Cahaya subuh belum lagi kelihatan, ayam pun masih lagi tidur agaknya. Gelap gelita. Dari semalam, hujan masih belum juga reda, masih mencurahkan titisan air walaupun sedikit. Seperti biasa, musim tengkujuh mungkin akan tiba tidak berapa lama lagi. Sebatang tubuh yang diliputi selimut merah itu bergerak gerak, sudah sampai masa untuk bangun bekerja mungkin. Jam penggera di telefonnya berdering menyanyikan lagu Taylor Swift. 

“Hmm, dah pagi ke eh? Malas betul nak bangun.” Seorang lelaki mula bermonolog sambil selimut merah kegemarannya itu digulung dan diletakkan ke tepi. Begitulah kehidupannya sehari hari selepas bangkit dari tidur, terus dikemaskan tempat tidurnya, gulungan selimut itu dibiarkan di tepi, senang untuk rutin malam nanti, ditarik saja selimut itu dari kaki sampai menutup kepala dan dikemaskan di bawah kepala, agar tidak terlucut. Nyamuk juga tidak dapat masuk menghisap darahnya. 

Lelaki itu mula bangun dan sambil menggosok matanya yang belum lagi terbuka walaupun dirinya sedang berjalan ke bilik air. Rutin harian selama hampir 3 tahun ini telah menjadikan dia arif dan tahu benar akan pelan kedudukan rumahnya. Dua tiga langkah ke kanan, dicapai tinggi sedikit di dinding, ada suis lampu di bilik air. Dengan mata yang masih belum lagi terbuka dengan sepenuhnya, lelaki itu sudah berada tepat di depan bilik air, lalu kaki kirinya dihulurkan dahulu sesuai dengan apa yang diajarkan dalam agama. Dan tidak dilupakan juga, membaca sedikit doa untuk berlindung dari syaitan dan perkara yang tidak baik. 

Selesai membersihkan diri dan mengambil wuduk, lelaki itu menyarung pula baju melayu yang elok tergantung di dinding, kain pelikat yang terlipat kemas di hujung katil itu segera dipakai. Dua rakaat solat sunat sempat dilaksanakan sambil menunggu azan subuh berkumandang. Rindu terasa di hati lelaki tersebut akan kemerduan bacaan imam di masjid, tetapi apakan daya pandemik covid-19 masih lagi belum pulih sepenuhnya. Bertahun-tahun Allah memberikan nikmat kesihatan kepada hamba-Nya, tetapi sewaktu bencana begini barulah manusia mengerti akan nikmat yang tidak terkira itu. Subuh kali ini terasa begitu sunyi, entah kenapa. Solat Subuh sempurna diselesaikan oleh lelaki itu.

Ting! Mesej dari aplikasi Whatsapp masuk. 

“Selamat pagi Amar. Semoga dipermudah urusan awak harini ya. Goodluck.”

Lelaki itu tersenyum riang. Berbunga betul hatinya bila pagi-pagi lagi sudah dapat mesej begini daripada insan yang bertakhta dihatinya. Sudah agak lama mereka berhubung tetapi Amar masih belum juga berbuat keputusan untuk langkah seterusnya. Bukannya tidak serius, tapi masih banyak hal difikirkannya. Kerja contohnya. 

Hari ini, Amar akan menghadiri satu temu duga untuk jawatan yang dipohonnya dalam sebuah syarikat penerbitan. Latar belakang Amar yang mempunyai diploma dalam bidang komunikasi sedikit sebanyak membantu menambahkan peluangnya untuk bekerja dalam syarikat tersebut. Sudah setahun Amar bergraduasi dan beberapa temu duga sudah dijalaninya tetapi belum ada rezeki. 

