Setiap jiwa orang yang beriman, pasti memiliki hasrat yang murni iaitu ingin menjadi tetamu Allah SWT ke bumi Haramain (Dua Tanah Haram), iaitu Makkah dan Madinah. Sekiranya kita dijemput menjadi tetamu-Nya untuk beberapa hari atau minggu sahaja sudah dirasakan bertuah, apatah lagi sekiranya dijemput oleh Allah SWT sebagai orang yang bermastautin dan bermukim di dua Tanah Haram ini atau salah satu daripadanya. 

Dahulu, Makkah dan Madinah hanya dapat aku lihat menerusi kaca televisyen. Hati kecil sentiasa berbisik tatkala melihat jemaah umrah melakukan tawaf di Kaabah, ‘sempatkah aku menjejakkan kaki di bumi haramain ini, sebelum aku menutup mata buat selama-lamanya?’. Mungkin hati kecil berbisik di bumi yang hanya titik kecil ini, namun bisikan yang suci dan murni itu sampai kepada yang maha berkuasa atas segala sesuatu. 

Sewaktu ibu masih hidup, aku bercita-cita untuk melanjutkan pengajian di bumi Madinah. Namun, naluri seorang ibu yang sangat sayangkan anaknya menghalang cita-cita itu. Mulai saat itu, aku batalkan hasratku untuk menyambung pengajianku di bumi anbiyaa itu. 

Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Aku bersangka baik bahawa Allah SWT melihat pada diriku ini, masih ada hasrat yang sekecil zarah untuk menuntut ilmu di bumi Madinah al-Munawwarah. Mungkin juga bahawa Allah SWT melihat diriku ini ada potensi untuk pergi lebih jauh daripada apa yang aku rancangkan. 

Pada, 8 Mac 2021, Allah SWT telah memanggil Ibu ke rahmatullah. Walaupun hati masih berdukacita atas pemergian ibu, namun hati ini seakan-akan memahami mesej daripada Allah SWT, bahawa ada sesuatu yang Dia ingin sampaikan kepada aku. Aku lantas menyedari doa yang dahulu aku sentiasa sebut di setiap waktu solatku, iaitu ingin menyambung pengajian di bumi Madinah. Aku pun berkata sendirian, 

‘Dahulu mungkin ibu aku tidak mahu aku menyambung pengajian di bumi Madinah kerana tidak mahu berjauhan dengan aku, namun kini kami benar-benar berjauhan dan tidak akan bersama lagi. Maka, tidak ada alasan untuk aku tidak berusaha memohon dan melanjutkan pengajian di bumi Madinah!’.  

Aku pun mula mendapatkan informasi berkenaan cara-cara membuat permohonan melanjutkan pengajian di bumi Madinah al-Munawwarah.

19 Oktober 2021

“Tahniah Hamzani”, kata ustaz Khalilullah Amin, yang merupakan Ketua Jabatan Hadis dan Ulumuhu di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Setelah melihat gambar yang dihantar oleh ustaz Khalilullah Amin di Telegram, aku menangis gembira kerana melihat namaku tersenarai di dalam senarai pelajar Malaysia yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah (UIM). Selang beberapa minit pula, Dr. Azwira Abdul Aziz, yang merupakan Dekan Fakulti Al-Quran dan Sunnah, KUIPs menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp dengan menyatakan ucapan tahniah kepada aku kerana telah berjaya mendapat tawaran ke UIM. Aku seakan-akan tidak percaya akan senarai nama tersebut, dan aku sendiri yang mengesahkannya dengan melayari laman sesawang rasmi UIM. 

Sesungguhnya, Allah SWT benar-benar sebaik-baik perancang. Mungkin Allah SWT telah mengambil Ibu daripada aku dan adik-beradikku, namun Allah SWT menggantikan sesuatu yang baik dan bermanfaat untuk ibu ku di alam sana kelak. Bukankah jika aku belajar di bumi Madinah, aku boleh belajar menjadi orang soleh dan alim, dan seterusnya aku mampu mendoakan beribu-ribu kebaikan buat ibu dan ayahku di alam sana?  Bukankah doa anak soleh itu merupakan saham yang mengalir buat ibu bapa yang telah meninggal dunia? Oleh sebab itu, aku menganggap pemergian ibu dan ayahku, bukanlah sial atau nasib malang buat diriku. Bahkan, aku menganggap ia merupakan latihan daripada Allah SWT buat diriku dan adik-beradikku untuk menjadi manusia yang lebih kuat pada masa hadapan.

