Mencicip secangkir kopi dan ditemani kesejukan dingin malam mengimbau kembali segala segenak memori yang sukar untuk dilupakan yang menemani aku selama ini.
Sebagai pencinta kopi, segala memori tersebut tersemat kerana segalanya bermula dengan ibuku. Tabiat suka meminum kopi dan bergurau senda ditemani secangkir kopi antara memori indah yang pernah aku lalui.
Zaman aku membesar dikelilingi dan ditemani dengan kudrat dan kegigihan seorang ibu. Ibuku dahulu seorang yang kuat dan cekal malah ada sahaja yang dilakukannya yang menjadi sebahagian memori aku dan yang lain. Kami dibesarkan dengan melihat bagaimana ibu menghasilkan sendiri kopi yang akhirnya terhidang secawan kopi di atas meja untuk dinikmati.
Di belakang rumah, terdapat kebun dengan pelbagai jenis pokok buah buahan dan herba malah juga terdapat pokok kopi. Setiap kali menjelang musim lebatnya dan masaknya buah, maka dengan sebekas baldi di tangan, ibu akan mengajak kami adik beradik ke kebun untuk mengutip buah kopi.
Dengan menggunakan tangan, seharusnya berhati-hati ketika mengutip jika tidak lerai segala gugusan buah kopi malah menyukarkan pula hendak mengutip di atas tanah. Buah kopi yang kemerahan tanda sudah masak perlu dipetik tetapi culasnya kami dahulu adik beradik sebagai kanak-kanak seringkali mengambil yang berwarna kehijauan. Tetapi seringkali juga asyik gatal-gatal tangan dek semut hitam yang menjadi teman setia buah kopi yang selalu hinggap di tangan.
Kemudian selesai sesi kutip-mengutip, ibu akan membentangkan helaian guni-guni terpakai di halaman rumah. Halaman rumah yang sering mendapat limpahan cahaya matahari menjadi tempat yang sesuai untuk menjemur. Buah-buah kopi yang dihamparkan di atas kain guni diratakan supaya sekata dan sementara itu ibu akan membuang segala ranting-ranting dan daun yang bercampur aduk dengan buah-buah kopi.
Proses menjemur ni memakan masa berhari-hari, cahaya matahari memainkan peranan penting untuk memastikan buah-buah tersebut betul-betul kering dan kulitnya pecah. Bila sudah kering, kulit-kulit akan merekah dan pecah maka keluarlah biji-biji kopi. Biji kopi itu yang diperlukan untuk dibuat kopi.
Selepas proses mengeringkan buah-buah kopi, ibu akan menumbuk buah-buah tersebut supaya kulitnya pecah untuk diambil biji-biji kopinya. Maka, menjadi tugas kami apabila ibu menghulurkan wang untuk ke kedai membeli sepaket gula untuk proses seterusnya.
Biji-biji kopi yang sudah dikeringkan akan dibasuh dan dibilas dengan air bersih. Dengan menggunakan dapur kayu api di luar rumah, ibu akan menggunakan kuali yang besar dan mula mengacau biji-biji kopi secara perlahan-lahan di atas api yang sederhana. Kacau-kacau dan kemudian masukkan sepaket gula putih. Kacau sampai jadi pekat dan hitam. Wah, aroma wangi biji kopi memenuhi segenap ruang yang menyenangkan hati.
Bila selesai memasak biji kopi, dibiarkan sejuk sebentar dan kemudian ibu akan mengeluarkan lesung besar untuk menumbuk kepingan adunan biji kopi dan gula yang mengeras. Dulu masih lama menggunakan kaedah tradisional, lesung digunakan untuk menghancurkan biji kopi bukan seperti zaman teknologi sekarang yang lebih mudah menggunakan mesin pengisar untuk menghancurkan biji kopi. Bila sudah selesai dihancurkan, serbuk kopi perlu ditapis berkali-kali untuk mendapatkan lagi serbuk kopi yang lebih halus.
Jadi, serbuk kopi tersebut sedia digunakan untuk dijadikan bancuhan air kopi. Ah, masih segar lagi dalam memori bagaimana setiap cara ibu memproses buah kopi dan menghasilkan serbuk kopi. Ini adalah antara kenangan yang dicipta bersama ibu.
Kami dibesarkan dengan melihat setiap titik peluh kudrat ibu yang mengajar kami erti kesusahan dalam menjalani setiap detik dan langkah-langkah kehidupan. Dengan homemade kopi yang dihasilkan ibu, sehingga sekarang air kopi hitam menjadi kegemaran kami adik beradik. Istilah sekarang kopi hitam dipanggil Americano.
Membesar dengan cicipan air kopi hitam yang pekat dan menyegarkan membuatkan memori zaman membesar kelihatan indah. Ahli keluarga yang ramai, tidak seperti kanak-kanak lain kebanyakan membesar dengan kecukupan dan kemewahan. Zaman kanak-kanak dikelilingi dengan pohon-pohon berbuah dan herba hijau termasuklah warna warni buah-buah kopi antara memori yang masih terpahat di sanubari.
Namun, menjejak dewasa, kenangan semakin pudar lama kelamaan apatah lagi diselubungi sedikit rindu dan kesedihan bila mengenang sayu dan kaku menatap wajah ibu yang akhirnya pergi meninggalkan kami selamanya. Tiada yang lebih perit apabila satu-satunya sumber syurga dunia telah pergi dan hanya meninggalkan secebis kenangan. Bertambah perit lagi selepas bertahun, perginya pula ayah menambahkan lagi secebis luka perinduan meninggalkan kami yang merindu mereka yang telah ke dunia abadi.
Dan aku, masih lagi, kopi menjadi kegemaran dari dulu hingga sekarang. Tiada lagi melihat hasil titik peluh melihat dan mencium aroma kopi dari dapur kayu ibu. Aku masih lagi menghirup dan mencicip secangkir kopi tapi kini sudah divariasikan pilihan. Lebih banyak mencicip kopi segera yang menjadi lambakan jualan di pasaran. Dan masih lagi mencari lagi aroma kopi lama yang menjadi kegemaran utama.
Malah lambakan jualan serbuk kopi hitam di pasaran membuatkan budaya menghasilkan serbuk kopi sendiri sudah hilang di kalangan keluargaku. Lebih senang membeli yang di pasaran. Malah, membancuh sendiri kopi hitam dicampuri gula kadangkala terasa hilang keenakannya seperti dulu.
Kami hanya mampu mengenang kenangan lama sambil berborak-borak kosong di ruang hadapan rumah pusaka ibu. Berborak tentang kehidupan malah mengenang bibit-bibit kasih ibu dan ayah. Kenangan pahit kehilangan ibarat pahitnya secawan kopi hitam yang kemudiannya menjadi manis dengan kenangan ditemani ibu dan ayah. Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih ayah berkekalan tiada penghujungnya. Perginya bersama kenangan dan doa daripada kami yang masih di sini.
Nukilan,
Nurjamilah binti Abdul Hamid