Mungkin makalah ini adalah tulisan saya yang paling takut dan berhati-hati untuk menulisnya. Insan kerdil seperti saya ini mungkin tidak layak untuk bercerita mengenai karya agung yang paling hebat pernah ditulis dari penulis Islam 100 tahun kebelakangan ini. (Diceritakan oleh Syeikh Hamza Yusuf). 

Di sini saya tidak ingin mengupas apakah isi kandungan buku, tetapi saya ingin memberi gambaran kasar mengenai pengalaman saya sebelum dan selepas membaca Islam dan Sekularisme ini. 

YM Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas (selepas ini Al-Attas) seperti mana yang kita ketahui adalah sosok pemikir agung yang sangat dihormati di Malaysia dan mungkin seluruh Nusantara, bahkan dalam dunia Islam. Seorang pemikir ulung, ulama, ahli sufi, dan ahli falsafah yang masyhur. Pemikiran dan gagasan beliau telah banyak dikaji dan diuji bukan sahaja di peringkat sarjana, tetapi dalam peringkat ijazah kedoktoran; dan pemikiran beliau masih dibedah dan dikupas sehingga saat ini.

Karya agung beliau ialah Islam and Secularism yang telah menjadi rujukan para ilmuwan dan pemikir Islam dan menjadi bahan rujukan terpenting apabila membicarakan isu seputar sekular, westernisasi, keilmuan, adab, dan konsep Islam itu sendiri.

Sebelum saya melangkah lebih jauh, saya ingin menerangkan mengenai percetakan buku ini terlebih dahulu. Buku asal bertajuk Islam and Secularism ini pertama kali diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1978. Indonesia menterjemahkan buku ini sebanyak dua kali – pertama kali pada tahun 1981 dan kali kedua diterjemahkan oleh Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris pada tahun 1993. Jika dinisbahkan, beliau adalah penterjemah yang berautoriti untuk menterjemahkan karya ini kerana beliau adalah anak didik Prof. Al-Attas.

Tidak lupa juga ‘edisi Khalif Muammar’ ini turut ditambah lagi dengan kata pengantar dari sahabat paling rapat Prof. Al-Attas yang kini memegang Kursi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib Al-Attas; Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang menulis kata pengantar yang sangat bermakna dan cukup untuk memahami apa yang akan didepani oleh pembaca kelak.

Buku ini disusun dengan begitu baik. Terdapat lima bab semuanya, jika saya mengupas satu per satu bab, nescaya saya dapat menulis sebuah disertasi paling tidak taraf ijazah sarjana! Bukannya meninggi diri, tetapi hanya memberi contoh – kerana bagi saya, satu-satu bab yang ditulis sangatlah tertib dan tidak seperti buku lain yang pernah saya telaah. Buku ini ada standardnya yang tersendiri.

Lima bab yang ditulis bertajuk (1) Latar Belakang Kristen Barat Masa Kini; (2) Sekular-Sekularisasi-Sekularisme; (3) Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak; (4) Dilema Muslim; dan (5) Dewesternisasi Ilmu. Turut juga terdapat bab tambahan iaitu Lampiran: Tentang Islamisasi Kasus Kepulauan Melayu-Indonesia.

Semua bab di dalam ini, ditulis dengan begitu panjang sekali ayatnya. Satu-satu ayat, jika tidak dibaca dengan teliti, pembaca tidak akan memahami dan perlu mengulangi pembacaannya, dan jika mengulangi pun, belum tentu dapat faham. Ia terjadi kepada diri saya juga. Walaupun sudah berhati-hati dan menggarisbawahi isi-isi penting, tetapi terkadang juga saya lost apa yang dibincangkannya. Juga, tidak semua saya faham, tetapi apa yang saya faham tersebut, membuatkan saya rasa buku ini memang sebuah magnum opus.

Ramai sahabat saya yang saya kenali telah mengunyah buku ini berkali-kali tetapi tidak faham sepenuhnya, antara sebabnya ia ditulis dalam bahasa Inggeris aras tinggi. Walaupun saya dapat membacanya dalam edisi Indonesia, struktur bahasa yang diterjemahkan juga sangat berkualiti.

 Prof. Al-Attas menulis buku ini dengan penuh hikmah dan kesungguhan dalam memberi faham kepada pembaca mengenai sekularisme dan Islam.

Mengenai konsep sekular, secara umumnya Prof. Al-Attas mendefinisikan sekular tersebut sama seperti sarjana-sarjana lain, tetapi secara halusnya, Al-Attas cuba menyelami masalah sekular dan dari mana akar sekular itu timbul dan cara bagaimana untuk mengelakkan sekularisasi itu dari berlaku dan merebak.

