Bilah-bilah kehidupan yang bersilih ganti hari akan perlahan-lahan meninggalkan kita di garis waktu dan masa. Ufuk fajar menyingsing hari akan berlabuh pergi jua dari menghiasi lukisan langit. Demikian pula bulan dan matahari yang saling bergilir-gilir datang dan pergi seperti aturan sunnatullah. Begitu jugalah yang namanya hidup. Hanya menanti masa untuk pergi meninggalkan nikmat yang fana ini. Bersedia atau tidak, tua atau muda, sihat atau sakit, bukanlah pra syarat utama untuk kita pergi meninggalkan dunia ini. Tiba giliran, pasti kita kan pergi jua.
Kematian adalah sesuatu yang pasti. Biarpun seberapa derap tapak kaki menyusun gerak melangkah melarikan diri daripada kematian, pasti ajal itu datang dan menemui kita yang bergelar makhluk Nya. Tanpa kira usia, tempat dan sebagainya, kematian pasti datang menyapa tepat pada perintah Nya. Allah SWT mengingatkan kita dalam surah al-Jumaah ayat 8, yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad) : “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu ; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.
Demikian peringatan Allah kepada para hamba Nya. Kehidupan yang sedang kita nikmati ini hanyalah sebuah pentas untuk menguji kita semua. Segala kemanisan dan kepahitan yang tercipta adalah rencam kehidupan untuk menguji yang terbaik di kalangan hamba Nya. Hal ini berdasarkan firman Nya dalam surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud :
“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu : siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”.
Oleh itu, realitinya adalah kehidupan yang sedang kita nikmati ini merupakan sebuah perjalanan menuju kematian. Kematian yang pada sangkaan ramai manusia sebagai penamat sebuah perjalanan, namun sebaliknya ianya adalah sebuah permulaan hidup yang sebenar, perpindahan bersifat sementara untuk menuju kehidupan yang kekal selamanya. Dunia yang kita diami ini bukanlah hak mutlak diri kita. Apa sahaja yang kita miliki hari ini, baik berbentuk zahir mahupun yang batin, tidaklah bersifat mutlak bagi kita. Tidak lebih dari sekadar kurniaan Allah sebagai pinjaman kepada hamba Nya.
Betapa luasnya nikmat hidup ini, sejak kita dilahirkan hingga ke saat dan tika ini, tidak termampu untuk kita menghitungnya. Dalam keadaan yang sama, dikala waktu berputar melakarkan potret sejarah, sedikit demi sedikit nikmat ditarik oleh Allah SWT. Buktinya, lihatlah bagaimana Allah memberikan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan mulut untuk bercakap.
Kini keadaan itu telah berubah seiring berinjaknya usia. Mata semakin kabur penglihatan. Telinga semakin lemah mencerap bunyinya dan mulut terkumat-kamit menyusun abjad untuk bertutur. Di Waktu muda, kekuatan tidak sama seperti di waktu usia di hari senja. Kulit wajah halus-mulus, yang lembut tegang, akan beransur kedut dan kusam. Semuanya berubah selari beranjak usia.
Apa yang pergi tetap akan pergi. Sama ada kita sedar atau tidak, hidup ini semakin dekat dengan kematian biarpun saban tahun kita sambut ulangtahun kelahiran. Pada zahirnya, angka kian bertambah tetapi sebaliknya, ajal kian dekat menjengah. Anugerah pangkat dan jawatan, tidak lebih sekadar perhiasan sahaja. Cukup masa kita akan melepaskannya jua, memberi laluan pada yang lebih muda. Meskipun rumah yang diusahakan, bertingkat-tingkat tingginya, namun ke dalam tanah jua akhirnya kita ke sana. Semuanya akan tiba satu masa, kita perlu melepaskannya. Apa yang akan tetap dan setia berdamping dengan kita hanyalah amalan semata-mata.
Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Keluar mengiringi mayat itu tiga perkara : Keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka dua daripadanya akan pulang (meninggalkannya di kubur) iaitu keluarga dan harta adapun amalan akan kekal bersamanya”.
Kepenatan kita menghabiskan separuh usia kita membina kehidupan di dunia yang tidak kekal ini akan terbalas seandainya kita berniat beramal jariah kerana Allah. Sebaliknya, amat rugi dan malang sekali, jika semuanya itu sekadar memenuhi selera cita rasa dunia, memenuhi kehendak diri semata-mata tanpa mengingatkan diri kepada Allah, Tuhan empunya segalanya ini. Hanyasanya yang selamat kelak adalah golongan yakin kepada Allah dengan tetap teguh diatas jalan Nya yang lurus. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Fussilat ayat 30 yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata : “Tuhan Kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh diatas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa : “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahwa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.
Kejayaan sebenar adalah menjadi orang yang beriman dan bertakwa. Dengan berbekalkan takwa dan iman kepada Nya, nescaya selamatlah kita dunia dan akhirat. Inilah jalan selamat untuk menuju ke negeri abadi.
Oleh itu, kita dituntut untuk bersegera berlumba melakukan kebajikan, menyibukkan diri dengan persiapan melaksanakan segala perintah Nya dan berjuang menjauhi larangan Nya. Ketaatan yang mutlak hanya pada Allah. Tidak ada yang lebih besar daripada mengesakan Nya. Semoga Allah menjadikan kita dikalangan para hamba Nya yang bertakwa.
Disediakan oleh: Faidhi Azis