Politik Malaysia dicitrakan begitu menarik kerana menggunakan sistem demokrasi sebagai kaedah pengamalan dalam kerajaan pada hari ini. Jika dilihat dari sudut pandang asas teori, sistem demokrasi ini seolah-olah merupakan satu sistem yang nampak ideal dan adil kerana mengambil kira semua suara dalam menentukan sesuatu keputusan. Namun, jika disoroti dengan lebih mendalam bahawa pentas demokrasi ini lebih banyak membuka peluang kepada berlakunya manipulasi oleh golongan-golongan tertentu untuk memastikan mereka terus kekal relevan berada di tampuk kekuasaan.
Semestinya yang mampu menjadikan mereka terus kekal berada di puncak kerusi politik adalah dengan menempatkan golongan-golongan tertentu yang boleh membawa agenda kepentingan peribadi mereka di ‘lokasi’ yang strategik dalam pentadbiran. Maka lahirlah satu terma yang digunakan untuk menggambar keadaan tersebut iaitu politik kartel.
Istilah ‘politik kartel’ sebenarnya kurang tepat jika ingin dibahaskan namun mengambil kira norma percakapan rakyat Malaysia, maka terma itu bukanlah perkara yang asing terutama dalam organisasi politik. Bukan setakat itu sahaja, politik kartel ini juga melibatkan taikun kapitalis.
Taikun-taikun ini perlu memastikan setiap tender yang dibuka dan dikeluarkan oleh mana-mana agensi utama berada dalam genggaman mereka. Komisen yang ditawarkan hampir ratusan ribu ringgit pastinya tidak dapat ditolak oleh ahli politik. Bagaimana mungkin tidak berlaku apabila hampir setiap tahun, pasti akan ada ahli politik dan taikun disabitkan dengan kesalahan kes rasuah melibatkan tender projek pembangunan dan pembekalan barangan.
Namun, bukan hanya melibatkan agensi kerajaan tetapi juga melibatkan projek pembangunan di peringkat kawasan ahli politik tersebut. Secara asasnya, politik kartel ini tidak sekadar melibatkan ahli politik yang berada dalam blok kerajaan tetapi juga boleh melibatkan mereka yang merupakan ahli politik pembangkang.
Setiap kali musim Pilihan Raya Umum (PRU), kita akan melihat fenomena ahli politik menjejakkan kaki ke perkampungan untuk menyampaikan bantuan dan berkempen untuk meraih undi. Kita juga dipertontonkan dengan sebahagian ahli politik yang menjengah ke kedai kopi usang untuk berborak dengan pelanggan dan membelanjakan makanan. Janji yang manis mula diberikan untuk meyakinan pengundi untuk mengundi mereka. Rakyat yang mendengar ini dijanjikan dengan pembangunan yang pesat, ekonomi yang rancak, peluang pekerjaan dan sebagainya.
Namun, janji hanya tinggal kenangan. Selepas mencapai kemenangan, yang mengaut keuntungan adalah golongan yang berkepentingan sahaja. Golongan ini pastinya akan diberikan ruang yang besar untuk menjarah hasil ekonomi. Manakala pengundi hanya terpinga-pinga menunggu janji yang ditawarkan.
Lihat sahaja bagaimana alam sekitar di Malaysia semakin hari semakin membimbangkan. Bukit dan gunung mula diratakan dan hutan-hutan mula ditebang pokok-pokoknya. Alasan yang sangat mudah iaitu mereka mempunyai lesen dan penanaman semula akan dibuat. Tidakkah mereka sedar bahawa ratusan tahun diperlukan untuk mengembalikan semula hutan-hutan yang telah digondolkan itu?
Lihat sahaja papan tanda yang dipasang di setiap tapak projek pembangunan yang bernilai jutaan ringgit, hanya kelihatan nama pemaju yang sama sahaja di beberapa tapak. Bila disemak, rupanya pemaju tersebut mempunyai kaitan rapat mana-mana ahli politik.
