Baru-baru ini, heboh di media sosial tentang isu seorang wanita yang bercerita tentang masalah kehidupannya yang semakin menyerabutkan jiwanya. Kisah tentang bagaimana kerisauan dia dan suaminya yang masih belum mempunyai pekerjaan yang stabil, dihimpit pula dengan situasi sedang mengandung dan semakin membimbangkan dirinya dan juga suaminya. Wanita tersebut meminta pendapat daripada pembaca sama ada perlu meneruskan dengan menjaga kandungan tersebut atau menggugurkan kandungannya yang baru berusia sebulan.
Isu ininya ialah konflik yang berlaku akibat menghadapi masalah dan sukar untuk berfikir dengan baik merupakan antara salah satu contoh yang digelar kecelaruan kognitif. Kecelaruan kognitif ini merupakan antara perkara yang biasa, sering berlaku kepada individu.
Kita sedia maklum bahawa kehidupan di dunia ini, tidak akan dapat lari dari masalah. Kemampuan seseorang individu itu untuk berdepan dengan masalah yang ada, lalu berusaha untuk menyelesaikan dengan baik merupakan antara salah satu proses kehidupan yang unik namun dapat memberi pengajaran yang baik kepada individu dalam menempuh kehidupan yang kian mencabar hari demi hari.
Kecelaruan kognitif, sukar untuk kita dengar terma ini jika tidak memahami dari sudut psikologi. Kebanyakan manusia merasakan bahawa masalah ini merupakan perkara biasa dan sepatutnya setiap dari kita tidak akan mengalami masalah yang berterusan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan dalam situasi tersebut.
Merujuk kembali kepada isu di atas, kisah itu telah mendapat respons yang kebanyakannya negatif terhadap wanita tersebut. Menurut mereka lagi, permasalahan yang dialami oleh wanita tersebut adalah biasa dan mesti akan mampu ditempuhi olehnya nanti. Ini merupakan antara jawapan atau respons yang tidak betul dalam melihat isu ini dari sudut psikologi.
Dalam disiplin psikologi, teori psikologi telah lama berkembang daripada idea yang mengatakan manusia itu fitrahnya jahat dan penuh dengan keinginan (psikoanalisis) kepada psikologi kognitif. Psikologi kognitif yang keluar selepas tidak bersetuju dengan idea-idea dari teori behaviorisma yang lebih kepada melihat manusia itu bersifat pasif dan hanya bertindak balas terhadap persekitaran, psikologi kognitif cuba untuk melihat manusia itu lebih kepada hidupan yang aktif, iaitu mereka ini mampu untuk menilai sesuatu dari persekitaran lalu dapat memilih bagaimana untuk bertindak balas terhadap sesuatu situasi tersebut. Kognitif itu sendiri membawa maksud proses mental untuk mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu. Oleh kerana itu juga, kognitif akan membawa seseorang individu untuk bertindak balas terhadap permasalahan yang dihadapi oleh mereka. Bagaimana seseorang itu cuba untuk menyelesaikan masalah, sama ada dengan cara yang betul, salah, bergantung kepada bagaimana proses kognitif itu berlaku di dalam pemikiran seseorang.
Kecelaruan kognitif membawa maksud gangguan dan situasi yang mempengaruhi kemampuan berfikir seseorang individu. Individu yang mempunyai masalah kecelaruan kognitif ini akan menghadapi kesukaran untuk belajar, mengingat dengan baik dan juga sukar untuk berfikir dengan baik dan sempurna.
Jika kita memahami bagaimana sebenarnya keadaan pemikiran kita berfungsi, maka kecelaruan kognitif ini ialah bagaimana keadaanya jika pemikiran kita tidak berfungsi dengan baik. Seseorang individu yang mempunyai kognitif pemikiran yang baik akan dapat melihat sesuatu situasi/permasalahan dengan tenang dan dapat menyelesaikannya dengan baik. Namun begitu, individu yang mempunyai kecelaruan kognitif ini, mereka berada pada situasi yang sukar untuk melihat sesuatu permasalahan itu sebagai satu situasi yang dapat diselesaikan. Oleh kerana itu juga, mereka ini akan bertindak balas dengan sering melihat sesuatu dari sudut negatif dan sukar untuk berfikiran positif.
Selain daripada sukar untuk berfikiran positif, individu yang mempunyai kecelaruan kognitif juga akan lebih cenderung untuk berputus asa dengan kehidupan mereka, serta akan mudah untuk melakukan tindakan yang tidak baik. Jika berbalik kepada isu di perenggan pertama tadi, wanita tersebut akan lebih cenderung untuk menggugurkan kandungannya oleh kerana wanita tersebut sukar untuk berfikir dengan kognitif yang baik untuk memproses permasalahan yang dihadapi olehnya. Bahkan setiap dari kita akan mengalami kecelaruan kognitif paling minimum sekali di dalam kehidupan kita.
Kemampuan minda kita untuk berfikir dan melakukan proses kognitif yang baik tidak akan sama dan berbeza di antara kita sesama manusia, oleh kerana itu tidak semua masalah yang sama akan dapat dihadapi oleh setiap orang dan begitu juga sebaliknya.
Terdapat beberapa jenis kecelaruan kognitif yang dapat dikenalpasti. Antara kecelaruan kognitif yang sering dilihat ialah sukar untuk berfikiran positif, mudah untuk membuat kesimpulan yang negatif, melihat sesuatu peristiwa itu secara rigid, tetap, meletakkan label dengan mudah terhadap diri sendiri atau persekitaran, serta melihat diri mereka sebagai seorang yang sering membawa nasib malang. Kecelaruan kognitif seperti ini, walaupun terlihat biasa oleh kita namun tidak seharusnya kita memandang rendah dan kecil jika ia berlaku kepada individu lain. Kesukaran mereka untuk berfikir dengan baik, apatah lagi melihat masalah itu dengan mudah akan membuatkan mereka cepat untuk melakukan perkara yang tidak diingini.
Kecelaruan kognitif, tidak bererti mereka ini merupakan pesakit mental yang perlu mendapatkan rawatan. Mereka yang mempunyai kecelaruan kognitif ini cuma individu yang sukar untuk berfikir dengan baik dan memerlukan bantuan, empati serta sokongan daripada kita masyarakat sekeliling. Kecelaruan kognitif boleh dirawat, dan dalam prinsip pengubahsuaian tingkah laku, kita akan belajar bagaimana untuk membantu mereka ini supaya mampu untuk berfikir dengan baik. Namun begitu, sebagai individu atau orang awam, kita juga dapat memberi bantuan dan pertolongan dengan memberi sokongan dan kata-kata yang positif kepada mereka. Tambahan lagi, dengan memahami bahawa setiap pemikiran/ kognitif individu itu tidak sama dan berbeza di antara sesama kita, maka kita seharusnya dapat memahami serta berempati terhadap individu lain yang sedang berusaha dengan gigih dalam menghadapi cabaran kehidupan, seperti juga kita semua yang menumpang hidup di dunia ini.
Disediakan oleh: Mohd Rashidi Bin Radzali