22 Januari 2022

Letter

Description automatically generated with medium confidence

Tarikh keramat yang aku amat nantikan, sejak daripada nama aku tersenarai sebagai pelajar Malaysia yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah (UIM). Aku bersama 14 orang pelajar Malaysia yang lain pergi meninggalkan keluarga yang kami cintai untuk berjihad di jalan-Nya. Sewaktu pesawat ingin terbang, aku berbisik kepada Tuhan yang Maha Mendengar.

 ‘Kini, aku ingin terbang dan bermusafir menyahut seruan menjadi tetamu-Mu sebagai Tolibul ‘Ilmi di tanah impian orang-orang yang beriman. Aku terbang membawa harapan dan nafas baru untuk masyarakat Darul Hana (Sarawak) sekembalinya aku kelak dari permusafiran (Inshaallah). Aku titipkan dua puteri ibu ku di bumi Malaysia, jagalah mereka, jangan Engkau matikan aku sebelum mereka berdua aku serahkan kepada orang yang layak untuk menjaga keduanya. Aku juga terbang membawa doa dan harapan orang yang mengenali aku dan mereka ingin sekali sekiranya doa mereka aku dapat sampaikan di bumi barokah itu’.

23 Januari 2022

Segala puji bagi Allah, aku beserta 14 orang lagi pelajar Malaysia selamat tiba di bumi Madinah al-Munawwarah pada pukul 10 pagi. Perjalanan yang mengambil masa selama 14 jam (Kuala Lumpur- Jeddah – Madinah), amat meletihkan. Namun, hutang berpenat lelah selama 14 jam tersebut terlunas setelah melihat pintu gerbang universiti idaman. Mungkin sebelum ini pintu gerbang UIM hanya dapat dilihat di media sosial. Kini, aku benar-benar berada di hadapannya. Melihat ia berdiri megah, seni bina dan seni ukir yang sungguh mempesona. Aku berkata kepada diri, bahawa adakah aku masih bermimpi? Jika benar aku bermimpi, aku berharap agar aku tidak akan sedar dari mimpi ini. 

A picture containing sky, outdoor, building, arch

Description automatically generated

Universiti yang telah melahirkan puluhan ribu alim ulama yang disegani di seluruh dunia pada hari ini. Antara tokoh pendakwah Malaysia yang dikenalpasti sebagai alumni dari UIM ialah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri, Dato’ Dr. Abdul Basit, Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Othman, Dr. Kamilin Jamilin, Dr. Azwira Abdul Aziz, Dr. Fathul Bari dan lain-lain. Begitu banyak jasa dan sumbangan tokoh-tokoh ini dalam pentas dakwah di Malaysia. 

Setibanya kami (pelajar baru) di UIM, pihak PERSADA cawangan Madinah (Persatuan Mahasiswa  Malaysia Arab Saudi) membantu kami untuk menguruskan urusan pendaftaran masuk ke UIM. Aku memilih untuk masuk ke Maahad Ta’alim al-Lughah al-‘Arabiyyah Li Ghairi Naatiqina Biha, iaitu sebuah Pusat Bahasa Khas di UIM, buat mereka yang masih newbie di dalam mempelajari Bahasa Arab atau mereka yang ingin memantapkan lagi penguasaan Bahasa Arab sebelum masuk ke kuliah-kuliah yang terdapat di UIM. 

Penguasaan Bahasa Arab di UIM amat penting, kerana kesemuanya memerlukan penguasaan Bahasa Arab yang baik. Bermula dari pertuturan hingga kepada kemahiran membaca dan merujuk kitab, kesemuanya memerlukan kemahiran Bahasa Arab yang baik. Jika di Malaysia, mungkin pelajar-pelajar pengajian Islam masih boleh merujuk kitab-kitab terjemahan berbahasa Indonesia, Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Namun, UIM hanya kitab-kitab dalam Bahasa Arab sahaja yang digunakan sebagai rujukan utama.

A person standing in front of a building with bicycles parked on the side

Description automatically generated with low confidence

Aku amat kagum dengan abang-abang senior PERSADA yang amat fasih berbahasa Arab ketika mereka membantu kami menguruskan urusan pendaftaran kami di pejabat pendaftaran UIM. Aku menyoal diriku sendiri, ‘adakah aku mampu bertutur sefasih itu suatu hari kelak?’. Menguasai Bahasa Arab dengan sangat baik merupakan cita-cita terbesarku. Hal ini demikian kerana ia merupakan Miftahul ‘Ilmi (Kunci Ilmu). “Tanpa kunci, bagaimana pintu yang terkunci mampu dibuka?”.

