Sebahagian manusia kadang kala merasa terlalu yakin akan sesuatu perkara sehinggakan terlupa bahawa tingkah lakunya juga tertakluk kepada perancangan dan keizinan daripada Yang Maha Kuasa. Hal ini termasuklah tidak menyandarkan ucapannya dengan kalimah Insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ) iaitu kalimah yang mengaitkan atau mengembalikan sesuatu urusan kepada kehendak atau keizinan daripadaNya.
Secara asasnya, ucapan insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ) disandarkan untuk perbuatan yang akan dilakukan di masa yang akan datang. Perintah atau anjuran mengucapkan kalimah ini dapat dilihat melalui firman Allah, “Janganlah engkau mengatakan sesuatu untuk dikerjakan esok, melainkan dengan mengucapkan, insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ) . Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah, “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk yang lebih dekat kepada kebenaranNya daripada ini”.” (Surah al-Kahfi: 23-24)
Apabila ditelusuri asbab al-nuzul (sebab penurunan) ayat, ia turun sebagai peringatan kepada Nabi Muhammad ﷺ atas ucapan baginda terhadap orang-orang Quraisy yang telah diarahkan oleh pendeta Yahudi untuk bertanyakan perihal roh, kisah Ashabul Kahfi, dan kisah Zulkarnain. Rasulullah ﷺ berkata kepada mereka, “Esok akan aku khabarkan kepada kamu atas pertanyaanmu itu.”
Menurut Tafsir Ibnu Kathir, Nabi ﷺ sama sekali tidak mengucapkan lafaz istithna’ (pengecualian) dengan menyebut insya-Allah dan mengakibatkan wahyu tak kunjung turun sehingga 15 hari.
Lalu, setelah Rasulullah ﷺ berada dalam keadaan sedih disebabkan tekanan daripada orang Quraisy dan wahyu yang tak kunjung turun, akhirnya Allah menurunkan ayat untuk mengingatkan supaya tidak mengatakan atau menjanjikan sesuatu kepada orang lain kecuali dengan mengucapkan insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ).
Apabila ditinjau dari sudut hukum, para ulama mengemukakan larangan (mengatakan sesuatu urusan di masa yang akan datang tanpa menyebut lafaz insya-Allah) dalam ayat di atas kepada hukum makruh, tidak sampai haram. Maka secara mafhum mukhalafah (pemahaman terbalik), hukum mengucapkannya tidak sampai wajib.
Sebagaimana dikemukakan oleh Ibnu Muflih rahimahullah di dalam kitab al-Adab asy-Syar’iyyah, “Memberikan tambahan kata insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ) dalam memberikan khabar terhadap sesuatu urusan, hukumnya mustahab (dianjurkan).”
Imam an-Nawawi raḥimahullah di dalam kitab Syarh an-Nawawi ‘ala Muslim pula berkata, “Dianjurkan bagi seseorang ketika mengucapkan, “Saya akan lakukan itu dan ini”, untuk menambahkan lafaz insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ) dalam rangka untuk “tabarruk” (ambil berkah) dan mentaati perintah Allah.”
Walaupun ucapan ini bukan suatu yang wajib menurut para ulama, namun hakikatnya ia telah menjadi amalan dan kebiasaan oleh Rasulullah ﷺ dan para nabi terdahulu. Sebagai contoh hadith berikut, “Daripada Itban bin Malik radliyallahu’anhu, dia berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, aku berharap anda dapat mendatangi rumahku, lalu anda mengerjakan solat di sana, kemudian akan aku jadikan tempat tersebut nantinya sebagai ruangan solat di rumahku. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya, “Aku akan lakukan itu, insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ).” (HR. Bukhari, no. 425)
Contoh ungkapan insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ) para nabi terdahulu pula dapat dilihat melalui ayat-ayat al-Quran. Sebagai contoh, ucapan Nabi Ismail ‘alaihissalam kepada ayahandanya Nabi Ibrahim ‘alaihissalam sewaktu peristiwa penyembelihan, “Engkau akan dapati diriku, insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ) seorang yang sabar.” (Surah as-Saffat: 102)
Begitu juga sepertimana diucapkan oleh Nabi Yusuf ‘alaihissalam di dalam surah Yusuf, ayat 99, Nabi Musa ‘alaihissalam di dalam surah al-Kahfi, ayat 69 serta Nabi Syu’aib ‘alaihissalam di dalam surah al-Qasas, ayat 27.
Peri pentingnya ucapan insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ) ini juga terlukis melalui kisah-kisah manusia terdahulu seperti diceritakan di dalam al-Quran dan hadith.
Apabila ditelusuri di dalam al-Quran, surah al-Qalam, ayat 17-33, dikisahkan perihal pemilik-pemilik kebun yang dilimpahi nikmat buah-buahan. Mereka kufur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah ke atas mereka sehingga tidak mahu mengeluarkan sedekah walau sedikitpun kepada orang fakir. Mereka dengan penuh kesombongannya telah mengungkapkan lafaz sumpah bahawa mereka pasti akan memetik hasil di pagi hari tanpa mengucapkan lafaz insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ).
Sepertimana firman Allah di dalam ayat 18 surah tersebut, “Tetapi mereka tidak mengucapkan lafaz pengecualian (dengan ucapan insya-Allah).”
Diringkaskan cerita, lalu Allah membuat mereka melanggar sumpah mereka sendiri dan mendatangkan musibah yang mengakibatkan kebun mereka terbakar dan menjadi hitam dan kering seperti malam yang gelap gelita sehingga akhirnya menjadikan mereka menyesal.
Apabila diteroka hadith pula, terdapat kisah berkenaan Nabi Sulaiman ‘alaihissalam sepertimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, “Sulaiman bin Dawud berkata, “Pada malam ini, aku benar-benar akan menggilir seratus orang isteri, sehingga setiap wanita akan melahirkan seorang anak yang berjihad di jalan Allah.” Lalu Malaikat pun berkata kepadanya, “Ucapkanlah insya-Allah.” Namun ternyata beliau tidak mengatakannya dan lupa.
Kemudian beliau pun menggilir (isteri-isterinya) pada malam itu, namun tak seorang pun dari mereka yang melahirkan, kecuali seorang yang melahirkan bayi yang berbentuk setengah manusia. Nabi ﷺ bersabda, “Sekiranya Nabi Sulaiman mengucapkan insya-Allah, nescaya semua anak yang lahir akan menjadi mujahid fi sabilillah semuanya.” (HR. Muslim, no. 3123)
Daripada kisah yang terkandung di dalam hadith di atas, Nabi Sulaiman ‘alaihissalam telah diuji oleh Allah dengan “kealpaan” seperti yang termaktub di dalam surah Saad, ayat 34. Sehingga akhirnya menjadi pelajaran penting perihal adab tentang anjuran mengucapkan insya-Allah (إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ) dalam sesuatu urusan dari generasi umat Islam terdahulu sehingga ke hari ini.
Disediakan oleh:
Muhammad Fahmi bin Md Ramzan
Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre.