Detik 16 September 1963 telah melakar sejarah pembentukan sebuah negara baharu bernama Malaysia hasil penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura. Sejak dari tarikh keramat itu kita dikenali secara rasmi sebagai Malaysia sehingga ke hari ini. Tidak kira orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Bajau, Dayak, Melanau mahupun etnik minoriti yang lain semuanya beridentitikan sebuah negara yang sama.
Walaupun Singapura kemudiannya menarik diri dan Brunei pula tidak berhasrat untuk bergabung, namun pada akhirnya gabungan negeri-negeri di Semenanjung bersama dengan Sabah dan Sarawak berjaya membentuk sebuah negara yang kuat, bebas dan berdaulat sehingga ke hari ini. Justeru selama 57 tahun kita sudah hidup sebagai sebuah negara yang menyatupadukan pelbagai etnik dan agama di bawah satu bumbung yang aman, damai dan sejahtera.
Jelas sekali kepelbagaian adalah kekuatan utama kita.
Ironinya, sejarah penjajahan serta kemerdekaan tanah Melayu dan pembentukan Malaysia telah melalui satu proses yang sangat panjang yang disulami pelbagai cabaran serta onak ranjau yang berduri. Bukan mudah untuk kita menyatukan semua negeri, wilayah dan lapisan masyarakat, serta bukan mudah juga untuk kita berada pada kedudukan sekarang. Jadi kita perlu terus beriltizam untuk mempertahankan apa yang ada ini supaya kehidupan, kebebasan dan kedaualatan negara dan rakyat sentiasa terjamin dan terpelihara.
Dalam konteks ini sedarlah betapa kitalah benteng yang mampu mempertahankan nasib dan masa depan kita, anak cucu dan juga negara. Ringkasnya, kitalah Malaysia dan Malaysia adalah kita. Selepas 63 tahun merdeka dan 57 tahun bergabung membentuk sebuah negara, kita sudah tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Negara lain semakin berlumba-lumba maju ke hadapan, justeru kita tidak boleh lagi membiarkan perkara-perkara yang boleh menganggu gugat keamanan, perpaduan nasional dan kesejahteraan rakyat dan negara terus berlaku tanpa noktah.
Tuntasnya, tidak boleh ada lagi ruang untuk persengketaan mahupun perselisihan antara kaum serta ketidakseimbangan pembangunan antara negeri mahupun wilayah. Inilah masanya untuk kita menjadi bangsa Malaysia yang bersatu padu dan tidak lagi berpaksikan identiti kaum, etnik mahupun wilayah masing-masing.
Kita adalah Malaysia, darah kita sama warnanya, kita bernaung di bawah bendera yang satu dan kita adalah harapan dan benteng tanah bertuah ini. Jadi semua kaum yang ada perlu menzahirkan kesepaduan dan perpaduan tanpa berbelah bagi jika mahu terus mencipta kejayaan. Berbanggalah dengan satu identiti yang sama sebagai satu bangsa yang kental dan mampu menjadi sebuah negara yang maju mengikut acuan kita sendiri.
Hakikatnya inilah satu-satunya negara yang kita ada. Terimalah dengan seadanya apa yang kita ada ini. Terimalah kenyataan bahawa seluruh warga bumi bertuah ini merangkumi orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Bajau, Dayak, Melanau dan semua etnik minoriti yang lain adalah rakan dan saudara yang memiliki hubungan yang sangat istimewa umpama air dicincang tidak akan putus. Baik ketika senang mahupun ketika susah kitalah yang akan saling bersama dan bantu membantu antara satu sama lain.
Justeru sudah tiba masanya untuk kita meletak titik noktah kepada perkara-perkara yang selama ini menjadi duri dalam daging yang cuba merosakkan perhubungan sesama kita. Pertalian yang wujud antara kita perlu merentasi sempadan agama, bangsa, negeri, wilayah dan politik perkauman sekali gus kita perlu fokus untuk terus memajukan negara yang disayangi ini.
Jangan kita persia-siakan jasa dan sumbangan tokoh-tokoh besar yang merintis jalan ke arah pembentukan Malaysia seperti, Tunku Abdul Rahman, Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Temenggong Jugah Anak Barieng serta yang lain-lain. Ingat, kerana mereka kini kita bersatu sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu padu.
Ayuh warga sekalian, sedarlah Malaysia itu merangkumi, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah. Usah dibeza mahupun dibandingkan sesama kita lagi. Kita perlu terus berusaha untuk memajukan setiap negeri dan setiap etnik yang ada dalam segala aspek supaya pada akhirnya negara kita boleh menjadi negara maju secara total. Tuntasnya, negara bertuah ini negara kita bersama dan kita adalah Malaysia! Selamat Menyambut Hari Malaysia!
Disediakan oleh,
Noor Mohamad Bin Shakil Hameed
Pentadbir di Universiti Awam dan Penganalisis Isu Semasa.