Pasca Kembara Hamka pada tahun 2017, saya gigih mencari buku-buku tulisan Buya Hamka untuk dibaca dan dihadam. Rugi rasanya baru mengenal sosok seorang Hamka pada usia ini. Seharusnya saya mengenal karya beliau lebih awal. Sebelum jadual Kembara Hamka bermula, saya sempat membaca buku Peribadi sebagai permulaan saya berkenalan dengan karya Buya Hamka. Sepanjang kembara berlangsung, kami didedahkan sedikit sebanyak tentang latar belakang Buya Hamka. Buku poket cuplikan daripada buku Kenang-Kenangan Hidup turut diberikan kepada kami. Jadi dapatlah sedikit gambaran tentang siapakah gerangannya sosok yang mengerakkan kaki kami untuk melihat sendiri ranah kelahirannya.
Saya mengira tulisan Buya Hamka hanya berkisarkan keagamaan dan tafsiran Al-Quran sahaja. Ternyata beliau juga menulis karya fiksyen, karya yang bukan hanya imaginasi yang terlintas difikiran, malah realiti sebenar yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Inilah yang sering dikatakan ramai orang iaitu Buya Hamka seorang pujangga yang menulis tentang cinta, seperti buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Saya menonton filemnya terlebih dahulu sebelum membaca bukunya. Usai membaca bahasa bukunya, seakan-akan tidak percaya bahawa penulisnya adalah Buya Hamka. Ya, benar. Buya Hamka mengungkap idea beliau tentang Hayati dan Zainuddin di sebuah Surau di Batipuh. Zainuddin dan Hayati terpisah dek kerana darjat keturunan dan harta. Cinta Zainuddin ditolak hanya kerana dia bukan berketurunan Minang dan tidak berharta, yang dikatakan tidak sekufu dengan Hayati, seorang wanita asli Minang bertaraf anak bangsawan. Walaupun cinta mereka terasa dekat, akhirnya ia menjadi jauh kerana terikat oleh kuasa keluarga yang menjadi raja. Hayati dipaksa menikah dengan Aziz, lelaki yang jelas keturunannya dan melimpah ruah harta kekayaannya. Hiduplah Zainuddin dengan penuh sengsara, patah hati dan remuk jiwa. Namun demikian, semangat Zainuddin tidak pernah luntur. Walaupun tidak berharta, dan dibuang negeri, Zainuddin bangkit membela maruah dirinya. Dia melupakan sejenak hati yang membara dan melangkah bersama kesungguhan yang tersisa. Terima kasih kepada Muluk yang tidak jemu menuturkan kata-kata semangat kepada Zainuddin.
Demikianlah, sepintas lalu kisah dua hati yang terpisah oleh kerana pekatnya adat yang menyekat. Itulah kemegahan adat yang dibantah oleh Buya Hamka menerusi novel ini. Orang yang tidak jelas suku kaumnya, adakah tidak wajar untuk menawan hati perempuan yang berdarah Minang? Saya tidak ingin membahaskan kesudahan kisah cinta Zainuddin dan Hayati. Mungkin ini peluang kepada para pembaca untuk memulakan pembacaan karya Buya Hamka buat julung kalinya.
Masih ingat Poniem dan Leman? Gadis Tanah Jawa yang beradu cinta dengan jejaka Sumatera yang dibutakan oleh adat. Bagaimana kesudahan hidup Poniem? Kuasa keluarga sekali lagi melonjak tinggi. Dikatakan wanita ranah sendiri ada kenapa masih memilih wanita di ranah orang. Diusulkan pula pernikahan kali kedua kepada si jejaka. Menikah dengan “orang awak”, itulah kiasan yang digunakan. Leman menikah dengan Mariatun, orang awak yang dibangga- banggakan itu. Akibatnya, Poniem juga yang sengsara, makan hati berulamkan jantung walaupun dia sedaya upaya mempertahankan rumah tangga mereka. Kisah ini juga tercetus oleh adat yang disanjung tinggi, iaitu peri pentingnya darjat keturunan dengan memenangkan suku kaum sendiri, sehingga akhirnya kesetiaan wanita bernama Poniem diuji dengan begitu dahsyat.
Bagaimana pula dengan kisah cinta Hamid dan Zainab? Persis Zainuddin dan Hayati, dua hati ini juga tidak akan pernah menyatu hanya kerana harta dan darjat keturunan. Sekuat mana pun genggaman cinta mereka, ukuran duduk sama rendah berdiri sama tinggi tetap menjadi keutamaan. Hamid sendiri yang menjadi orang suruhan Ibu Zainab untuk memujuk dan meyakinkan Zainab supaya menerima calon pilihan keluarga mereka yang juga golongan bangsawan. Kekecewaan Hamid telah mendorong dirinya untuk berhijrah ke Mekah. Para pembaca boleh mengetahui kesudahan kisah tragis Hamid dan Zainab dari buku Di Bawah Lindungan Kaabah.
