat kepada pendosa atau penghuni syurga. Kerana Tuhan tu, selayaknya kita puja.” sambung Amri.
“Tetapi Allah pandang ke taubat aku, Amri? Berulang kali aku berbuat dosa yang sama. Aku seperti mempermainkan taubat sahaja.” soalku.
“Ali, kau kena ingat bahawa syaitan ini licik. Dia akan cuba memperdayakan kita dari segenap penjuru. Nampak sahaja ada lompong, terus dia masuk line. Apa yang kau fikirkan itu hanyalah bisikan syaitan untuk membuat kau ragu-ragu dengan Tuhan. Kau beri alasan sebab kau rasa kau hina, tetapi nampak tak pemikiran tu membawa kau ke mana? Semakin tidak mengingati Tuhan.”
“Kita rasa kita ini hipokrit, tapi sebenarnya kita ni sombong. Sudah tahu kita buat dosa, tapi lagi memilih tidak mahu mengingati Allah?”
“Hakikatnya, kita semua adalah pendosa. Dan kita ada dua pilihan; menjadi pendosa yang Allah ampuni, meskipun melakukan dosa berkali-kali, atau menjadi pendosa yang berputus asa dan terus melupakan Allah, dengan alasan rasa tidak layak mengingati Allah dan akhirnya dia semakin jauh daripada Allah dan berterusan melakukan dosa.”
” Jadi, kita nak pilih mana? Mestilah yang pertama, kan?”
Sekurang-kurangnya dengan zikir yang kita ratibkan ini, di lidah mahupun di hati menjadi salah satu asbab yang mengawasi diri kita, menyedarkan kita apabila kita melakukan dosa. Dari tahap kita berzikir yang mungkin belum benar-benar masuk ke dalam hati, hinggalah akhirnya kita berzikir ikhlas kerana mengingati Allah dengan sepenuh hati. Hasilnya adalah kita takut untuk berbuat maksiat dan perkara yang Allah larang, sebab ada Allah sentiasa dalam hati kita, dan kita tahu kita ada dalam pengawasan dan pemerhatian Allah.”
“…”
“Memang Allah tu suci dan mulia, jauh sekali dengan kita yang kerdil dan hina ni. Tetapi macam aku cakap tadi, mengingati Allah itu tidak memerlukan syarat dan tidak memerlukan sebab. Kerana Dialah yang selayaknya untuk diingati dan dipuji-puji.” Amri menghentikan bicaranya.
Aku diam, cuba menghadam tembakan bertubi-tubi yang menghidupkan daripada Amri. Agak lama aku berdiam, sehinggalah aku benar-benar faham apa yang cuba sampaikan Amri.
“Betul apa yang kau cakap tu, Amri. Teringat aku dengan satu ayat Al-Quran. Surah Al-Isra’ ayat 44,”
“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka.”
“Kalau alam pun sentiasa bertasbih, kita ni lagi lah perlu bertasbih kan? Macam mana lah aku boleh lupa ayat ni. Kena dengar dari mulut kau juga”.
“Terima kasih Amri, sebab ingatkan aku tentang ini. Kau memang pandai ambil hati aku balik. Seharian aku serabut fikir tentang ini. Aku bersyukur sangat sebab dapat sahabat macam kau.”
Habis membicarakan ayat-ayat penghargaan itu, aku pun memandang Amri.
“Kenapa senyap ja dia ni? Nangis ke dengar aku cakap macam tu?“ bisik hatiku
Tiba-tiba terdengar bunyi dengkuran. “Sudah tidur rupanya dia! Bertuah punya budak. Maaflah, pujian tu sekali sahaja aku cakap ya. Tiada siaran ulangan. Siapa suruh tidur?” getus hatiku sambil merenung sosok badan Amri dan membiarkan dia terus lena dalam mimpi. Terima kasih sahabat.
Ditulis oleh,
Amirah Mukhizad