Kebanyakan graduan yang normal atau pada peringkat pertengahan ini biasanya akan mengalami masalah yang sama. Antara masalah yang dihadapi adalah bilangan graduan yang mempunyai tahap pertengahan begini selalunya paling ramai. Ini menyebabkan majikan mempunyai banyak pilihan dan peluang untuk graduan ini diterima oleh majikan sangat rendah. Hal ini berbeza untuk graduan yang mempunyai keputusan yang cemerlang, kerana sudah tentu majikan lebih berminat untuk menawarkan pekerjaan kepada mereka dan ditambah lagi bilangan mereka tidak ramai, jadi peratusan untuk dapat kerja lebih tinggi. 

***

“Ramai juga yang datang temu duga harini, entah data dan fakta kat mana lah para menteri dan mereka yang berada di puncak kuasa sana dapat.”

Amar mengomel sendirian melihatkan barisan panjang di depan syarikat penerbitan itu. Semuanya memakai pelitup muka dan mematuhi segala apa yang ada dalam garis panduan yang ditetapkan kerajaan. Amar juga merasa bangga dengan komitmen rakyat Malaysia yang akur dan patuh dengan arahan dan ketetapan yang diberikan oleh kerajaan, dan dia juga mahu percaya perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat tetapi sebaliknya. 

Kerajaan jarang sekali mendengar keluhan dan cadangan rakyat, apatah lagi menyelesaikan dan menjawab segala permasalahan masyarakat awam. Amar mengeluh panjang apabila membaca solusi dan idea kerajaan, yang mana tidak ada keuntungan kepada rakyat pun. Dan solusi ini sudah tentu bermula daripada mesyuarat agensi kerajaan yang dimulakan dengan sedikit kuih karipap dan teh panas, dan diakhiri dengan mihun goreng yang pastinya daripada wang rakyat.

“Tubuh jawatankuasa itu dan ini, dibayar pula elaun dan gaji untuk agensi sekian sekian, tetapi hasilnya tidak ada. Kalau ada pun, tidak untung kepada rakyat.” 

Amar masih mencari solusi sambil menunggu gilirannya untuk ditemuduga. Seorang demi seorang dipanggil masuk ke bilik yang disediakan khusus untuk sesi temuduga kalini. Syarikat penerbitan yang masih setahun jagung itu perlu menunjukkan imej syarikat yang baik untuk bertahan dan menyaingi syarikat penerbitan yang lain. 

“Amar Irsyad.” 

Nama Amar dipanggil oleh perempuan muda, mungkin sebaya atau lebih tua setahun dua darinya. Cantik dan sopan. Perempuan yang mempunyai paras rupa yang menarik dan peribadi yang sopan sudah tentu mudah untuk mencari pekerjaan, ditambah lagi dengan pencapaian yang baik. Seawal habis graduasi sahaja, sudah tentu perempuan muda itu masuk bekerja. Mana mungkin para majikan menolak calon pekerja yang sedemikian. Amar menunduk malu dan segan, umur sudah tua begini masih belum bekerja.

“Bismillahirahmannirrahim.” 

Amar melangkah masuk dengan kaki kanan ke bilik temu duga, gementar tetapi pura-pura tenang seperti kebanyakan calon temu duga yang lain. Amar senyum apabila melihatkan tiga orang panel sedang duduk membaca sesuatu, sambil panel yang ditengah mempelawanya untuk duduk. 

******

“Macam mana dengan temu duga tadi? Semua okey?”

Perempuan muda berbaju kurung biru, bermotifkan bunga-bungaan membuka bicara. Kurung tradisional sesuai dengan gayanya, seorang perempuan yang sedikit konservatif tetapi lahir di tahun millenium menambahkan kemodenan dalam dirinya, ditambah pula warna dasar kainnya biru muda, seperti langit yang mendamaikan, sedamai hatinya. Di depannya duduk seorang pemuda, gelisah dan resah memikirkan jawapan dan soalan yang ditanya panel temuduga itu tadi. Kopi kosong panas itu menambahkan lagi kegelisahan di hati dan fikiran Amar. 

“Amar, awak okey tak ni? Dari tadi saya tanya, awak diam je. Cuba lah bagitahu saya.” Sarah mengulang kembali soalannya, memikirkan mungkin saja Amar tidak mendengar pertanyaannya tadi. Setelah lama mengenali lelaki itu, Sarah tahu Amar jarang sekali mendengar atau fokus kepada cerita dan soalannya. Mungkin ini salah satu faktor hubungan mereka makin tidak menampakkan tanda-tanda untuk pulih. 

“Yaa awak, saya okey.” Amar senyum dan menjawab soalan Sarah. Jawapan yang selalu diberikan Amar, dan jawapan yang selalu juga Sarah tahu bahawa Amar berbohong. Kadang kita selalu menjawab dengan jawapan yang ingin didengar oleh si penyoal, bukan dengan jawapan ikhlas daripada kita sendiri. Amar begini, Sarah juga dan semua orang pun akan memberikan jawapan yang memuaskan hati si penanya. Amar menghirup kopi panas, kegemarannya. Tidak kira hujan, panas, pagi atau malam, Amar selalu memesan kopi kosong panas sebagai minumannnya. Ketagihan kafein barangkali.

“Tapi awak tahu kan, tahun ni kita kahwin. Kalau boleh, awak usahalah sikit lagi. Biarlah kerja apa pun, janji halal.” Sarah menambah soalan yang membuatkan Amar sekali lagi menunduk. Tidak dapat menjawab soalan Sarah kali ini. 

Sarah membiarkan sahaja Amar termenung dan melayan perasaannya, Sarah kenal dan arif benar perangai Amar. Lagipun, Sarah juga tahu lagi banyak dia bercakap dan memberikan nasihat, lagi lah Amar tidak mempedulikan nasihatnya. Sunyi dan dingin mereka berdua, yang hangat cuma kopi di antara mereka. 

******

“Sarah, nanti kalau ada apa apa masalah boleh bagitau saya ya.”

 Ujar Zaim sambil meletakkan komputer riba atas meja Sarah. Komputer riba yang sudah berusia itu mengalami sedikit masalah, dan Sarah pula tidak mengerti akan hal ehwal teknologi. Ketika itulah dia mengenali senior di pejabatnya, hasil rujukan rakan sekerjanya. Zaim, pekerja senior di pejabat mereka itu mahir menguruskan peralatan elektronik-kebanyakan lelaki yang lain-, banyak membantu Sarah dan pekerja yang lain. 

“Terima kasih Encik Zaim.” Sarah membalas. Senyumnya yang menawan itu sudah lama tidak terukir, kegembiraannya juga menjengah kembali ke hati, jantungnya juga berdegup kencang setelah lama berdetak perlahan. 

*****

“Amar, boleh tolong saya tak? Kereta saya rosak. Tak Tahu lah kenapa. Boleh datang sini tak?” Sarah menghantar pesanan kepada Amar. Mengharapkan kebijaksanaan lelaki untuk menyelesaikan masalah berkaitan hal kenderaan. Sarah menunggu jawapan balas dari Amar. Dua minit. Lima minit. Sepuluh minit. Amar masih belum menjawab pesanan Sarah. Mungkin ada beberapa kecemasan yang berlaku, jarang sekali Amar lewat membalas pesanan Sarah. 

“Hmm. Nak mintak tolong sikit pun tak boleh. Dulu, semua benda boleh tolong.” Sarah mengomel sendirian sambil masih sedikit berharap Amar akan segera sampai. Begitulah lelaki, dulu dulu beria betul, sekarang mungkin dah bosan dan sudah lama bersama, kenal baik buruk pasangan, menghilang tanpa khabar. Sunyi. Sepi dan dingin, tidak seperti dahulu -hangat dan mesra-. 

Sambil Sarah melihat lihat aplikasi Whatsapp, mana tahu Amar ada menghantar pesanan, sebuah kereta berhenti di belakang. Sarah kelihatan tergamam bila melihatkan kereta yang seakan sama dengan kereta yang parkir di pejabatnya. Sarah mula tersenyum sendiri, kerana wajah lelaki yang keluar dari kereta tersebut wajah yang dikenalinya. Wajah yang sentiasa membuatkan dirinya selalu bersemangat untuk ke pejabat. Wajah yang baginya, menceriakan hari hari di tempat kerjanya. Wajah yang dijumpai hampir setiap hari di pejabat. 

