“SU, terima kasih tau carikan buku ni untuk aku.  Kenapalah aku cari tak jumpa.. aku rasa aku dah cari pakai mata.” kata Laila sambil menekan-nekan mesin itu. Sumaiyah tergelak kecil mendengar omelan sahabat karibnya itu sambil membalas, “takde apalah, mungkin ada hamba Allah yang tergerak hati nak hantar buku ni supaya kau dapat pinjam.” Begitulah kata-kata seorang Sumaiyah yang dikenalnya dari tingkatan satu lagi, yang keluarnya hanya perkataan baik-baik belaka dan menenangkan hati. Puji Laila di dalam hati. 

“Dah, jom!” ajak Laila sambil menarik resit pinjaman buku yang keluar dari mesin canggih itu. “Su!” terdengar suara seorang lelaki yang seperti dikenalnya itu memanggil dari arah belakang sebaik sahaja mereka keluar dari pintu kaca perpustakaan itu. Laila mula berdebar tidak semena-mena. Macam suara.. 

“Eh Nuaim, ingatkan siapa tadi.” kata Sumaiyah kepada lelaki yang sedang menghampiri mereka itu. Nuaim, lelaki yang tinggi lampai dan berkulit sawo matang itu melemparkan senyuman manis kepada mereka berdua. Laila mulai gelisah, ingin sahaja dia beredar dari situ. 

“Dari dalam library lagi saya perasan awak. Pinjam buku ke?” tanya lelaki yang bernama Nuaim itu kepada Sumaiyah. “Eh tak, Laila ni haa kawan saya yang pinjam buku, saja teman dia.” jawab Sumaiyah bersahaja. “Oh macam tu, saya cuma nak beritahu yang meeting kita tak jadi malam ni ya.” kata Nuaim kepada Sumaiyah sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak berapa gatal. 

Sumaiyah tersenyum mengangguk dan menjawab, “Saya pun ada baca semalam mesej dalam group whatsapp berkenaan penangguhan meeting malam ni, baiklah kalau takde apa-apa lagi saya gerak dulu ya, assalamualaikum.” Sumaiyah terus menarik tangan Laila yang kaku seperti patung cendana dari tadi menuruni anak tangga perpustakaan. “Waalaikumussalam..” jawab Nuaim tercengang-cengang sambil anak matanya menghantar pergi susuk tubuh mereka berdua sehingga hilang dari pandangan mata.

LAILA membancuh air milonya dan mencapai biskut kering di atas meja belajarnya. Dia menghirup air kegemarannya perlahan-lahan. Matanya tertumpu pada komputer riba sambil membelek-belek buku yang dipinjamnya semalam. Dia cuba menumpukan perhatian pada tugasannya namun fikirannya masih lagi terganggu dengan peristiwa semalam. 

Ya, kerana lelaki itu. Nuaim, lelaki yang telah mencuri hatinya sejak dari semester dua pengajiannya. Selain mukanya yang iras-iras penyanyi Khai Bahar itu dia juga seorang yang sangat aktif dengan persatuannya. Sebagai seorang presiden Kelab Mahasiswa Prihatin di universiti menampakkan ciri-ciri kepimpinannya yang menarik hati Laila. Dia juga sering terlibat dengan aktiviti sukan, bahkan pernah menerima anugerah dekan seperti yang diceritakan Sumaiyah kerana sahabatnya itu pernah beberapa kali sekelas dengannya. Senang kata, memang sempurnalah seorang lelaki yang bernama Nuaim itu di mata Laila. Perwatakan yang ada padanya benar-benar membuatkannya tidak keruan. 

“Berangan ke buat kerja tu?” usik Sumaiyah apabila melihat Laila berada dalam dunianya sendiri. Mendengar suara kecil Sumaiyah itu serta-merta hilang semua bayangan dan lamunannya sebentar tadi. Laila sengih. Matanya yang sepet itu bertambah sepet apabila tersengih seperti kerang busuk. “Kalau Su tahu aku syok dekat si Nuaim tu malu tujuh keturunan aku”, bisik hati Laila. Dia hanya mampu menaruh perasaan yang hampir tiga tahun itu namun dia sedar bahawa dirinya tidak layak untuk mendampingi lelaki sempurna seperti Nuaim. Lelaki mana yang berkenan kepada seorang Laila yang ‘suam-suam kuku’ ini, gumam hatinya.

“Su, aku nak tanya sikit boleh? Kau jawab jujur tau!” Laila tiba-tiba bersuara memecah kesunyian pada pagi itu setelah agak lama mendiamkan diri. Sumaiyah mengangguk sambil berkata, “apa dia?”. “Hmm, kau ada suka dekat seseorang tak? Yelah memandangkan ini adalah last semester kita jadi aku rasa mestilah kau dah ada someone special.” soal Laila. Sumaiyah tersenyum dan menggeleng. 

“Laila, aku serahkan semuanya kepada Allah akan segala urusanku termasuklah soal jodoh aku. Tapi doa sahaja tidak cukup. Usaha perlu seiring dengan doa. Aku nak suami yang soleh, jadi aku pun mesti berusaha untuk menjaga diri aku agar aku mampu menjadi wanita solehah. Aku nak suami yang penyayang, jadi aku perlu belajar untuk berlemah lembut dan menyayangi insan lain. Sekiranya niat kita betu,l in syaa Allah jodoh itu akan dipermudahkan. Sejujurnya aku tidak menyimpan perasaan pun kepada mana-mana lelaki.” jawab Sumaiyah tenang. Laila terkesan dengan kata-kata sahabatnya. Benar apa yang diperkatakan Sumaiyah. Untuk mendapatkan yang terbaik kita perlu berusaha jadi yang terbaik. Dalam hatinya dia berasa lega kerana ini bermakna Sumaiyah tidak mempunyai perasaan terhadap Nuaim.

LAILA menyarung beg Gucci-nya ke bahu sambil berjalan keluar dari kelas. Jam tangannya dilirik. Pukul 11 tengahari. Makanlah kejap, bisiknya sendiri sambil menaiki anak tangga menuju ke kafe. Suasana kafe agak lengang. Selesai sahaja membayar dia terus mengambil posisi meja makan yang berdekatan dengan tasik. Laila menyuap nasi ayamnya. Video ceramah ustaz kegemarannya itu menjadi peneman. 

“Assalamualaikum, Laila kan?” sapa lelaki yang amat dikenalinya itu. Hampir saja nasi ayam di dalam mulutnya itu tersembur keluar. Dia mengangkat muka, tak silap lagi. “Wa..alaikumussalam, ya saya.” jawabnya teragak-agak. “Saya Nuaim, kawan Sumaiyah. Boleh saya duduk sekejap?” pintanya kepada Laila yang kebekuan di situ. Alamak kenapa dia nak duduk sini pulak, atau ini petanda awal untuk dia mengenali aku, gumam Laila sendiri. “Err.. duduklah” jawabnya ragu-ragu. Nuaim senyum sambil mengambil posisi di hadapannya. 

“Sebenarnya, saya ada perkara penting untuk disampaikan, perkara ni lebih kepada soal hati dan perasaan” ujar Nuaim tenang. Hati Laila tidak keruan, jantungnya berdegup deras seakan-seakan baru sahaja berlari 400 meter. Dia tidak tahu untuk memberi reaksi apa kepada lelaki yang sudah lama mencuri hatinya itu. “Saya kurang faham..” jawab Laila seringkas mungkin.

“Sejujurnya saya sudah lama menyimpan perasaan kepada Sumaiyah. Dari awal perkenalan lagi sewaktu sekelas dengannya dan penglibatannya dalam persatuan membuatkan saya lebih mengenali peribadinya. Sungguh saya amat berkenan dengan akhlaknya dan saya serius untuk memperisterikannya. Saya tahu Laila kawan baik Su dan saya tahu dia sangat rapat dengan awak. Dan saya harap awak sudi untuk sampaikan hasrat saya kepadanya” kata Nuaim yakin. 

Laila terkaku. Degup jantungnya tidak lagi kencang seperti tadi bahkan seolah-olah tidak bergerak sedikit pun. “Ya Allah, apakah benar apa yang aku dengar sebentar tadi dari mulut seorang lelaki yang sudah lama bertakhta di hatiku? Kenapa Sumaiyah?” soal Laila sendiri. Nuaim mengetuk meja makan sambil berkata, “Laila, awak dengar tak?”. Dia tersentak dari lamunan kekecewaan. “Err..ya saya dengar. Nanti saya beritahu Su. Saya gerak dulu, assalamualaikum..” balasnya sambil tangannya laju mencapai beg dan telefon bimbitnya. Langkahnya laju menuruni anak tangga kafe. Air matanya tumpah jua. 