Selain itu, terkenang juga akan kisah Mariah yang diusir suaminya Azhar atas tuduhan berdua-duaan dengan lelaki lain. Padahal itu adalah helah daripada keluarga Azhar sendiri. Mariah membawa diri dan bekerja sebagai pengasuh di rumah pasangan Belanda. Pernikahan kedua Mariah dengan Yasin berakhir dengan tragedi yang memilukan. Lantaran itu, Mariah memusnahkan dirinya dengan menjadi pelacur. Dalam masa yang sama, Sofyan anak Mariah membesar menjadi anak yang cerdik pandai dan memegang jawatan sebagai seorang peguam. Perasaan hasad dengki terhadap Sofyan mendorong Wirja untuk membunuh Sofyan, tetapi hasratnya itu dibantah oleh Mariah dengan membunuh lelaki itu. Sofyan sendiri yang membicarakan kes Mariah sedangkan dia tidak pernah tahu bahawa si renta itu adalah ibunya. Kesudahannya, Azhar menceritakan semua peristiwa yang berlaku ke atas keluarga mereka kepada Sofyan.
Di dalam novel Terusir, Buya Hamka bercerita tentang kisah yang jelas ada dalam kalangan masyarakat kita. Suami atau isteri yang tidak setaraf, lalu dibenci oleh keluarga mertua sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan berpisah. Wanita yang dilepaskan keluar dengan keadaan terumbang ambing tanpa tempat bergantung sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa menceburkan diri ke lembah kemaksiatan. Pada kali ini Buya Hamka menyindir para lelaki yang sering kali merasakan masalah rumah tangga banyak berpunca daripada seorang wanita. Tetapi mereka lupa untuk meletakkan punca setiap masalah ke atas batang hidung sendiri, yang menyebabkan wanita bertindak diluar jangkaan seperti situasi yang dialami oleh Mariah.
Melalui novel Angkatan Baru pula, Buya Hamka mengangkat tema yang berbeza. Cara pemikiran dan pengharapan golongan muda memberi kesan kepada kehidupan mendatang. Inilah yang watak yang dihadirkan oleh penulis iaitu Syamsiar, gadis lepasan sebuah sekolah agama sentiasa berharap bakal menjadi guru dan mendapat gaji yang lumayan, termasuk mengimpikan seorang lelaki yang tinggi agama menjadi suaminya kelak. Dia akhirnya menikah dengan Hasan, seorang guru agama. Syamsiar beranggapan pernikahan hanyalah semudah menggembirakan dan menceriakan suami dengan kata-kata romantis persis kisah percintaan daripada buku-buku yang dibacanya. Ternyata anggapan Syamsiar jauh tersasar yang turut meruntuhkan gerbang perkahwinannya. Buya Hamka menegur secara halus sikap golongan wanita yang mudah terpengaruh dengan kisah-kisah cinta yang dibaca menerusi buku-buku mahupun yang ditayangkan di kaca televisyen. Beliau juga turut mengkritik sesetengah golongan muda yang merasakan mereka berhak mendapat pekerjaan yang gah dan berpendapatan tinggi selepas menamatkan pengajian seolah-olah hanya sijil yang menjadi keutamaan, bukan lagi kemahiran dan kesungguhan.
Berdasarkan karya-karya fiksyen Buya Hamka, para pembaca boleh menilai sendiri jalur penceritaan karya malar segar ini. Buya Hamka melakarkan kisah ini berpuluh tahun lamanya, berdasarkan kisah masyarakat yang terjadi pada rangka masa tersebut. Walaupun karyanya sudah langka, tetapi ia masih menjadi sandaran kepada kehidupan kita pada hari ini. Adakah masih ada lelaki yang senasib dengan Zainuddin dan Hamid? Wujudkah lagi campur tangan keluarga besar terhadap mahligai perkahwinan seperti Mariah dan Azhar? Bagaimana pula tanggapan anak muda terhadap dunia pendidikan dan pekerjaan, adakah menurut gaya pemikiran Syamsiar atau Hasan? Semua pertanyaan itu menjadi titik tolak kepada inti sebenar karya-karya fiksyen Buya Hamka.
Roh daripada karya langka ini terus tersebar hingga kini kerana kita juga sedang berhadapan dengan ritma kehidupan masyarakat yang sama seperti kisah-kisah yang dibicarakan sebelum ini, walaupun ia mungkin tidak berlaku di hadapan mata kita. Benarlah, karya-karya Buya Hamka bukan sekadar karya picisan yang masih diulang cetak, tetapi ia sebuah karya agung yang mengajak kita untuk menceduk pengajaran yang tersirat di sebaliknya. Inilah yang dikatakan oleh Dr Maszlee Malik, Buya Hamka berjaya menjadikan setiap sesuatu itu harus dipandang dengan pandangan nilai. Selamat menghirup aksara- aksara segar dan indah dari karya Buya Hamka.
Oleh: Hasni Syakila