Satu anekdot yang menarik jika saya boleh kongsikan di sini mengenai tema ilmu. Saya membaca beberapa makalah dan jurnal mengenai konsep ilmu untuk tugasan saya dan Al-Attas adalah rujukan utama saya tetapi saya tidak membacanya sebagai sumber pertama. Tetapi apabila membaca Islam dan Sekularisme ini dari kulit ke kulit, barulah saya faham apakah itu ‘ilmu’ yang dicermati oleh Al-Attas. Walaupun bab bermula mengenai sejarah Kristian dan diakhiri dengan tema ilmu, tetapi saya merasakan seperti bab yang ditulis dari awal tersebut memberi pencerahan ‘apa itu ilmu’. 

Bab Dilema Muslim adalah bab terpenting dalam buku ini. Prof. Al-Attas menyatakan bahawa dilema yang sedang melanda kita disebabkan kehilangan adab (loss of adab). Al-Attas mendefinisikan apakah itu ‘adab’ dan bagaimana berinteraksi dengannya. Dan berkait pula bagaimana kita tidak mensekularkan adab tersebut sehingga kita menindakkan agama dalam pandangan alam (worldview).

Kenapa saya memilih Al-Attas untuk dibaca?

Jika dalam ruang lingkup pemikiran saya yang kerdil ini, sangatlah aneh jika saya menekuni Prof. Al-Attas. Sahabat-sahabat saya ada yang bertanya kenapa saya memasuki ladang pemikiran ini kerana saya dianggap seorang yang sekular dan liberal. Jika label ‘sekular’ dan ‘liberal’ tersebut tidak dapat digunakan kepada batang tubuh saya pun, rakan-rakan sekeliling saya tahu bagaimana pemikiran saya dan ke arah mana kecondongan cara fikir saya.

Sebenarnya saya sendiri seorang yang ‘selagi tidak dapat jawapan, selagi itu saya tidak berpuas hati.’ Sewaktu dulu, saya dengan jujurnya mengaku saya tidak berapa gemar kepada sesetengah pemikiran Al-Attas. Pertama kali saya menekuni Al-Attas ialah dengan membaca buku nipis Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1990) dan 90% saya tidak memahaminya!

Kemudian saya membeli buku Budaya Ilmu: Makna dan Manifestasi dalam Sejarah dan Masa Kini (2019) karya Wan Mohd Nor – mungkin pada umur tersebut, saya sudah sedikit matang, dan itulah benda yang saya cari selama ini. Budaya Ilmu itu ditulis dengan berbekalkan gagasan pemikiran Prof. Al-Attas dan Wan Mohd Nor menulis buku itu dengan begitu bagus.

Dan kemudian saya dikehendaki menyiapkan satu tugasan dalam pengajian saya yang memerlukan saya menelaah beberapa kertas, jurnal, dan buku. Beberapa kertas dan jurnal saya tekuni, dan rujukan utama saya ialah buku Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib Al-Attas (2005) yang juga ditulis oleh Wan Mohd Nor. Walaupun hanya beberapa bab atau cuplikan yang saya tekuni dari buku tersebut (sekadar menyiapkan tugasan pada ketika itu, masih tidak dibaca habis), saya dapati betapa hebatnya pemikiran agung Al-Attas ini.

Sehingga saat ini, saya masih ada beberapa perkara yang tidak dapat dijawab oleh diri sendiri mengenai Attasian (julukan kepada penganut pemikiran Al-Attas). Perkara tersebut merunsingkan saya, jadinya saya dengan rendah hati membaca sendiri karya beliau dan karya-karya mengenai pemikiran beliau. Pepatah Arab menyatakan bahawa manusia takut dengan perkara yang mereka tidak tahu, dan saya cuba untuk menelusuri lembah yang saya tidak tahu tersebut.

Nah, saya bertemu dengan Islam dan Sekularisme ini dan ia sebuah magnum opus Al-Attas dan ia sangat memberi faham kepada saya bagaimana cara fikir dan konsep atau gagasan yang dibawa oleh cendekiawan ulung ini.

Ibnu Sina sewaktu beliau menelaah Metaphysics karya Aristotle, beliau membacanya 40 kali dan masih lagi tidak faham. Kemudian dia bertemu dengan sebuah mukhtasar Metaphysics tersebut yang ditulis oleh Al-Farabi, secara terus Ibnu Sina faham apa yang ditulis oleh Aristotle itu. Saya bukan ingin menyamakan saya dengan Ibnu Sina, tetapi pengalaman ini seakan-akan sama. Sedangkan Ibnu Sina yang tidak tercapai dek akal kehebatannya tersebut perlu merujuk kitab lain untuk memahami tokoh lain, apalah pula diri kita yang kerdil ini?