SUDAH seminggu peristiwa di kafe tempoh hari berlalu. Sudah seminggu jugalah dia tiada mood untuk bercakap dengan Sumaiyah. Sumaiyah pula bingung memikirkan sikap Laila yang tiba-tiba berubah. Tanya sepatah, jawab pun sepatah. Laila tahu Sumaiyah tentu susah hati. Namun hatinya jauh lebih susah memikirkan peristiwa itu. Sehingga ke hari ini dia belum menyampaikan hasrat lelaki yang telah membuat hatinya hancur. 

“Patut ke aku beritahu Su?” soalnya sendiri. “Kalau dia terima macam mana?” dia membuat andaian. Jauh di sudut hatinya dia berasa bersalah kerana tidak memberitahu niat baik lelaki itu kepada Sumaiyah. Laila mengeluh lagi.

“Su, aku nak cakap sikit.” kata Laila sambil meletakkan punggungnya di sebelah sahabatnya itu. Sumaiyah leka membaca buku tulisan Tuan Guru Haji Hadi Abdul Awang di atas katil bujangnya. “Ya Laila, macam serius je.” balasnya bercanda. Laila senyum tipis sambil menundukkan kepala. Mengumpul kekuatan untuk berbicara. Dia cuba untuk bersikap ‘normal’ di hadapan kawannya itu. Dia tidak mahu Sumaiyah mengesyaki hatinya yang sebenar. “Tempoh hari Nuaim datang jumpa aku dekat kafe. Dia minta tolong aku sampaikan sesuatu kepada kau..” kata Laila. Kening dan dahi Sumaiyah berkerut mendengar cerita Laila. Pelik agaknya. 

“Sebenarnya dia dah lama suka dekat kau. Dia berhasrat untuk jadikan kau sebagai isterinya.” sambung Laila terpaksa. Hatinya luluh. Sumaiyah tunduk. Dia menutup buku kegemarannya itu. “Macam mana?” tanya Laila ingin tahu. Jauh di lubuk hatinya berharap yang sahabat karibnya itu akan menolak. “Aku tak boleh nak bagi keputusan sekarang. Aku perlu berbincang dengan mak ayah aku dulu. Dan paling penting aku perlukan petunjuk dari Allah. Dengan istikharah.” jawab Sumaiyah tenang. Laila hanya mengangguk.

***

“TAK sangka kita dah habis degree. Alhamdulillah, rasa macam baru semalam je minggu orientasi.” kata Sumaiyah dengan ceria sambil mengemas barang-barang untuk di bawa pulang. Hari ini adalah hari terakhir mereka berada di universiti. “Itula.. sekejap je rasa” balas Laila sambil tangannya laju mengeluarkan kain baju dari dalam locker. “Nah kad kahwin aku, in syaa Allah majlis kami dalam tiga minggu je lagi. Kau jangan lupa datang tau, bawak family kau semua okay” pinta Sumaiyah teruja sambil menghulurkan kad berwarna pink.

“Lela, kau tak siap lagi? Dah lewat dah ni..” suara nyaring ibunya menyentak lamunan Laila. Dia melihat Puan Maryam sudah siap berbaju kurung merah tercegat di depan pintu biliknya. “Mak, orang rasa tak sedap badan la. Mak dengan ayah pergi jelah ya. Nanti sampaikan salam dan maaf pada Su.” dalihnya. Dia tak kuat untuk melihat hari bahagia Sumaiyah dan Nuaim. Kawan jenis apa aku ini, gumam Laila. “Kenapa ni? Tiba-tiba je..” kata ibunya sambil mendekati. Naluri ibunya dapat merasakan ada sesuatu yang berlaku kepada anak bongsunya itu. Laila hanya mampu menggeleng dan senyum. Maafkan Laila mak, bisiknya.

Tepat jam 8 malam. Telefon pintarnya berdering. Laila melihat sekilas skrin telefonnya. Nama dan muka Sumaiyah tertera. Dia mengeluh. “Assalamualaikum Lela..” suara kecil sahabatnya itu kedengaran jelas di telinganya. “Waalaikumussalam, Su.” jawabnya ringkas. “Tadi aku ada jumpa mak kau dia beritahu yang kau tak dapat datang sebab kurang sihat. Risau jugak aku. Kau okey tak?” soal Sumaiyah risau. “Err..aku okey je cuma tadi rasa tak sedap badan sikit. By the way, selamat pengantin baru Su.” ujar Laila. Air matanya bergenang.

