Kebanyakan masyarakat bukan Islam seringkali tertanya-tanya tentang sebab orang Islam dilarang memakan daging babi dan meminum arak. Dua jenis ini adalah antara yang paling banyak ditanya oleh mereka yang bukan beragama Islam. 

Pada logik akalnya, mereka beranggapan adalah sesuatu yang sia-sia sekiranya Tuhan menciptakan babi dan arak tetapi diharamkan untuk umat manusia mengambil manfaat daripada apa yang telah diciptakannya.

Pertamanya, babi dan arak kedua-duanya adalah haram bagi orang Islam. Perkara ini jelas lagi terang sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi”.

Dan dalam firman Nya lagi dalam surah al-Ma’idah ayat 90 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman ! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

Amat jelas dan terang bagi kita bahawa Islam telah mengharamkan kita daripada memakan babi dan meminum arak. Maka persoalan yang lebih utama adalah mengapakah Allah SWT mengharamkan babi dan arak ? Sebagai manusia yang berakal, sudah tentu kita mahu melihat sebab dan puncanya untuk kita lebih memahami akan sesuatu hal. Tanpa sebab dan punca, barangkali kita sendiri pun belum tentu mahu ikut apa yang telah diputuskan oleh agama. Pasti ada hikmahnya disebalik segala tegahan dan larangan tersebut.

Dari sudut saintifik, terdapat beberapa hikmah daripada pengharaman babi dan arak ini. Antaranya berdasarkan hasil kajian yang diterbitkan di website Dr. Joseph Mercola, beliau menyatakan bahawa daging babi boleh memberikan mudarat terhadap kesihatan dalam pelbagai peringkat. Menurut kajian oleh Consumer Reports, sebanyak 69 peratus daripada sampel-sampel daging babi yang diuji, mengandungi bakteria berbahaya iaitu Yersinia enterocolitica yang boleh menyebabkan masalah-masalah kesihatan.

Selain itu, menurut Dr. Muhammad Abdul Khair dalam kitab Ijtihadat fi al-Tafsir al-Quran al-Karim, beliau menyatakan bahawa :

“Daging babi mengandungi benih-benih cacing pita dan cacing-cacing lain. Cacing-cacing ini akan berpindah kepada manusia yang memakan daging babi tersebut. Perlu dicatat, sehingga kini generasi babi belum terbebas daripada cacing-cacing ini”.

Demikian juga keburukan arak. Arak diharamkan kerana boleh memabukkan. Hal ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Semua yang memabukkan adalah haram”

Hadith ini dengan jelas menyatakan bahawa semua perkara yang memabukkan adalah haram walau atas nama apa sekalipun. Menurut ijmak ulama, pengharaman arak adalah kerana ia memabukkan. Oleh itu, apa jua jenama minuman yang memabukkan adalah haram hukumnya. Mabuk yang dimaksudkan ini ialah pemikiran terlalu kacau yang mengakibatkan halangan kepada fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan bijak dan sepatutnya.

Merujuk sebuah artikel daripada MyHEALTH, minuman beralkohol seperti arak ini mengandungi etanol, iaitu sebatian yang tergolong dalam kumpulan dadah yang boleh menindas fungsi sistem saraf pusat. Ianya boleh melambatkan tindak balas fizikal dan mental peminumnya. Selain itu, etanol juga adalah dadah yang boleh mendatangkan kebergantungan atau ketagihan jika diambil setiap hari. Pengambilan minuman beralkohol akan menyebabkan kesan kepada masalah mental seperti kecelaruan tingkah laku dan fikiran, keresahan dan kebingungan, hilang ingatan sementara, kemurungan dan kecenderungan untuk membunuh diri.

Arak juga adalah salah satu punca kejahatan dan kerosakan. Perkara ini seperti yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat al-Nasaie, hadith daripada Uthman RA secara mauquf bermaksud :

“Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan”

Di United Kingdom (UK), statistik rasmi jenayah akibat meminum arak adalah 45-46 % kejadian jenayah, 39 % keganasan rumah tangga dan hampir 1 juta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk. 

Selain itu, menurut statistik PDRM, bagi tempoh 2014 sehingga 2018, sebanyak 637 kematian berpunca kemalangan membabitkan pemandu memandu dibawah pengaruh alkohol direkodkan. Merujuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pemandu mabuk 13 kali lebih berkemungkinan menyebabkan kemalangan berbanding pemandu yang tidak dibawah pengaruh alkohol.

Demikian beberapa sudut pandangan saintifik yang membuktikan keburukan babi dan arak. Namun begitu, sudut pandang saintifik bukanlah kayu ukur utama untuk menyingkap hikmah disebalik pengharaman babi dan arak. Kita harus fahami bahawa tujuan utama Allah mengharamkan babi dan arak adalah kerana itulah arahan Allah SWT, sebagai tuhan kepada makhluk ciptaan Nya. Walaupun beribu kajian dilakukan, sebab utama babi dan arak diharamkan adalah kerana itulah arahan Allah. Hal ini sepertimana yang telah disebutkan oleh al Marhum Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, beliau menyatakan bahwa :

“Tidak semestinya setiap muslim untuk mengetahui secara terperinci kesemua barangan yang dianggap rosak dan bahaya, yang dengan sebabnya diharamkan oleh Allah SWT sesuatu barangan itu. Adakalanya, hal itu terlindung dari kefahamannya, yang mana keadaan yang sama kelihatan pada keadaan yang lain. Adakalanya, keburukan sesuatu barangan itu tidak jelas pada sesuatu zaman yang tertentu, manakala ianya jelas pula pada zaman berikutnya. Oleh itu, sewajarnya sikap seorang mukmin itu selalu mengatakan : “Kami dengar dan kami taat”.

Keburukan daging babi dan arak ini diketahui setelah dibantu dengan kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini. Walhal, pengharaman ini bukanlah baharu malah telah diharamkan sejak dahulu lagi. Maka, dengan itu, orang terdahulu mematuhi dan taat akan segala larangan Allah meskipun tanpa mengetahui sebab dan puncanya. Hal ini kerana ketaatan dan kepatuhan akan arahan Allah. Oleh itu, sebab utamanya Allah mengharamkan babi dan arak bukanlah kerana keburukannya semata-mata sebaliknya kerana kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Meskipun suatu hari nanti, teknologi canggih dapat membersihkan babi dari segala kuman dan terdapat arak yang tidak memabukkan, ianya tetap haram kerana demikianlah tegahan Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.