Ditambah lagi apabila pekerja asing digajikan untuk membuat kerja-kerja buruh dalam pembinaan. Alasannya ialah rakyat Malaysia tidak mahu berpenat lelah di bawah panas cahaya matahari tetapi hakikat sebenarnya ialah pekerja asing dibayar dengan harga yang rendah dan mereka ini hanya terima sahaja apa yang dibayar tanpa rungutan! Rakyat juga menjadi mangsa apabila dicop “orang Melayu pemalas”.
Maka sebab itulah rakyat tidak perlu lagi pelik apabila melihat tindakan dan keputusan yang dibuat oleh sebahagian ahli politik memihak kepada golongan kapitalis dan elitis. Hal ini sangat bertepatan dengan konsep oligarki yang dijelaskan oleh Dr Jeffrey A.Winters di mana beliau menjelaskan bahawa golongan kapitalis dan elitis ini mempunyai kekuatan pengaruh yang lebih besar dalam sistem demokrasi meskipun bilangan mereka hanyalah kecil jika mahu dibandingkan dengan orang kebanyakan.
Hakikat sebenarnya ialah ahli politik hanya bergantung harap kepada kuasa golongan minoriti ini iaitu kapitalis dan elitis untuk kekal berkuasa bukannya melalui undi rakyat. Bagaimana ia boleh berlaku?
Dengan wang, golongan kapitalis dan elitis boleh mengawal atur orang kebanyakan. Mereka akan menaja segala projek media untuk memastikan wajah yang baik melibatkan ahli politik mereka dipertontonkan kepada rakyat setiap masa. Hal ini demi memastikan rakyat memilih ahli politik tersebut sekaligus dapat mengawal dan menggerakkan kepentingan peribadi mereka.
Kita berada di era teknologi yang berkembang pesat maka siapa yang mengawal media, dia yang akan menang. Sebagai balasan, ahli politik akan menyusun polisi dan dasar mereka yang lebih cenderung ke arah golongan yang telah memberi bantuan kepada mereka.
Persoalan yang paling teguh dan berdaya pada hari ini adalah mengapa kilang-kilang besar diberi pengecualian untuk meneruskan operasi meskipun sudah diumumkan bahawa “total lockdown” dilaksanakan. Secara tidak langsung, terma “total lockdown” tersebut tidak menepati maksud dan cara pelaksanaanya.
Menurut Dr Noor Hisham (Ketua Pengarah Kesihatan), antara penyumbang terbesar kepada peningkatan kes COVID 19 sejak kebelakangan ini adalah Kluster Tempat Kerja. Beliau menyatakan bahawa 91% kes di Selangor adalah berpunca dari tempat kerja di mana 80% dari kilang dan 11% dari tapak pembinaan. Namun, fakta ini disangkal oleh seorang menteri dan beliau menyatakan bahawa hanya 10% sahaja punca daripada sektor perkilangan dan pembuatan.
Jika dilihat dari laporan kes, maka fakta yang diberikan oleh Dr Noor Hisham lebih meyakinkan dan beliau bercakap bukan di atas kapasiti parti politik mahupun pihak kerajaan tetapi sebagai penjawat awam. Sudah pastinya beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap mana-mana pihak.
Konklusinya, persoalan yang menjadi tanya iaitu siapakah mangsa dalam politik kartel sudah pasti terjawab. Tidak lain tidak bukan ialah kita sendiri iaitu rakyat. Ahli politik digesa untuk menghentikan permainan politik kartel yang hanya memberi manfaat kepada proksi mereka sahaja.
Kembalikan manfaat tersebut kepada rakyat kerana di saat kesempitan ini, ekonomi rakyat harus diutamakan sekaligus akan dapat menjana ekonomi negara. Usah berdolak dalih menafikan perkara ini kerana zaman ini sudah berbeza. Dengan kemajuan teknologi, cukup dipetik jari dan kesemua salah laku ahli politik berjaya dilondehkan.
Disediakan oleh,
Muhammad Alif Danieal
Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)