Tak sampai 5 minit bersembang, Laila menamatkan perbualan. Dia tidak tahu mahu berbicara topik apa. Tidak seperti dulu, setiap kali cuti semester hampir setiap hari mereka on call. Paling kurang pun sejam berbual. tapi tidak lagi sekarang. Semua hanya kerana seorang lelaki. Air matanya tumpah lagi. Maafkan aku, bisiknya.

SUMAIYAH mengemaskan tudungnya buat kali terakhir di hadapan cermin. Dia mencapai kunci kereta. Kereta Honda miliknya itu dihidupkan dan terus meluncur keluar dari pekarangan rumah. Hari ini Sumaiyah nekad untuk berjumpa dengan Laila. Sudah lama dia tidak bersua muka dengan sahabat lamanya itu. Bukannya dia tidak perasan akan perubahan yang berlaku pada Laila selepas perkahwinannya. Hubungan mereka tidak lagi serapat dulu. Adakah kau sedih kerana aku bertemu jodoh dahulu? Tekanya sendiri. 

Sumaiyah tiba di sebuah firma guaman selepas 30 minit. Jam di tangan dilihat. Hampir masuk lunch hour. Dia mengeluarkan handphone dari beg tangannya. “Assalamualaikum Laila, aku dah sampai depan pejabat kau ni. Jom kita makan sama-sama.” sapanya ceria. “Waalaikumussalam, kenapa tak cakap nak datang? Okay aku turun jap.” suara Laila kedengaran agak terkejut. 

Dia tersenyum tatkala melihat Laila muncul di hadapannya. Sekian lama dia memendam rindu. “Lela, rindunya..” luahnya sambil memeluk erat sahabatnya itu. Laila senyum. “Aku pun rindu kau..” jawabnya menahan sebak. “Jom kita gi makan..” ajaknya sambil menarik tangan Sumaiyah.

“Macam mana jadi isteri orang? Seronok tak?” tegur Laila bersahaja. Dia cuba melupakan peristiwa pahit itu. “Alhamdulillah. Tak nakla cerita pasal aku. Kau macam mana? Sihat tak?” jawab Sumaiyah cuba menukar topik. Laila senyum. Jus orennya disedut perlahan. “Alhamdulillah. Sibuk sikit.” katanya ringkas sambil melemparkan senyuman. “Laila, aku harap kau jujur. Maaf kalau aku bertanya, kau marah ke aku kahwin? Bukan apa, aku perasan hubungan kita makin renggang selepas aku buat keputusan untuk nikah. Persahabatan kita tak macam dulu.” luah Sumaiyah sambil perlahan memegang tangan sahabatnya itu.

Laila menyedari hakikat itu. Dia tunduk. Perlu ke aku jujur, soalnya sendiri. “Betul kau nak tahu?” tanya Laila inginkan kepastian. Sumaiyah mengangguk laju. Laila menarik nafas dalam-dalam. “Sebenarnya aku dah lama menyimpan perasan terhadap Nuaim. Dari tahun satu lagi. Tapi aku segan nak beritahu kau. Lepas aku dapat tahu dia suka dan serius dengan kau, aku kecewa. Aku kecewa sangat. Aku tak mampu untuk melihat hari bahagia kau sebab hati aku begitu terluka. Hanya Tuhan yang tahu perasaan aku waktu tu.” luah Laila akhirnya. 

Sumaiyah tidak berkelip. Seakan-akan tidak percaya. Matanya mula bergenang. Perlahan dia menunduk. “Kenapa kau tak terus terang dengan aku? Kenapa kau rahsiakan perkara ni? Aku minta maaf Laila. Sungguh aku tak tahu.” balasnya menahan sebak. “Pernah ke kau tanya aku, aku suka siapa? Tak pernah. Layak ke aku untuk Nuaim? Tak layak Su.” kata Laila kecewa. “Tak apalah Su. Aku faham. Kau tak bersalah. Ini semua takdir Allah.” sambungnya lagi. 

