Ketika berbicara tentang cinta dan kasih, pasti di minda kita akan terbayang hal-hal yang berkaitan dengan kisah cinta antara hamba kepada Tuhannya, cinta antara pasangan suami isteri, kasih sayang ibu bapa kepada anaknya, kasih tuan kepada haiwan peliharaannya dan sebagainya.
Allah s.w.t yang bersifat Maha Pemurah lagi Maha Pengasih menganugerahkan perasaan ini kepada makhluknya sebagai salah satu nikmat diantara nikmat-nikmat yang tidak terkira hitungnya. Walaupun kita tidak dapat menyentuh dan melihat perasaan kasih itu dengan mata kasar, tetapi merasakan cinta dan kasih itu sahaja mempu membenihkan mutiara bahagia dalam hidup kita. Ungkapan Buya Hamka di dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck sudah cukup untuk kita tenung dan teliti mutiara katanya.
“Cinta bukan mengajarkan kita untuk lemah, tetapi membangkitkan semangat dan kekuatan.”
Melewati kisah tulus antara dua individu yang diciptakan oleh Tuhan di atas muka bumi, keutuhan kasih suci mereka terpelihara sehingga hujung nyawa. Dalam erti kata lain, mereka meninggalkan dunia ini bersama-sama, kurang beberapa detik dan waktu antara satu sama lain. Bahkan, keutuhan ikatan hati mereka bukan cuma didunia, tetapi juga di alam lain.
Pada 21 Ogos 2020, melaporkan kisah suami isteri di Makasar, Indonesia meninggal dunia hanya selang satu jam iaitu Kiai Idrus yang berusia 76 tahun merupakan tokoh agama yang disegani dan berkeperibadian mulia meninggal dunia selang satu jam setengah selepas isterinya, Siti Saniah dijemput Ilahi. Dikhabarkan bahawa arwah Kiai Idrus sempat mengajarkan isterinya kalimah syahadah. Namun, jasad dan hatinya turut menuruti sang isteri ke alam lain dengan izin Allah s.w.t dan ketentuan takdirNya.
Selain itu, keratan akhbar Kosmo Online yang melaporkan pasangan warga emas yang telah mengikat tali perkahwinan selama 64 tahun meninggal dunia selang 15 jam antara satu sama lain di Hulu Terengganu, Terengganu. Wan Zainun Wan Chik yang berusia 84 tahun menghembuskan nafas buat kali terakhir pada pukul 6.48 pagi di hospital kerana penyakit kanser usus yang dihidapinya. Manakala, suaminya Wan Yahya Wan Husein yang berusia 87 tahun meninggal dunia selang 15 jam selepas isterinya meninggal dunia. Menurut anak sulung mereka, ayah mereka kelihatan begitu sedih ibarat kehilangan separuh nyawanya apabila ibu mereka dimasukkan ke hospital.
Adakah kalian masih ingat novel karangan Buya Hamka yang begitu menusuk hati?
Malah, novel yang bertajuk “Di Bawah Lindungan Kaabah” ini turut diangkat ke layar filem. Kisah kesetiaan Zainab terhadap Hamid sememangnya tidak dapat disangkal lagi, sehingga ada ungkapan yang mengatakan “biarkan Zainab dengan pilihan hatinya.”Selepas mereka berdua berbalas bicara buat kali terakhir di dunia ini melalui surat, Zainab sempat meluahkan isi hatinya kepada Hamid, sebagai kata-kata terakhir. Setelah itu, Zainab dan Hamid dijemput Ilahi kurang beberapa detik antara keduanya.
Kesimpulan kisah percintaan mereka ini adalah tentang nilai keikhlasan dalam memberi dan menerima rasa kasih dan cinta. Cinta itu tidak terhad kepada cinta sesama makhluk sahaja, bahkan hamba kepada pencipta. Cinta tidak akan lengkap jika tiada salah satu iaitu memberi dan menerima. Penulis melabuhkan tirai penulisan ini dengan bait-bait kata dari Zainab kepada Hamid :
“Hamid, jika dunia ini terlalu sempit untuk kita. Biarlah Allah membukakan pintu lain untuk kita. Ke tempat yang segala sesuatu menjadi abadi.”
Disediakan oleh,
Amal Fatinah