22 Februari 2022

Hari ini, genap sebulan sudah aku berada di bumi Madinah. Walaupun agak sukar pada awalnya menyesuaikan diri di kota Nabi ini, namun aku masih gagahkan diri untuk terus bertahan. Mana tidaknya, perubahan cuaca yang agak ‘tiba-tiba’ bagi aku sebagai ‘penduduk baru’ negeri ini, perangai dan kebiasaan masyarakat Arab yang memeningkan kepala, dan lain-lain. Namun, berkat kesabaran dan rasa ingin tahu yang membuak-buak di dalam diri, menguatkan aku untuk terus melihat dan belajar menyesuaikan diri di kota suci ini. Hadis Nabi SAW juga antara yang menguatkan semangat aku untuk terus bertahan di kota ini. Hadis yang diriwayatkan Sa’ad bin Abi Waqas RA:

الْمَدِينَةُ خَيْرٌ لَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ، لَا يَدَعُهَا أَحَدٌ رَغْبَةً عَنْهَا، إِلا أَبْدَلَ اللهُ فِيهَا مَنْ هُوَ خَيْرٌ مِنْهُ، وَلا يَثْبُتُ أَحَدٌ عَلَى لَأْوَائِهَا وَجَهْدِهَا، إِلا كُنْتُ لَهُ شَهِيدًا أَوْ شَفِيعًا يَوْمَ الْقِيَامَة

Maksudnya: “Kota Madinah lebih baik bagi mereka seandainya mereka mengetahui. Tidaklah seseorang meninggalkan kota Madinah karena benci kepadanya, kecuali Allah akan menggantikannya dengan orang yang lebih baik darinya, dan tidaklah seseorang tetap tegar atas kesusahan dan kesulitan kota Madinah, nescaya aku akan menjadi saksi dan pemberi syafa’at baginya pada hari kiamat.”

[HR. Imam Muslim, No.1363]

Suatu pendustaan jika aku katakan selama sebulan di kota ini, perasaan berputus asa itu tidak timbul di dalam diri ini. Pasti akan ada. Lebih-lebih lagi jika berdepan dengan perkara-perkara yang menyulitkan aku, seperti kesulitan untuk berkomunikasi dengan masyarakat Arab disebabkan tidak faham bahasa Ammiy (bahasa daerah) atau tidak faham langsung disebabkan percakapan yang terlalu pantas dan kekurangan mufradat (perkataan-perkataan Arab). Namun, senior-senior Malaysia dan kawan-kawan seperjuangan sentiasa memberi sokongan, dorongan dan kata-kata semangat untuk terus berusaha, di samping doa-doa dari keluarga dan kenalan di Malaysia membuatkan aku terus kuat hingga ke hari ini. Kadang-kadang aku berkata kepada diri aku, 

‘Aku sudah habiskan ratusan ringgit untuk urusan sambung pengajian di UIM, tidak mungkin aku akan berhenti setakat ini sahaja. Masyarakat di bumi Kenyalang, menunggu kepulangan aku dengan ilmu agama. Masyarakat aku sedang tenat, dan kehausan ilmu agama. Tidak mungkin aku akan biarkan mereka terus kehausan dan tenat begitu sahaja’. 

Aku tersentap dengan suatu perkataan yang ringkas, namun agak mendalam maknanya bagi aku. Iaitu, هل نسيت أنك في المدينة؟ yang maksudnya, ‘Adakah engkau lupa, bahawa sesungguhnya engkau berada di bumi Madinah?’. Kata hikmah yang ringkas ini seolah-olah teguran daripada Allah Azza Wajjal buat aku, jika aku hendak mengalah, berputus asa atau lalai sehingga aku lupa akan tujuan asal aku berada di kota ini (iaitu menuntut ilmu). Di dalam bas universiti, aku sentiasa memperbaharui niat sewaktu dalam perjalanan ke universiti bahawa aku belajar hari ini kerana Allah SWT. Mungkin aku masih ‘kosong’ hari ini, mudah-mudahan setiap kali kepulangan aku ke Malaysia kelak, pasti akan ada perkara atau ilmu baharu yang aku dapat kongsikan kepada masyarakat aku. Insha-Allah. Demikianlah catatan ringkas yang aku namakan, Al-Kisah Anak Kampung Di Bumi Madinah!

Disediakan oleh,

Muhammad Hamzani Al-Kanowiti,

Pelajar Mustawa 2, Maahad Lughah Lii Ghari Natiqina Biha, 

Universiti Islam Madinah. 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.