Saya telah melalui fasa ini – fasa di mana ‘baca tapi tak faham’ dan ‘membenci kerana tidak faham’, dan ia satu proses pembelajaran.

Untuk memahami gagasan Al-Attas, mungkin pembaca perlu kepada bahan yang lebih ‘ringan’ seperti jurnal dan kertas akademik atau buku-buku yang menulis mengenainya.

Saya mula membaca Al-Attas dan tidak faham tersebut, apabila membaca jurnal dan buku mengenai pemikirannya, barulah saya mengerti apa yang sebenarnya dibawa oleh beliau. Selepas dari itu, membaca Islam dan Sekularisme ini menjadi lebih mudah untuk saya faham – walaupun bukan kesemuanya saya faham.

Sebuah karya agung, membicarakan mengenai perkara-perkara dasar dan besar. Sesebuah karya tidak menjadi ‘agung’ jika perkara yang dibincangkan tersebut bukannya perkara yang penting atau hanya picisan atau eceran. Islam dan Sekularisme ini temanya besar, dan ia sangat berjejak di bumi nyata. Tulisan-tulisan di dalam buku ini bukan hanya memberi faham kepada pembaca mengenai tema sekular, bahkan ia adalah satu saranan dan kajian baru yang tiada mana-mana sarjana sebelum ini menulis mengenainya. Wan Mohd Nor dalam kata pengantar menyifatkan buku ini adalah karya agung kulli yang mana membicarakan isu dasar, universal, sejagat, yang membincangkan mengenai perkara asas dalam kebudayaan barat dan Islam. 

Buku ini saya rasa tidak boleh dibaca jika pembaca tiada sedikit asas dalam memahami gagasan pemikiran Al-Attas. Adikarya ini terlalu hebat untuk dibaca tanpa memahami serba sedikit mengenainya dahulu.

Apa yang saya dapat simpulkan mengenai kehebatan Prof. Al-Attas melalui buku ini ialah beliau adalah seorang genius. Dan di sini saya ingin memberi poin kenapa Al-Attas ini genius melalui tulisan Islam dan Sekularisme ini. Ciri-ciri genius yang saya senaraikan ini diambil dari nota pelajaran saya yang disediakan oleh SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh:

  1. Genius itu berada di luar daripada kemampuan manusia atau pengarang biasa.
  2. Mereka memperlihatkan ruang ilmu atau seni penting yang belum diterokai orang lain dan oleh itu menyumbang kepada pengetahuan tentang akal budi manusia. 
  3. Dapat dibaca dan dinikmati secara rentas-zaman. 
  4. Keaslian, termasuk mencipta genre baru atau cara pemerian baru. Di sinilah juga kita akan melihat kehandalan penggunaan bahasa pengarangnya. 
  5. Mereka menyumbang kepada proses memperkembangkan genre yang diterokai.

Karya-karya dari Prof. Al-Attas sangat ditunggu-tunggu oleh para sarjana dari dalam dan luar negara. Karya-karyanya bermutu tinggi dan menjadi rujukan utama dalam dunia akademik. Kita patut berbangga dengan seorang genius Melayu ini, sebutir permata tidak ternilai yang tiada galang gantinya. Syeikh Hamza Yusuf menyatakan bahawa Al-Attas sebagai he’s (Al-Attas) really of the truly great intellects alive today on the planet,” dan Hamza menyatakan salah satu buku antara dua buku yang direkomendasi oleh beliau untuk dibaca oleh Muslim moden ialah Islam and Secularisme

Ramai di kalangan sahabat saya yang membaca Islam and Secularism edisi asal Bahasa Inggeris tetapi tidak memahaminya, dan saya akuinya bukan mudah untuk menelaah dan ingin masuk ke dalam sfera ini, tetapi apabila kita menekuninya tanpa prejudis dan penuh keikhlasan, Insya-Allah kefahaman itu akan meresap ke dalam jiwa. Tidak memahami satu karya agung adalah perkara biasa, kerana jika kita memahami karya yang hebat, bermaksud kita sama (hebat) dengan penulis tersebut dan karyanya tidaklah hebat mana. ‘Proses’ itu yang lebih penting, bukan keputusannya.

Saya di sini sekali lagi menyatakan bahawa saya tidak mampu untuk mengupas pemikiran Al-Attas melalui pembacaan buku ini, tetapi buku yang hebat ini memberi impak besar dalam gaya fikir saya. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman membaca karya yang hebat ini dan mungkin menjadi batu loncatan kepada saya dan rakan-rakan di luar saya yang ingin menekuni lebih dalam lagi pemikiran Al-Attas.

 


Naim Al-Kalantani, pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Penulisan Kreatif di Akademi Seni Warisan dan Budaya Kebangsaan (ASWARA).

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.