“Laila, aku betul-betul minta maaf. Silap aku kerana tak ambil tahu isi hati kau dulu. Laila, aku rela kau kahwin dengan Nuaim. Aku tak kisah dimadukan.” kata Sumaiyah sambil mencapai tangan kawannya semula. Hampir menitis air matanya. “Sudahlah Su, jangan cakap bukan-bukan..” balas Laila. Dia agak terkejut dengan respon sahabatnya itu. “Laila, aku sanggup sekalipun aku harus minta cerai daripada Nuaim supaya kau dapat kahwin dengan dia. Aku nak kau bahagia”. Laila terkejut. Dia bangun dari kerusi. “Jangan mengarutlah Su! Aku dah reda dengan semuanya. Kebahagiaan aku bukan terletak pada Nuiam!” Dia mengambil tas tangannya dan perlahan meninggalkan Sumaiyah sendiri.

Sumaiyah menyeka air matanya. Namun air matanya setia membasahi. Ya Allah, kenapa selama ni aku tidak sedar? Aku telah menyakiti hati sahabatku sendiri, bisiknya. Stereng kereta dipulas ke kiri. “Allahuakbar!” jerit Sumaiyah apabila menyedari keretanya hilang kawalan dan merempuh lori dari arah berlawanan. Kepalanya tepat mengenai cermin kereta hadapan. Tubuhnya kaku.

 LAILA perlahan-lahan memasuki wad. Dia mendekati Sumaiyah yang terbujur kaku. Air matanya menitis perlahan. “Maafkan aku Su. Ini semua salah aku. Aku tak sepatutnya beritahu kau.” kata Laila teresak-esak. Dia memegang tangan sahabatnya itu. “Aku tak sepatutnya menyimpan perasaan kepada Nuaim dulu.” esaknya makin kuat. Dia merasakan tangan Sumaiyah bergerak-gerak. Dia mengangkat muka. Kelopak mata sahabatnya perlahan-lahan terbuka. 

“Cinta itu.. fitrah Laila. Kau.. tak salah. Aku yang.. perlu minta maaf. Aku pentingkan diri sendiri..” balas Sumaiyah perlahan-lahan. Matanya sayu melihat Laila. Laila terus memeluk Sumaiyah. Air matanya kian membasahi pipi.

Di sebalik tirai Nuaim menjadi saksi. Melihat Laila yang berada di sebelah isterinya sambil menangis membuatkan dia membatalkan niat untuk masuk. Malah terpaku di situ sehingga terdengar luahan mereka. Dia tergamam. Nuaim tidak menyangka dialah punca hubungan mereka tidak seerat dulu. Dia berlalu keluar dari ruang wad itu dengan rasa terkilan.

Laila menutup pintu wad perlahan-lahan. Dia mengesat sisa air matanya di pipi. Nafas ditarik perlahan. Dia dapat merasakan suatu kelegaan. Hatinya kini terasa lapang. Dia sudah mengikhlaskan segala-galanya. Ujian ini benar-benar mengajarnya. Hanya kerana seorang lelaki dia menyisihkan sahabatnya. Hanya kerana seorang lelaki hati dan fikirannya tidak tenang. Dan hanya kerana seorang lelaki dia bermusuh dengan takdir.

Dia sedar. Cinta itu tak seharusnya memiliki. Dia tahu. Sesuatu yang dianggap baik itu belum tentunya baik di sisi Allah. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Kita tidak mampu melawan takdir Tuhan. Sebagai hamba kita hanyalah mampu redha dan ikhlas dengan jalan yang telah Allah aturkan untuk kita. ‘Ma qadarullahu khair’, semua ketentuan Allah itu baik. Maka persangkaan yang baik itu perlu atas setiap takdir yang harus kita jalani. 

“Lela!” terdengar suara seorang lelaki memanggilnya dari arah belakang sebaik sahaja dia memasuki kawasan parkir. Dia pusing. Seorang lelaki berkemeja biru dan berkumis nipis itu sedang melambai ke arahnya sambil menghampiri. Fahmi rupanya, bisiknya. Kawan sekelasnya sewaktu di alam universiti dulu. “Lama tak jumpa, buat apa kat sini?” soalnya ceria. “Heheh, aku jenguk member aku tadi. Kau pulak?” tanya Laila. “Aku jaga mak aku kat sini, dah dua hari dah dia masuk wad.” balas lelaki itu dengan nada sedih. “Lah yeke, eh kalau macam tu aku nak tengoklah kejap. Boleh?” pinta Laila sambil tersengih. “Dah kenapa pulak tak boleh. Haha. Jom, jom.” ajaknya sambil mengatur langkah. Laila senyum sambil menggeleng.

-Tamat-

Nukilan,

Niki

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.