Cepat-cepat Sarah keluar dari kereta, melihatkan lelaki itu mula menuju ke keretanya. Tinggi dan tegap. Tidak terlalu putih dan tidak juga terlalu gelap. Sesuai dengan kulit lelaki Melayu yang lain. Berbaju kemeja putih, berlengan panjang yang dilipat separa lengan. Tali lehernya juga melambangkan institusi pendidikan yang diterimanya sebelum ini, sedikit terbuka sepertimana pekerja bergaji bulanan atau pekerja kerajaan yang lain baru pulang dari tempat mengerah keringat dari pagi ke petang. 

“Sarah, dah lama ke awak tersadai kat sini? Kenapa tak telefon saya?” Zaim menanyakan hal ehwal Sarah terlebih dahulu. Barulah namanya lelaki, arif dan pedulikan tentang keselamatan perempuan melebihi hal-hal lain. Zaim kembali ke keretanya untuk mengambil sebotol air untuk Sarah. 

“Maaf Sarah, ada air kosong je. Nah, untuk awak.” Zaim menghulur. “Kejap ya, saya tengokkan kereta awak ni. Duduklah bawah pokok tu dulu, panas ni.” Zaim menambah. 

Sarah yang hanya tersenyum itu berlalu pergi meninggalkan Zaim dan keretanya yang rosak itu. Setelah beberapa lama Zaim menunjukkan kehebatannya dalam membaiki kereta, akhirnya kereta Sarah sudah boleh dihidupkan. Beberapa nota teknikal sempat dititipkan kepada Sarah supaya lebih berhati-hati selepas ini. 

Jika sudah ditetapkan takdir oleh Tuhan Yang Maha Kuasa, maka tiada sesiapa dan apa apa pun yang boleh melawan dan mengubahnya. Sedang elok Sarah dan Zaim berbual, Amar datang dengan motorsikalnya. Peluh membasahi muka Amar, dan bajunya juga habis comot. Tangannya sedikit kotor, seperti baru lepas membaiki kenderaan. 

“Kenapa baru sampai?” Sarah menegur Amar dahulu. Sarah dengan cepat memperkenalkan Zaim kepada Amar sebagai rakan sepejabat. Tidak mahu Amar memikirkan yang bukan-bukan. Amar, seperti juga lelaki lain, cemburu bila melihat ada lelaki yang rapat dengan perempuan yang disukainya. Amar memberitahu Sarah bahawa dia terlambat kerana motorsikalnya rosak. Dan dengan keupayaannya sendiri, Amar berjaya membaikinya walau mengambil masa yang lama. Tanpa menunggu lama, Zaim terus meminta izin untuk mengundurkan diri. Walaupun perjumpaan yang sekejap, Amar merasakan dirinya begitu kerdil jika dibandingkan dengan Zaim. 

“Patutlah kan. Hmm. Macam mana lah nak menang dengan lelaki yang begitu.” Hati kecil Amar bersuara. Fikiran negatif mula berkeliaran dalam kepala Amar, atau sebenarnya fikiran positif. Patut sahaja dia memberikan Sarah kebahagiaan yang Sarah patut dapat dan lagi pula, apalah sangat yang dia boleh bagi kepada Sarah. Amar mula berfikir dan terus berfikir. Makin serius fikirannya kalini bila berjumpa depan-depan lelaki yang dikagumi Sarah itu. 

“Bagus betul lelaki macam Zaim tu kan? Jarang dah nak jumpa lelaki sebaik dia.” Sarah menambahkan lagi kekusutan dalam kepala Amar.

****

Nukilan,

Mohammad Rusdi Bin Hasbullah

Leave your vote

13 Points
Upvote Downvote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.